Penyakit psoriasis ialah penyakit kulit yang kronik yang menyebabkan kulit seseorang itu menebal lebih cepat daripada kulit yang normal. Penyakit ini menyebabkan kulit yang terkesan mengalami tompok-tompok merah yang diliputi sisik keputih-putihan.
Bahagian yang sering berlaku penyakit ini adalah lutut, siku, kulit kepala dan kaki. Psoriasis boleh juga terjadi di bahagian badan, leher dan juga muka.
Penyakit psoriasis ini adalah hasil daripada proses penjanaan semula kulit yang lebih cepat. Biasanya, sel-sel kulit yang baru tumbuh akan perlahan-lahan naik ke permukaan dan akhirnya akan luruh. Kitaran hidup sel-sel kulit ini biasanya berlaku dalam masa satu bulan.
Bagi penghidap psoriasis, kitaran hidup sel-sel kulit ini hanya berlaku dalam masa beberapa hari sahaja. Kesannya, sel-sel kulit lama tidak sempat untuk luruh.
Ini menyebabkan lebihan pengeluaran yang membawa kepada timbunan sel-sel kulit. Akibatnya, kulit menjadi semakin tebal dan bersisik.
Jenis-jenis Psoriasis
Terdapat 5 jenis psoriasis iaitu:
1. Psoriasis plak
Psoriasis plak adalah jenis yang paling lazim terjadi. Psoriasis jenis ini akan menyebabkan kulit mengalami tompok-tompok merah,timbul, kering dan dilitupi sisik berwarna putih perak.
Selalunya berlaku di bahagian siku, lutut, pinggang dan kulit kepala.
2. Psoriasis guta
Psoriasis guta sering terjadi kepada kanak-kanak. Psoriasis jenis ini dicetuskan oleh jangkitan bakteria seperti bakteria yang menyebabkan sakit tekak.
Psoriasis guta akan menyebabkan kulit mengalami bintat-bintat kecil berwarna merah jambu. Selalunya terjadi di bahagian lengan, kaki dan badan (torso).
3. Psoriasis pustular
Psoriasis pustular lebih lazim berlaku kepada orang dewasa. Psoriasis jenis ini menyebabkan kulit mengalami lepuh bernanah dan keradangan. Selalunya terjadi di tangan atau kaki.
4. Psoriasis songsang
Psoriasis songsang berlaku di kawasan kelangkang, ketiak, punggung dan buah dada (payudara). Psoriasis jenis ini menyebabkan kulit mengalami tompok merah yang licin dan keradangan.
Ia akan menjadi lebih teruk sekiranya anda berpeluh atau berlaku pergeseran. Jangkitan kulat mungkin pencetus kepada psoriasis jenis ini.
5. Psoriasis eritrodermik
Psoriasis eritrodermik ini adalah jenis psoriasis yang teruk dan jarang berlaku.
Psoriasis eritrodermik menyebabkan kulit badan kelihatan seperti selar matahari (sunburn) atau ruam. Ia juga menyebabkan sisik yang terbentuk tanggal dalam bentuk yang besar.
Penghidap psoriasis eritrodermik ini boleh jatuh sakit dan demam. Psoriasis jenis ini boleh mengancam nyawa, dapatkan rawatan daripada doktor pada kadar yang segera.
Punca Penyakit Psoriasis
Para pengkaji tidak tahu punca sebenar yang mengakibatkan psoriasis ini. Tetapi berdasarkan kajian-kajian, mereka tahu dua faktor utama iaitu sistem imun dan genetik memainkan peranan penting dalam pembentukan penyakit ini.
Selain itu, terdapat juga “pencetus” yang menyebabkan simptom-simptom psoriasis atau memburukkan lagi keadaan.
Sistem imun
Psoriasis ialah keadaan autoimun yang menyebabkan badan menyerang dirinya sendiri. Bagi kes psoriasis, sel-sel darah putih secara silap menyerang sel-sel kulit.
Serangan ini menyebabkan proses penjanaan sel-sel kulit baru menjadi terlalu cepat. Kulit lama pula tidak sempat untuk luruh. Akhirnya berlaku timbunan atau longgokan kulit.
Keadaan ini yang menyebabkan terjadinya plak yang berkaitan dengan psoriasis.
