Sekiranya anda sedang mencari cara hilangkan sakit tekak, anda berada di tempat yang betul. Di sini kami kongsikan maklumat lengkap mengenai cara hilangkan sakit tekak termasuklah rawatan moden dan petua-petua ringkas yang mudah untuk diamalkan.
Sakit tekak ialah keadaan yang menyebabkan rasa sakit, kering atau gatal-gatal dalam tekak. Anda juga akan berasa lebih sakit ketika anda menelan.
Sakit tekak juga antara gejala yang paling biasa berlaku dalam kalangan kanak-kanak mahupun orang dewasa. Kebiasaannya, sakit ini boleh diikuti dengan gejala lain seperti bersin, selesema dan batuk.
Secara umumnya, sakit tekak boleh dibahagikan kepada 3 jenis iaitu berdasarkan kawasan yang terkesan dan dijangkiti pada tekak.
- Faringitis (Pharyngitis): keradangan pada belakang mulut (farinks).
- Tonsilitis (Tonsillitis): bengkak dan kemerahan pada tonsil.
- Laringitis (Laryngitis) : bengkak dan kemerahan pada peti suara.

Penulis: Dake melalui Wikimedia
Punca atau Penyebab Sakit Tekak
Sebelum merawat sesuatu penyakit atau kesakitan, harus diketahui dahulu punca-punca yang menyebabkan kesakitan ini. Hal ini penting untuk rawatan yang sesuai dan langkah-langkah pencegahan di masa hadapan.
Punca kepada sakit tekak kebiasaannya adalah akibat jangkitan virus ataupun bakteria. Virus adalah penyebab kira-kira 85% hingga 95% jangkitan terhadap golongan orang dewasa dan kanak-kanak yang berumur kurang dari 5 tahun.
Selain itu, faktor persekitaran seperti cuaca panas dan udara kering juga boleh menyebabkan sakit tekak.
Beberapa punca-punca lain yang boleh menyebabkan sakit tekak termasuklah:
- Demam selesema
- Alahan
- Asap rokok
- Cuaca atau udara kering
- Pencemaran udara (jerebu)
- Bahan kimia seperti produk pencuci
- Ketumbuhan (tumor pada tekak)
- Penyakit refluks gastroesofagus (GERD)
- Kecederaan pada tekak atau kerongkong
- Selepas pembedahan
Simptom-simptom Sakit Tekak
Simptom atau gejala sakit tekak bergantung kepada punca yang menyebabkannya. Seseorang yang menghidap sakit ini boleh mengalami gejala-gejala seperti berikut:
- Gatal-gatal dalam tekak
- Tekak berasa kering
- Rasa yang tidak selesa
- Rasa sakit ketika menelan
- Rasa sakit ketika bercakap
- Tekak dan tonsil akan kelihatan merah
Kadang-kala anda boleh lihat tompok-tompok putih seperti ulser terbentuk di bahagian tonsil. Tompok-tompok putih ini menunjukkan jangkitan virus pada tekak.
Gejala atau simptom yang lain yang boleh berlaku adalah:
- Sesak nafas
- Hidung berair
- Demam
- Bersin
- Batuk
- Bengkak pada kelenjar tekak
- Suara menjadi serak
- Sakit kepala
- Susah untuk menelan
- Hilang selera makan
- Loya atau muntah
- Badan berasa sakit-sakit

Penulis: Pbeck melalui Wikimedia
Cara Untuk Hilangkan Sakit Tekak (Rawatan Dirumah atau Petua)
Sakit tekak yang ringan biasanya boleh dihilangkan dengan rawatan dirumah atau melalui amalan petua-petua ringkas.
Berikut adalah beberapa cara hilangkan sakit tekak yang boleh anda cuba di rumah.
1. Berkumur dengan air garam
Berkumur dengan air garam yang suam boleh membantu melegakan tekak yang gatal. Garam tersebut akan mengeluarkan lendir daripada tisu yang bengkak dan mengalami keradangan dan melegakan ketidakselesaan ini.
Malah kajian oleh Universiti Shahroud, Iran mendapati mereka yang berkumur dengan air garam kurang berisiko untuk terkena jangkitan pada saluran pernafasan.
Cara-caranya:
- Campurkan 1/4 hingga 1/2 sudu teh garam ke dalam 120 ml hingga 240ml air suam.
- Kacau air tersebut sehingga garam itu larut.
- Kemudian, berkumur dengan air garam ini beberapa saat dan ludahkannya.
- Berkumurlah dengan air garam ini beberapa kali sehari.
