Kelemumur adalah keadaan biasa yang menyebabkan kulit pada kulit kepala mengelupas. Ia tidak berjangkit atau serius. Tetapi ia boleh memalukan dan sukar untuk dirawat.
Kelemumur menjejaskan hampir separuh daripada populasi pada usia pra-akil baligh dan mana-mana jantina dan etnik. Hampir tiada penduduk di dunia ini yang bebas tanpa terjejas oleh kelemumur pada satu peringkat dalam kehidupan mereka.
Kelemumur yang ringan boleh dirawat dengan menggunakan syampu yang digunakan setiap hari. Jika syampu kelemumur ini tidak berkesan, syampu kelemumur berubat mungkin diperlukan. Kelemumur adalah satu bentuk seborrheic dermatitis ringan.
Gejala-gejala
Gejala-gejala atau tanda kelemumur yang biasa berlaku adalah:
- Kulit kepala berkeruping
- Kulit kepala yang gatal
- Tompok-tompok merah pada kulit kepala
- Keguguran rambut
Gejala atau simptom-simptom mungkin akan bertambah teruk apabila anda stres (tertekan) dan cenderung untuk menjadi lebih teruk semasa musim sejuk dan kering.
Punca yang Menyebabkan Kelemumur
Kelumumur berpunca daripada beberapa faktor seperti:
- Kulit kering
- Kulit berminyak
- Sensitif terhadap produk penjagaan rambut
- Kulat malassezia
- Masalah kulit seperti ekzema atau psoriasis
Faktor risiko
Terdapat juga beberapa faktor risiko lain yang meningkatkan risiko untuk seseorang itu mendapat kelemumur. Antaranya adalah:
- Usia: Kelemumur selalunya bermula pada usia remaja dan berterusan sehingga pertengahan usia. Sesetengah orang mungkin mengalaminya sepanjang hidup mereka.
- Lelaki: Orang lelaki lebih lazim mengalami kelemumur berbanding wanita.
- Menghidap penyakit tertentu: Menghidap penyakit yang menjejaskan sistem saraf meningkatkan risiko mengalami kelemumur. Mempunyai penyakit HIV atau memiliki sistem imun yang lemah juga turut berisiko tinggi.
Cara Merawat atau Menghilangkan Kelemumur
Cara terbaik untuk menghilangkan kelemumur adalah menggunakan syampu kelemumur dan mendapatkan rawatan kulit kepala.
Untuk kelemumur ringan, mula-mula cuba pembersihan biasa dengan syampu lembut untuk mengurangkan minyak dan pembentukan sel kulit. Jika itu tidak membantu, cuba syampu kelemumur berubat.
Syampu kelemumur dikelaskan berdasarkan ubat yang terdapat di dalamnya. Sesetengah syampu ini ada dijual di kedai-kedai biasa atau farmasi dan ada yang perlu dipreskripsi oleh doktor.
Antara syampu-syampu tersebut adalah:
- Syampu yang mengandungi pyrithione zinc: Syampu ini mengandungi agen antibakteria dan antikulat iaitu pyrithione zinc atau zinc pyrithione.
- Syampu yang berasaskan tar: Tar arang memperlahankan sel-sel kulit pada kulit daripada mati dan berkeruping. Syampu jenis ini mungkin menyebabkan kulit kepala lebih sensitif terhadap cahaya matahari.
- Syampu yang mengandungi asid salisilik: Syampu jenis ini boleh membantu menyingkirkan keruping.
- Syampu selenium sulfide: Syampu ini mengandungi agen antikulat.
- Syampu Ketoconazole: Syampu ini bertujuan untuk untuk membunuh kulat yang menyebabkan kelemumur yang hidup di kulit kepala anda.
- Syampu Fluocinolone: Produk ini mengandungi kortikosteroid untuk membantu mengawal kegatalan, mengelupas dan kerengsaan.
Jika satu jenis syampu berfungsi untuk seketika dan kemudian kelihatan kehilangan keberkesanannya, cuba selang seli antara dua jenis syampu kelemumur.
Setelah kelemumur anda terkawal, gunakan syampu berubat dengan lebih jarang untuk penyelenggaraan dan pencegahan.
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2021). Dandruff. MayoClinic.