Bagi anda yang menghidap psoriasis, menjaga pemakanan boleh membantu menguruskan penyakit dan mencegah ia daripada menjadi semakin teruk. Terdapat sesetengah makanan yang baik untuk psoriasis dan ada juga makanan yang tidak baik untuk psoriasis.
Artikel ini menjelaskan kepada anda akan peranan makanan terhadap penyakit psoriasis dan makanan yang boleh dan tidak boleh dimakan oleh penghidap psoriasis.
Apakah Hubungan Psoriasis dengan Pemakanan (Diet)?
Psoriasis ialah penyakit yang menyebabkan kulit mengalami tompok-tompok merah yang diliputi sisik keputih-putihan. Penyakit ini adalah sejenis penyakit autoimun kronik (berpanjangan).
Dalam penyakit autoimun, sistem imun menganggap bahagian badan anda, seperti sendi atau kulit sebagai asing. Ia membebaskan protein yang dipanggil antibodi yang menyerang sel-sel yang sihat.
Penyakit psoriasis akan menyebabkan sebahagian kulit mula menghasilkan sel-sel kulit secara berlebihan, yang kemudiannya menyebabkan plak pada kulit anda. Plak adalah tompok merah, bersisik yang boleh menjadi gatal atau menyakitkan.
Kadang-kadang, psoriasis turut disertai dengan artritis psoriatik, keadaan keradangan sendi.
Kedua-dua keadaan ini tidak disebabkan oleh apa-apa yang anda makan, tetapi terdapat kaitan penting antara diet dan psoriasis. Banyak makanan diketahui menyebabkan keradangan di seluruh badan. Bagi sesetengah orang, keradangan yang meluas ini boleh menjadikan gejala-gejala psoriasis menjadi lebih teruk.
Bagaimana Makanan Menyebabkan Keradangan?
Terdapat banyak kajian yang dijalankan berkaitan diet dan keradangan. Terdapat makanan-makanan tertentu yang boleh menyebabkan keradangan.
Sebagai contoh, satu ulasan kajian mendedahkan bahawa diet yang mengandungi kanji bertapis, gula, lemak tepu, lemak trans, serta rendah dengan asid lemak Omega-3, antioksidan dan serat boleh meningkatkan keradangan. [1]
Contoh lain adalah diet yang tinggi dengan lemak boleh meningkatkan keradangan dalam lapisan lemak badan. Keradangan tisu lemak yang berpanjangan boleh meningkatkan risiko terhadap psoriasis serta penyakit lain seperti diabetes jenis 2, penyakit jantung atau penyakit kronik yang lain.[2]
Makanan yang Perlu Dielakkan Oleh Pesakit Psoriasis
Bagi pesakit psoriasis, beberapa makanan berikut perlu dielakkan kerana makanan-makanan ini boleh mencetuskan keradangan.
1. Alkohol
Pengambilan alkohol boleh menyebabkan hati berkerja lebih daripada biasa. Hati terpaksa menghasilkan bahan kimia untuk memetabolismekan alkohol. Keadaan ini akan menyebabkan keradangan berpanjangan terutamanya sekiranya anda meminumnya secara kerap.
Selain itu, alkohol juga boleh memusnahkan bakteria baik dalam usus yang mengakibatkan keradangan di dalam usus besar.
Alkohol dipercayai sebagai pencetus psoriasis kerana kesannya yang mengganggu pada pelbagai laluan sistem imun.
2. Produk Tenusu
Kebanyakan produk tenusu adalah tinggi dengan lemak. Selain kandungan lemak, kandungan laktosa dalam produk tenusu boleh menyebabkan masalah penghadaman bagi mereka yang tak toleran laktosa.
Keadaan-keadaan ini akan menyebabkan keradangan bertambah teruk. Bagi sesetengah orang, gejala-gejala psoriasis dapat dikurangkan apabila mereka tidak mengambil produk tenusu dalam diet mereka.