Genetik
Sesetengah orang mewarisi genetik yang memudahkan mereka terkena penyakit psoriasis ini. Jika ada ahli keluarga terdekat yang mempunyai masalah kulit, anda berisiko tinggi untuk terkena penyakit ini.
Pencetus Psoriasis
Ramai juga mereka yang terdedah kepada psoriasis bebas daripada simptom-simptom bertahun lamanya.
Namun, akibat dicetuskan oleh faktor persekitaran atau luaran, penyakit ini mula menunjukkan simptom-simptomnya.
Pencetus psoriasis berbeza-beza antara individu. Antara pencetus psoriasis adalah:
- Tekanan (stres).
- Jangkitan pada kulit atau saluran pernafasan.
- Kecederaan pada kulit seperti gigitan atau sengat serangga, selar matahari (sunburn) dan luka.
- Merokok atau menjadi perokok pasif.
- Peminum arak tegar.
- Cuaca terutamanya cuaca sejuk.
- Ubat-ubatan seperti ubat darah tinggi, ubat antimalaria, beta-blocker atau litium.
- Udara tercemar.
- Vaksin seperti vaksin influenza.
Terdapat juga faktor dalaman yang boleh mencetus psoriasis. Antaranya adalah:
- Sindrom metabolik
- Obesiti
- Kencing manis (diabetes)
- Tekanan darah tinggi (hipertensi)
- Tekanan mental
- Dyslipidemia (kandungan lemak atau kolesterol yang tinggi dalam darah)
Simptom-simptom Penyakit Psoriasis
Simptom-simptom psoriasis berbeza-beza bagi setiap individu dan bergantung kepada jenis psoriasis yang dihidapi.
Antara simptom-simptom yang lazim berlaku adalah:
- Tompok-tompok merah yang dilitupi oleh sisik putih kelabu.
- Bintik-bintik bersisik (selalunya terjadi kepada kanak-kanak).
- Kulit yang kering dan merekah yang boleh berdarah dan gatal.
- Rasa gatal-gatal, sakit dan membakar.
- Sakit dan bengkak sendi.
- Kuku menjadi tebal dan berlubang.
Biasanya simptom-simptom psoriasis ini mempunyai kitaran dimana simptom-simptom ini akan menyerang selama beberapa minggu atau bulan. Kemudian, mereda untuk sementara waktu atau hilang sepenuhnya.
Kemudian, simptom ini akan kembali timbul kembali selepas beberapa minggu atau akibat dicetuskan oleh faktor luaran.
Komplikasi
Psoriasis boleh menyebabkan sakit sendi (artritis) yang dikenali sebagai artritis psoriatik. Artritis psoriatik ini akan menyebabkan sakit dan bengkak pada mana-mana bahagian sendi termasuklah sendi jari tangan dan kaki.
Adakah Penyakit Psoriasis Berjangkit?
Tidak, penyakit ini tidak berjangkit. Anda tidak akan dijangkiti sekiranya menyentuh luka atau bahagian yang terbentuk penyakit ini.
Rawatan Penyakit Psoriasis
Rawatan psoriasis menumpu kepada memperlahankan sel-sel kulit daripada tumbuh dengan cepat, mengurangkan keradangan dan menyingkirkan sisik.
Terdapat beberapa jenis rawatan termasuklah ubat sapuan, ubat makan atau suntikan dan terapi cahaya.
Ubat sapuan
Ubat sapuan terdiri daripada krim atau minyak yang boleh disapu pada permukaan kulit. Ubat jenis ini boleh membantu mengurangkan psoriasis yang ringan hingga sederhana.
Antara jenis ubat sapuan yang boleh merawat penyakit psoriasis ini termasuklah:
- Kortikosteroid topikal. Ubat ini adalah ubat preskripsi. Ubat jenis ini boleh didapati dalam bentuk krim, minyak, losyen, gel, semburan dan juga syampu.
- Vitamin D buatan. Vitamin D sintetik seperti calcipotriene dan calcitriol boleh membantu memperlahankan tumbesaran sel-sel kulit.
- Retinoid topikal.
- Krim yang berasaskan arang (coal tar). Ubat jenis ini boleh mengurangkan sisik, gatal-gatal dan keradangan. Boleh dibeli di farmasi dalam beberapa jenis bentuk seperti krim, minyak atau syampu (tidak disarankan kepada wanita mengandung dan menyusu bayi).
