Minyak bunga kenanga atau ylang ylang mempunyai khasiat yang tersendiri. Mungkin masih ramai yang tidak mengetahui khasiat minyak bunga kenanga ini. Oleh itu, kami senaraikan khasiat dan kegunaan minyak bunga kenanga untuk makluman anda.
Apa itu Minyak Kenanga?
Bunga kenanga adalah panggilan tempatan kepada bunga daripada pokok kenanga (Cananga odorata). Masyarakat antarabangsa lebih mengenali bunga ini dengan nama Ylang ylang.
Ylang ylang ialah istilah Sepanyol kepada bunga kenanga yang dieja daripada bahasa asal Tagalog iaitu ilang-ilang.
Bunga kenanga berbentuk seperti bintang, berwarna kuning dan menghasilkan bau bunga yang kuat.

Pokok bunga kenanga dikatakan berasal dari negara-negara Asia seperti Malaysia, Indonesia, Filipina dan beberapa pulau di Lautan Hindi seperti Madagascar, Comoro dan Nossi Be. Kemudiaanya, tumbuhan ini diperkenalkan ke negara China, Afrika, India dan Amerika.
Minyak bunga kenanga ini telah digunakan secara meluas dalam industri makanan, minyak wangi dan aromaterapi.
Minyak bunga kenanga dihasilkan melalui penyulingan air dan wap atau penyulingan air. Minyak bunga kenanga mempunyai aroma awal yang sederhana hingga kuat dengan haruman segar, berbunga, sedikit berbuah tetapi halus.
Khasiat Minyak Bunga Kenanga dalam Perubatan Tradisional
Perubatan tradisional telah lama memanfaatkan bunga kenanga dalam kehidupan harian mereka.
Bagi masyarakat di kepulauan Pasifik Selatan, haruman bunga kenanga digunakan untuk meningkatkan bau minyak kelapa sebelum digunakan untuk mengurut.
Selain itu, bunga kenanga dan bahagian lain tumbuhan ini turut digunakan untuk merawat pelbagai masalah kesihatan seperti:
- Malaria: Masyarakat Jawa menggunakan bunga kenanga kering untuk merawat malaria atau simptom-simptom malaria.
- Asma: Bunga kenanga segar yang ditumbuk dan dijadikan pes juga turut digunakan untuk merawat asma.
- Pneumonia dan sakit perut: Penduduk kepulauan Mariana Utara menggunakan bunga dan kulit pokok kenanga untuk merawat pneumonia (radang paru-paru) dan sakit perut.
- Meningkatkan keseronokan semasa hubungan seks: Minyak bunga kenanga digunakan oleh masyarakat di Indonesia untuk meningkatkan rasa seronok semasa hubungan seks dan mengurangkan keresahan seksual.
- Gatal-gatal dan kelemumur: Masyarakat di India dan kepulauan Lautan Hindi menggunakan daun kenanga untuk merawat kegatalan dan kelemumur.
- Sakit kepala, keradangan mata dan gout: Penduduk di India juga menggunakan minyak bunga kenanga untuk merawat sakit kepala, keradangan mata dan gout.
- Laksatif: Kulit pokok kenanga digunakan sebagai laksatif oleh komuniti Tonga dan Samoa.
- Reumatisme, kahak, ulser, demam dan keradangan mata: Masyarakat India juga menggunakan air rebusan kulit pokok kenanga untuk merawat reumatisme, kahak, ulser, demam dan keradangan mata.
Khasiat Minyak Bunga Kenanga
Melihat kepada kepelbagaian kegunaannya, kajian-kajian moden turut dijalankan secara meluas untuk melihat khasiat minyak bunga kenanga. Antaranya adalah:
1. Mengandungi Antioksidan
Antioksidan ialah sebatian yang boleh melindungi sel-sel sihat dalam badan daripada tekanan oksidatif yang disebabkan oleh radikal bebas yang berlebihan.
Tekanan oksidatif banyak dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes, kanser atau Alzheimer.
Satu kajian mendapati minyak pati bunga kenanga adalah sumber antioksidan yang baik. Minyak pati ini menunjukkan aktiviti antioksidan 2 kali ganda daripada trolox iaitu salah satu minyak rujukan dengan aktiviti antioksidan yang kuat. [1]
2. Boleh Membantu Menghalau Serangga
Minyak pati bunga kenanga juga boleh digunakan untuk menghalau serangga seperti nyamuk.
Satu kajian mendapati minyak pati bunga kenanga menunjukkan masa perlindungan yang sederhana terhadap nyamuk jenis Aedes, A. dirus (nyamuk pembawa penyakit malaria) dan C. quinquefasciatus (nyamuk pembawa penyakit JE). [2]
3. Boleh Membantu Merawat Sakit Sendi dan Bengkak
Sakit sendi, bengkak dan asma adalah penyakit yang melibatkan keradangan.