3. Gluten
Sesetengah penghidap psoriasis turut mengalami kepekaan gluten. Berdasarkan kajian, penghidap psoriasis didapati turut mengalami peningkatan terhadap kepekaan gluten. [3]
Kepekaan gluten juga turut sinonim dengan penyakit seliak yang dicirikan dengan tindak balas autoimun terhadap protein gluten.
Sekiranya anda menghidap penyakit psoriasis dan kepekaan gluten, adalah penting untuk mengelakkan makanan-makanan yang mengandungi gluten.
Antara makanan yang mengandungi gluten adalah:
- Gandum atau tepung gandum
- Rai, barli dan malt
- Pasta atau mi
- Makanan diproses
- Sos atau perisa
- Bir atau minuman malt
4. Makanan Diproses
Pesakit psoriasis juga turut disarankan untuk mengelakkan makanan diproses. Makanan yang diproses adalah tinggi dengan kalori, lemak, garam dan gula
Makanan yang diproses terutamanya makanan yang diproses ultra boleh membawa kepada masalah kesihatan seperti obesiti. Obesiti telah dikaitkan dengan keradangan dan boleh menyebabkan psoriasis bertambah teruk. [4]
Oleh itu, penghidap psoriasis perlu mengelakkan makanan yang diproses seperti:
- Daging diproses
- Buah-buahan dan sayur-sayuran di dalam tin.
- Minuman berkarbonat
- Roti putih
- Minuman tenaga
- Kerepek dan keropok
- Mi segera
- Nuget ayam
- Burger
- Hotdog atau sosej
- Makanan diawet seperti jeruk, ikan masin atau telur masin
5. Makanan Tinggi dengan Gula
Gula tambahan dalam minuman berkarbonat, jus buah-buahan, gula-gula, makanan bakar dan manisan lain adalah berbeza daripada gula semula jadi seperti dalam buah-buahan.
Badan kita menghasilkan insulin untuk memproses gula, tetapi terlalu banyak gula tambahan memaksa badan menyimpan tenaga tambahan tersebut dalam bentuk lemak dan menyebabkan keradangan tisu lemak.
Makanan yang mengandungi banyak gula tambahan juga boleh menyebabkan peningkatan paras protein keradangan yang dipanggil sitokin.
Makanan atau minuman yang mengandungi pemanis tiruan juga turut berbahaya kerana meningkatkan risiko kepada kanser dan keradangan.
6. Tumbuhan Nightshade
Pengambilan makanan yang terdiri daripada tumbuhan nightshade adalah salah satu pencetus kepada keterukan psoriasis.
Tumbuhan nightshade mengandungi sebatian solanina yang boleh menjejaskan penghadaman dan menyebabkan keradangan. [5]
Makanan atau tumbuhan nightshade yang perlu dielakkan adalah:
- Ubi kentang
- Tomato
- Terung
- Cili
- Paprika
Makanan yang Boleh Dimakan Oleh Pesakit Psoriasis
Makanan-makanan berikut pula adalah makanan yang baik untuk psoriasis kerana bersifat antiradang dan boleh mengurangkan keterukan penyakit ini.
1. Buah-buahan dan Sayur-sayuran
Diet yang tinggi dengan buah-buahan dan sayur-sayuran segar adalah diet yang boleh mencegah atau mengurangkan keradangan. Ini kerana makanan ini kaya dengan antioksidan yang boleh mengurangkan tekanan oksidatif dan bersifat antiradang.
Antara contoh buah-buahan dan sayur-sayuran yang boleh dimakan adalah:
- Buah strawberi
- Buah anggur
- Buah beri biru
- Buah pisang
- Buah betik
- Buah ceri
- Sayur bayam
- Sayur kubis
- Sayur brokoli
- Sayur kailan
2. Ikan Berlemak
Ikan berlemak juga adalah makanan yang baik untuk psoriasis. Hal ini demikian kerana, ikan berlemak adalah kumpulan ikan yang tinggi dengan asid lemak Omega-3 atau minyak ikan.
