Kahak boleh menyebabkan rasa tidak selesa kepada anda terutamanya ketika anda sakit seperti demam selesema atau batuk. Terdapat beberapa cara hilangkan kahak yang mudah yang boleh dicuba bagi mengurangkan kahak tersebut.
Apa itu Kahak?
Kahak ialah sejenis mukus (cecair melekit) yang dihasilkan oleh membran mukus. Kahak dihasilkan dan digunakan oleh sistem respiratori untuk melawan keradangan.
Mukus mempunyai peranan yang penting terhadap badan anda. Ia dihasilkan oleh sel-sel di mulut, tekak, hidung dan sinus.
Mukus ini berperanan dalam membantu melindungi, melembap dan memerangkap penceroboh seperti bakteria dan virus pada bahagian badan tertentu. Mukus ini tetap ada walaupun anda berada dalam keadaan sihat.
Walau bagaimanapun, sekiranya kahak ini berlebihan ia mungkin menyebabkan ketidakselesaan kepada anda. Terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan untuk hilangkan kahak atau mencairkannya.
Punca atau Penyebab Kahak Berlebihan
Terdapat beberapa punca atau penyebab yang menyebabkan kahak berlebihan. Antaranya adalah:
- Demam selesema
- Menghidap alahan
- Berlaku iritasi pada bahagian sinus seperti sinusitis
- Terdedah kepada asap atau pencemaran
- Penyakit asma
- Jangkitan bakteria atau virus
Biasanya, ketika anda sihat, kahak yang ada biasanya nipis. Malah, anda mungkin tidak menyedarinya. Tetapi, ketika anda sakit, kahak tersebut akan menjadi tebal.
Bagaimana Cara untuk Hilangkan Kahak Berlebihan?
Sekiranya anda mengalami masalah dengan kahak, beberapa cara atau petua berikut boleh membantu anda mencairkan kahak dan memudahkannya untuk dibuang.
1. Minum Air (Terutamanya Air Suam)
Minum air yang banyak terutamanya air suam boleh membantu kahak untuk mengalir.
Air atau cecair lain seperti sup atau jus boleh melonggarkan kesesakan dengan membantu kahak atau mukus untuk bergerak.
2. Gunakan Pelembap Udara
Pelembap udara (humidifier) juga boleh membantu mengurangkan penghasilan mukus dan kahak.
Alat ini berperanan melembapkan udara yang seterusnya boleh membantu melembapkan tekak dan saluran pernafasan anda.
3. Berkumur dengan Air Garam
Berkumur dengan air garam bukan sahaja boleh melegakan sakit tekak, malah ia turut boleh membantu menyingkirkan kahak di dalam tekak anda. [1]
Langkah-langkah untuk berkumur dengan air garam adalah seperti berikut:
- Campurkan segelas air suam dengan sesudu teh garam.
- Sekiranya mempunyai pilihan, gunakan air yang tidak mengandungi klorin.
- Hirup sedikit air tersebut dan dongakkan kepala ke belakang.
- Biarkan air garam tersebut memasukki tekak tanpa anda menelannya.
- Perlahan-lahan tiupkan udara daripada paru-paru anda dan berkumur selama 30 hingga 60 saat, kemudian ludahkan air tersebut.
- Ulang langkah-langkah di atas jika perlu.
4. Gunakan Minyak Kayu Putih
Minyak kayu putih atau minyak pati kayu putih juga boleh digunakan untuk mengurangkan kahak di dada anda.
Minyak kayu putih ini boleh membantu mencairkan kahak dan memudahkan untuk anda menyingkirkannya.
Terdapat kajian yang mendapati sebatian kimia di dalam minyak kayu putih boleh mengurangkan penghasilan mukus (kahak). [2]
Anda boleh menggunakan minyak kayu putih ini dengan menyapunya di dada atau menitiskannya di dalam alat peresap (diffuser).
5. Makan Makanan Pedas
Sekiranya anda seorang pengemar makanan pedas, memakan makanan pedas juga boleh membantu menipiskan kahak dan memudahkannya untuk disingkirkan.
Makanan pedas yang mengandungi kapsaisin yang boleh membersihkan sinus sementara waktu dan membolehkan mukus atau kahak bergerak.
6. Makan Ubat Batuk
Kebanyakan ubat batuk yang boleh didapati di pasaran atau farmasi kebanyakannya mengandungi bahan yang boleh membantu mencairkan kahak.
Oleh itu, memakan ubat batuk boleh membantu anda menyingkirkan kahak yang berada di tekak atau dada anda.
7. Makan Madu
Cara hilangkan kahak yang seterusnya adalah dengan memakan madu.
Madu adalah makanan yang sangat berkhasiat yang boleh membantu melegakan batuk serta mengurangkan kahak.
Kajian turut melaporkan bahawa madu boleh mengurangkan rembesan mukus (kahak) dan mengurangkan batuk dalam kalangan kanak-kanak. [3]
Rumusan
Kahak sebenarnya mempunyai kesan yang baik kepada badan kerana sifatnya yang melindungi bahagian-bahagian badan yang tertentu daripada penceroboh seperti virus atau bakteria.
Selalunya, sewaktu sihat, kahak tidak mendatangkan sebarang masalah kepada anda. Namun, sewaktu sakit, kahak boleh menjadi tebal dan menyebabkan ketidakselesaan kepada anda.
Beberapa cara atau kaedah menghilangkan kahak yang boleh dilakukan seperti minum air yang banyak, berkumur dengan air garam, menggunakan pelembap udara dan lain-lain lagi.
Rujukan
- Ramalingam, S. et al. (2019). A pilot, open labelled, randomised controlled trial of hypertonic saline nasal irrigation and gargling for the common cold. Scientific reports.
- Sudhoff, H. et al. (2015). 1,8-Cineol Reduces Mucus-Production in a Novel Human Ex Vivo Model of Late Rhinosinusitis. PloS one.
- Goldman R. D. (2014). Honey for treatment of cough in children. Canadian family physician.