2. Minum madu
Madu lebah atau madu kelulut boleh diambil untuk mengurangkan kesakitan pada tekak.
Madu mempunyai sifat atau ciri-ciri antibakteria,antiradang,antivirus,dan antioksidan yang bermanfaat untuk melegakan kesakitan pada tekak.
Selain melegakan sakit tekak, madu juga bagus untuk melegakan batuk.
Cara-caranya:
- Campurkan madu ini dengan air suam, teh atau air lemon.
- Minum air campuran madu ini setiap pagi dan petang.
- Madu ini juga boleh dimakan tanpa dicampurkan apa-apa.
Sekiranya anda biasa dengan teh hijau, mencampurkan madu dengan teh hijau akan menggandakan kesan perawatan kerana teh hijau juga mempunyai ciri-ciri antibakteria, tinggi dengan antioksidan dan bersifat antiradang.
Dapatkan teh hijau dan madu lebah secara atas talian hari ini.
3. Makan aiskrim
Ya! makan aiskrim. Mesti ramai yang mengemarinya. Ais krim atau yogurt yang sejuk boleh membantu mengurangkan kegatalan atau sakit pada tekak.
Selain itu, makan makanan yang lembut seperti telur, kentang lenyek, sup serta buah-buahan lembut seperti betik dan pisang juga dapat mengurangkan kesakitan pada tekak.
Jauhi makanan yang pedas dan berasid seperti jus oren atau jus limau nipis kerana makanan seperti ini akan menyebabkan tekak anda bertambah sakit.
4. Minum teh herba
Minum teh hijau atau teh bunga kamomil (chamomile).
Teh hijau bersifat antibakteria, melegakan kesakitan, kaya dengan antioksidan dan turut boleh membantu mengurangkan keradangan.
Teh kamomil pula telah lama digunakan dalam perubatan. Teh ini bersifat antiradang, antibiotik, antioksidan dan astringen.
Kajian mendapati dengan menyedut wap kamomil boleh melegakan gejala demam selesema yang diakibatkan oleh jangkitan virus termasuklah yang menjangkiti tekak.
Minum teh kamomil juga boleh memberikan manfaat yang sama.
5. Banyakkan minum air
Kekal terhidrat adalah penting untuk merawat kesakitan ini. Apabila kita dehidrasi, badan kita tidak menghasilkan air liur dan mukus yang mencukupi untuk tekak kita kekal lembap. Ini akan menyebabkan bengkak atau radang bertambah teruk.
Air kosong adalah pilihan terbaik. Teh suam dan sup suam juga boleh diambil.
Elakkan minum minuman mengandungi kafein dan arak kerana boleh menyebabkan mulut dan tekak cepat kering.
6. Hisap gula-gula lozeng
Lozeng (ubat kemam) untuk tekak boleh digunakan untuk meredakan kesakitan pada tekak dan melegakan ketidakselesaan.
Terdapat pelbagai jenama gula-gula lozeng yang boleh didapati di farmasi dan kedai runcit.
Bagi kes sakit tekak yang agak serius, terdapat juga gula-gula lozeng yang khusus (dikawal) yang hanya boleh dibeli di farmasi untuk mengurangkan bengkak dan keradangan.
Jangan berikan gula-gula ini kepada kanak-kanak berumur 4 tahun ke bawah bagi mengelakkan insiden tercekik gula-gula.
7. Makan ubat tahan sakit
Ubat tahan sakit seperti paracetamol (Panadol, Uphamol) boleh diambil untuk melegakan sakit tekak.
Pengambilan aspirin tidak disarankan untuk kegunaan umum terutamanya kepada kanak-kanak kerana boleh menyebabkan sindrom Reye’s yang menyebabkan bengkak pada hati dan otak.
8. Pastikan udara rumah bersih
Cara hilangkan sakit tekak yang seterusnya ialah dengan memastikan udara di dalam rumah bebas daripada asap rokok dan produk pembersihan yang boleh mengganggu saluran pernafasan.
Asap rokok boleh menambah kesakitan pada tekak dan meningkatkan risiko jangkitan seperti tonsilitis.
9. Gunakan humidifier
Udara yang lembap boleh mengurangkan kesakitan yang dialami. Udara yang lembap ini akan membantu melegakan tisu-tisu hidung dan tekak yang mengalami keradangan.
Pastikan juga anda membersihkan alat pelembap (humidifier) ini setiap hari bagi mengelakkan bakteria dan kulat membiak dalam alat ini.