Asid lemak Omega-3 boleh mengurangkan pengeluaran molekul dan bahan yang dikaitkan dengan keradangan, seperti sitokin. [6]
Antara contoh ikan berlemak adalah:
- Ikan salmon
- Ikan sardin
- Ikan kembung
- Ikan tenggiri
- Ikan tuna
3. Minyak Zaitun
Selain ikan berlemak, minyak zaitun juga merupakan minyak yang turut kaya dengan asid lemak Omega-3.
Tambahan daripada itu juga, minyak zaitun juga mempunyai nisbah Omega-3 kepada Omega-6 yang lebih tinggi. Ciri-ciri ini penting kerana Omega-3 bersifat antiradang dan Omega-6 bersifat prokeradangan.
4. Probiotik
Makanan probiotik adalah makanan yang mengandungi probiotik iaitu bakteria-bakteria yang baik untuk usus. Selain makanan, anda juga boleh mendapatkan probiotik melalui suplemen.
Kajian menunjukkan bahawa probiotik boleh mengurangkan kawasan psoriasis dan keterukan psoriasis, mencegah keradangan, mengawal sel-sel imun, dan mengawal komposisi bakteria baik dalam usus. [7]
Antara makanan yang mengandungi probiotik adalah:
- Greek yogurt
- Tempe
- Kimci
- Kombucha
5. Suplemen
Terdapat juga kajian yang menunjukkan bahawa suplemen seperti minyak ikan, selenium, vitamin D dan vitamin B12 boleh mengurangkan keradangan bagi psoriasis. [8]
Pengambilan suplemen dengan nutrien ini boleh menurunkan kekerapan dan keterukan psoriasis.
Amalan Diet yang Boleh Dipertimbangkan
Diet Dr. Pagano
Diet yang diperkenalkan oleh Dr. John O.A. Pagano adalah antara diet yang berkesan untuk mengurangkan psoriasis. Tinjauan pada tahun 2017 yang melibatkan 1,200 orang penghidap psoriasis melaporkan bahawa diet Dr. Pagano adalah paling berkesan dalam mengurangkan psoriasis. [5]
Pendekatan dalam diet Dr. Pagano adalah:
- Mengambil banyak buah-buahan dan sayur-sayuran.
- Mengehadkan pengambilan bijian, daging, makanan laut, tenusu dan telur.
- Mengelakkan daging merah, tumbuhan nighshade, buah-buahan sitrus, makanan diproses dan lain-lain.
Rujukan
- Giugliano, D. et al. (2006). The effects of diet on inflammation: emphasis on the metabolic syndrome. Journal of the American College of Cardiology.
- Teng, KT. et al. (2014). Modulation of obesity-induced inflammation by dietary fats: mechanisms and clinical evidence. Nutr J.
- Kolchak, N. A. et al. (2017). Prevalence of antigliadin IgA antibodies in psoriasis vulgaris and response of seropositive patients to a gluten-free diet. Journal of multidisciplinary healthcare.
- Debbaneh, M. et al. (2014). Diet and psoriasis, part I: Impact of weight loss interventions. Journal of the American Academy of Dermatology.
- Afifi, L. et al. (2017). Dietary Behaviors in Psoriasis: Patient-Reported Outcomes from a U.S. National Survey. Dermatology and therapy.
- Li, H. et al. (2005). EPA and DHA reduce LPS-induced inflammation responses in HK-2 cells: evidence for a PPAR-gamma-dependent mechanism. Kidney international.
- Zeng, L. et al. (2021). The Effectiveness and Safety of Probiotic Supplements for Psoriasis: A Systematic Review and Meta-Analysis of Randomized Controlled Trials and Preclinical Trials. Journal of immunology research.
- Millsop, J. W. et al. (2014). Diet and psoriasis, part III: role of nutritional supplements. Journal of the American Academy of Dermatology.