Secara tradisionalnya, pelbagai bahagian pada pokok kenanga digunakan untuk merawat masalah kesihatan yang berkaitan dengan keradangan seperti asma, demam dan keradangan mata.
Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa minyak pati bunga kenanga mempunyai ciri-ciri antiradang melalui perencatan aktiviti enzim lipoxygenase. [3]
Ciri-ciri ini menjadikan minyak bunga kenanga boleh membantu merawat penyakit berkaitan keradangan seperti sakit sendi dan bengkak.
4. Boleh Membantu Melegakan Stres dan Menenangkan
Menggunakan minyak bunga kenanga sebagai aromaterapi juga boleh membantu anda melegakan stres (tekanan) dan menenangkan minda.
Khasiat minyak bunga kenanga ini dilaporkan dalam satu kajian yang mendapati mereka yang menghidu minyak ini menunjukkan kesan yang menenangkan dan pengurangan terhadap tahap stres. [4]
5. Boleh Membantu Meningkatkan Kewaspadaan dan Tumpuan
Selain itu, penyelidik juga turut mendapati bahawa minyak bunga kenanga boleh membantu meningkatkan kewaspadaan dan tumpuan.
Kajian klinikal yang dijalankan terhadap 24 orang sukarelawan tersebut mendapati menyedut bauan daripada minyak bunga kenanga mengalami penurunan tekanan darah dan kadar nadi dengan ketara. [5]
Selain itu, minyak bunga kenanga juga meningkatkan kewaspadaan dan tumpuan.
6. Membantu Melegakan Sakit Saraf dan Sakit Berkaitan Keresahan
Minyak bunga kenanga juga didapati boleh membantu melegakan sakit saraf dan mengurangkan kesakitan yang berkaitan dengan keresahan.
Khasiat minyak bunga kenanga ini adalah berdasarkan satu kajian yang dijalankan terhadap haiwan. Haiwan yang diberikan minyak pati bunga kenanga menunjukkan pengurangan terhadap sakit saraf dan sakit berkaitan dengan keresahan. [6]
7. Boleh Membantu Menurunkan Tekanan Darah dan Kadar Denyutan Jantung
Aroma bunga kenanga juga didapati boleh membantu menurunkan tekanan darah dan kadar denyutan jantung.
Satu kajian yang dijalankan terhadap 29 orang lelaki sihat mendapati kumpulan yang menyedut aroma bunga kenanga menunjukkan penurunan terhadap tekanan darah sistolik dan diastolik serta mengurangkan kadar denyutan jantung. [7]
Rumusan
Minyak bunga kenanga atau turut dikenali sebagai minyak ylang ylang adalah minyak pati yang mempunyai pelbagai khasiat yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan harian.
Biasanya digunakan sebagai aromaterapi, minyak bunga kenanga boleh membantu melegakan stres, menenangkan minda, mengurangkan sakit saraf, mengurangkan sakit berkaitan keresahan (anxiety) dan lain-lain lagi.
Minyak bunga kenanga secara umumnya, selamat untuk dipakai secara luaran atau sebagai aromaterapi. Untuk sapuan kekulit, disarankan untuk mencairkan minyak pati tersebut terlebih dahulu.
Sesetengah orang yang mempunyai kulit sensitif mungkin akan mengalami gejala-gejala alahan kerana kandungan alergen yang terdapat dalam minyak pati ini.
Rujukan
- Gianni Sacchetti, et al. (2005). Comparative evaluation of 11 essential oils of different origin as functional antioxidants, antiradicals and antimicrobials in foods. Food Chemistry.
- Siriporn Phasomkusolsil & Mayura Soonwera. (2011). Comparative mosquito repellency of essential oils against Aedes aegypti (Linn.), Anopheles dirus (Peyton and Harrison) and Culex quinquefasciatus (Say). Asian Pacific Journal of Tropical Biomedicine.
- Wei, A., & Shibamoto, T. (2010). Antioxidant/lipoxygenase inhibitory activities and chemical compositions of selected essential oils. Journal of agricultural and food chemistry.
- Rini Pujiarti. et al. (2012). Effect of Melaleuca leucadendron, Cananga odorata and Pogostemon cablin Oil Odors on Human Physiological Responses. Wood Research Journal.
- Hongratanaworakit, T., & Buchbauer, G. (2004). Evaluation of the harmonizing effect of ylang-ylang oil on humans after inhalation. Planta medica.
- Borgonetti, V., López, V., & Galeotti, N. (2022). Ylang-ylang (Cananga odorata (Lam.) Hook. f. & Thomson) essential oil reduced neuropathic-pain and associated anxiety symptoms in mice. Journal of ethnopharmacology.
- Jung, D. J. et al. (2013). Effects of Ylang-Ylang aroma on blood pressure and heart rate in healthy men. Journal of exercise rehabilitation.