Minyak bidara atau minyak pati bidara banyak digunakan dalam perubatan tradisional atau perawatan Islam. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai khasiat minyak bidara dalam konteks sains moden, artikel ini menyenaraikan khasiat-khasiat minyak bidara berdasarkan kajian saintifik.
Minyak bidara adalah minyak yang dihasilkan daripada biji buah bidara atau daun pokok bidara. Pokok bidara (Ziziphus jujuba) ialah tumbuhan daripada keluarga Rhamnaceae yang berasal dari Asia Tengah dan Caucasus.
Selain minyak, buah bidara yang segar atau kering juga turut digunakan untuk merawat pelbagai masalah kesihatan seperti gangguan hati, anemia (kekurangan darah) atau sesak nafas.

Bagi masyarakat setempat, minyak bidara digunakan untuk merawat sakit sendi, gout, angin dalam badan, batuk, sesak nafas atau mudah penat, sembelit, gangguan tidur, insomnia dan lain-lain lagi.
Lazimnya, minyak bidara digunakan secara urutan atau sapuan pada bahagian yang sakit.
Kajian-kajian saintifik terhadap khasiat atau manfaat minyak bidara masih terhad. Antara kajian-kajian saintifik yang melaporkan khasiat minyak bidara adalah seperti berikut:
1. Boleh Menggalakkan Pertumbuhan Rambut
Minyak bidara boleh digunakan bagi anda yang mempunyai masalah rambut gugur. Minyak ini boleh menggalakkan pertumbuhan rambut.
Khasiat minyak bidara ini dibuktikan dalam satu kajian yang dijalankan terhadap haiwan.
Kajian tersebut mendapati minyak bidara yang diekstrak daripada biji buah bidara boleh menggalakkan pertumbuhan rambut dan kepekatan sebanyak 1% adalah kuantiti terbaik untuk tujuan tersebut. [1]
2. Boleh Mengurangkan Keradangan
Keradangan adalah tindak balas pertahanan badan terhadap kecederaan atau jangkitan. Keradangan boleh berlaku secara akut atau kronik (berpanjangan).
Keradangan kronik adalah keradangan yang berlaku secara perlahan dan dalam jangka masa yang panjang.
Keradangan kronik banyak dikaitkan dengan penyakit seperti kanser, asma, diabetes,penyakit jantung dan penyakit Alzheimer.
Minyak bidara turut berguna untuk mengurangkan keradangan. Kajian terhadap haiwan mendapati minyak bidara boleh menyekat tindak balas keradangan kulit terhadap model haiwan tersebut. [2]
3. Boleh Membantu Penyembuhan Luka
Minyak bidara juga turut bermanfaat untuk digunakan untuk menyembuhkan luka terutamanya bagi luka melecur.
Kajian terhadap haiwan menunjukkan penggunaan minyak bidara pada kepekatan 1% adalah paling berkesan dalam menyembuhkan luka melecur. [3]
Kesan penyembuhan minyak bidara ini dipercayai disumbang oleh kandungan asid lemak taktepu yang tinggi serta kandungan flavonoid dan tryptonoid.
4. Boleh Membantu Merawat Insomnia
Biji buah bidara telah digunakan untuk merawat insomnia (gangguan tidur atau sukar tidur) dalam perubatan tradisional China sejak dahulu lagi.
Kandungan sebatian bioaktif dalam biji buah bidara didapati mempunyai kesan sedatif dalam otak yang boleh membantu seseorang itu untuk tidur. [4]
Minyak bidara yang dihasilkan daripada biji buah bidara dipercayai boleh memberikan kesan yang sama.
5. Baik untuk Kesihatan Otak
Minyak bidara juga mempunyai khasiat atau kesan yang baik terhadap kesihatan otak khususnya terhadap pembelajaran dan ingatan (memori).
Satu kajian yang dijalankan terhadap haiwan mendapati minyak bidara boleh menggalakkan pembelajaran dan ingatan dalam model haiwan yang mewakili wanita menopaus. [5]
Wanita menopaus biasanya akan mengalami penurunan paras estrogen yang seterusnya menyebabkan kemerosotan fungsi kognitif seperti ingatan dan pembelajaran.
Rumusan
Kajian-kajian saintifik terhadap khasiat minyak bidara adalah masih terhad.
Walau bagaimanapun, berdasarkan beberapa kajian yang ada, dapat dirumuskan bahawa minyak bidara berkhasiat dalam membantu pertumbuhan rambut, mengurangkan keradangan, menyembuhkan luka dan lain-lain lagi.
Rujukan
- Yoon, J. I. et al. (2010). Hair growth promoting effect of Zizyphus jujuba essential oil. Food and chemical toxicology.
- Al-Reza, S. M. et al. (2010). Anti-inflammatory activity of seed essential oil from Zizyphus jujuba. Food and chemical toxicology.
- Ansari samani R, et al. (2012). The beneficial property of hydroalcoholic extract of Annab on burn healing. Life Sci J.
- Shergis, J. L. et al. (2017). Ziziphus spinosa seeds for insomnia: A review of chemistry and psychopharmacology. Phytomedicine.
- Chen, Y. H. et al. (2013). [Effect of compound gardenia oil and jujube seed oil on learning and memory in ovariectomized rats]. Chinese journal of applied physiology.