10. Berehat
Berehat secukupnya. Dapatkan tidur yang mencukupi. Rehatkan juga suara dengan kurang bercakap atau bersembang. Rehat yang cukup membolehkan sistem imunisasi badan melawan jangkitan yang berlaku.
Rawatan Perubatan untuk Sakit Tekak
Sakit tekak akibat jangkitan virus selalunya akan diikuti dengan gejala seperti hidung berair, mata berair atau batuk.
Jangkitan akibat bakteria pula hanya akan diketahui sekiranya doktor melakukan “throat swab“. Bakteria yang dikenali sebagai Streptococcus pyrogenes adalah bakteria yang selalu menyebabkan sakit tekak.
Jangkitan virus
Sekiranya sakit ini disebabkan oleh jangkitan virus, ia akan sembuh sendiri sekitar 5 hingga 7 hari tanpa rawatan perubatan.
Namun, untuk mengurangkan kesakitan dan demam, ubat belian kaunter seperti paracetamol (seperti Panadol atau Uphamol) boleh diambil.
Bagi kanak-kanak, pastikan anda memberi ubat paracetamol yang bersesuai dengan umur mereka. Contohnya seperti PANADOL Children Suspension 1-6 years old atau Children’s PANADOL Chewable Tablets.
Jangkitan bakteria
Sekiranya sakit ini disebabkan oleh jangkitan bakteria, doktor akan memberikan ubat antibiotik.
Pastikan anda atau anak anda makan ubat antibotik ini sehingga habis mengikut dos yang telah ditetapkan. Kegagalan berbuat demikian akan mengakibatkan jangkitan bertambah teruk atau merebak ke bahagian badan yang lain.
Langkah Pencegahan Sakit Tekak
Bagi mencegah daripada terkena sakit tekak ini, langkah terbaik adalah kekal sihat dan mengamalkan gaya hidup yang sihat seperti:
- Sentiasa membasuh dan membersihkan tangan
- Elakkan bersentuhan atau duduk rapat dengan mereka yang telah menghidap sakit tekak, demam atau mereka yang mengalami jangkitan pernafasan
- Jangan merokok atau menjadi perokok pasif
- Elakkan memegang muka, mata dan hidung dengan tangan kotor
- Jangan berkongsi makanan, minuman dan perkakas makanan.
Bila Perlu Berjumpa Doktor?
Sakit tekak kebiasaannya boleh pulih dengan sendirinya antara 2 hingga 7 hari. Namun sakit tekak yang disebabkan oleh bakteria memerlukan rawatan daripada doktor.
Dapatkan rawatan segera daripada doktor apabila anda mengalami gejala-gejala seperti berikut:
- Sakit tekak yang teruk
- Sukar untuk menelan
- Sukar untuk bernafas atau sakit apabila hendak bernafas
- Demam melebihi 38.3 darjah Celcius
- Sukar untuk membuka mulut
- Sakit leher
- Darah dalam kahak atau air liur
- Sakit tekak yang melebihi seminggu
- Sakit telinga
- Bengkak pada leher atau muka
- Sakit sendi
- Suara menjadi serak lebih daripada 2 minggu
Dapatkan rawatan segera untuk anak anda sekiranya mereka menunjukkan tanda atau simptom seperti berikut:
- Sukar untuk bernafas
- Sukar untuk menelan
- Air liur meleleh secara berlebihan atau luar biasa (ini mungkin petanda tidak boleh menelan)
Rujukan
- Graham Worrall. 2011. Acute sore throat. The Official Journal of the College of Family Physicians of Canada 57(7): 791-794.
- Mayo Clinic Staff. 2020. Sore throat. [7 Jun 2020].
- Cianciosi, D. et. al. 2018. Phenolic Compounds in Honey and Their Associated Health Benefits: A Review.
- Ian M Paul et al. 2007. Effect of Honey, Dextromethorphan, and No Treatment on Nocturnal Cough and Sleep Quality for Coughing Children and Their Parents.
- Matthew Thompson et al. 2013. Duration of symptoms of respiratory tract infections in children: systematic review.
- Srivastava, J.K. et al. 2010. Chamomile: A herbal medicine of the past with bright future.
- James M. Steckelberg. 2018. Honey: An effective cough remedy? [20 Disember 2019]
- CDC. 2019. Sore Throat. [7 Jun 2020]
- Nayana Ambardekar. 2019. Understanding Sore Throat- Prevention. [7 Jun 2020].
- El-Boghdadly, K., et al. (2016). Postoperative sore throat: a systematic review.
- Emamian, M. H., et al. (2013). Respiratory Tract Infections and its Preventive Measures among Hajj Pilgrims, 2010: A Nested Case Control Study.