- Asid salisilik. Syampu asid salisilik boleh mengurangkan sisik bagi psoriasis kulit kepala.
- Anthralin. Krim yang boleh digunakan untuk melambat pertumbuhan sel-sel kulit.
Terapi Cahaya
Terapi cahaya adalah salah satu rawatan yang menggunakan cahaya ultrauggu (UV) atau cahaya semulajadi.
Cahaya matahari boleh membunuh sel-sel darah putih yang terlebih aktif yang menyerang sel-sel kulit yang sihat.
Terdapat beberapa pilihan terapi cahaya atau fototerapi yang didapati seperti:
- Cahaya matahari
- UVB jalur lebar (UVB broadband)
- UVB jalur sempit (UVB narrowband)
- PUVA (psoralen plus ultraviolet A)
- Laser eksimer
Perubahan Gaya Hidup untuk Merawat Psoriasis
Walaupun perubahan gaya hidup bukanlah penyembuh atau rawatan untuk penyakit psoriasis ini, tetapi perubahan gaya hidup dapat membantu mengurangkan keterukan simptom yang dialami.
Hindari Makanan yang Boleh Menyebabkan Keradangan
Psoriasis menyebabkan keradangan. Sesetengah makanan boleh menyebabkan keradangan. Mengelakkan makanan ini boleh mengurangkan simptom yang berlaku.
Hindari makanan berikut:
- Makanan berproses
- Karbohidrat bertapis
- Daging merah
- Produk tenusu
Sebaliknya, amalkan makanan yang bersifat antiradang.
Kurangkan Berat Badan
Obesiti adalah salah satu pencetus psoriasis. Oleh itu, mengurangkan berat badan dapat membantu mengurangkan risiko berlakunya simptom-simptom psoriasis dan mengurangkan keterukan simptom yang terjadi.
Berhenti merokok dan minum arak
Merokok dan minum arak boleh mencetuskan simptom-simptom psoriasis. Menghindari 2 perkara ini boleh membantu anda mengurangkan risiko tercetusnya simptom-simptom psoriasis yang mungkin telah lama tidak berlaku.
Ambil vitamin
Pertimbangkan untuk ambil vitamin sekiranya diet harian anda tidak dapat memenuhi keperluan nutrien harian anda.
Dapatkan nasihat doktor sebelum ambil vitamin dalam bentuk suplemen.
Uruskan tekanan
Tekanan atau stres boleh mencetuskan psoriasis. Oleh itu, uruskan tekanan di tempat kerja dan tekanan dirumah dengan melakukan aktiviti yang boleh mengurangkan tekanan seperti melakukan:
- Aktiviti riadah
- Mendengar lagu-lagu yang menenangkan
- Bermain dengan haiwan peliharaan
- Membaca
- Membaca al-Quran
- Solat sunat
- Berzikir
Rumusan
Penyakit psoriasis ialah penyakit autoimun yang tiada penawar. Walau bagaimanapun, terdapat banyak pilihan rawatan yang boleh membantu melegakan simptom-simptom yang berlaku.
Penyakit ini dipercayai berpunca daripada faktor genetik dan sistem imun yang bertindak secara abnormal. Selain itu, terdapat juga faktor luaran dan dalaman yang boleh mencetuskan simptom-simptom psoriasis.
Oleh itu, perubahan gaya hidup dapat sedikit sebanyak membantu menangani simptom-simptom yang berlaku.
Sekiranya anda mengesyaki anda atau ahli keluarga terdekat menghidapi penyakit ini, sila dapatkan rawatan daripada klinik kesihatan atau hospital berdekatan.
Rujukan
- Kimberly Holland. (2020). Everything You Need to Know About Psoriasis. Healthline [diakses pada 28 Disember 2020].
- Mayo Clinic Staff. (2020). Psoriasis. Mayo Clinic [diakses pada 28 Disember 2020].
- Kamiya, K., et al. (2019). Risk Factors for the Development of Psoriasis. International journal of molecular sciences.
- Rendon, A., & Schäkel, K. (2019). Psoriasis Pathogenesis and Treatment. International journal of molecular sciences.
- Nair PA, Badri T. Psoriasis. [Updated 2020 Nov 20]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2020 Jan-. Available from: https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK448194/