Menjawab persoalan bagaimana untuk merawat rambut gugur, artikel ini menyenaraikan beberapa pilihan rawatan perubatan yang boleh dilakukan oleh anda yang mengalami masalah keguguran rambut. Teruskan membaca.
Umumnya, manusia keguguran rambut sebanyak 50 hingga 100 helai sehari. Kehilangan rambut ini tidak dirasai atau anda mungkin tidak perasan kerana dalam masa yang sama, rambut baru akan tumbuh.
Namun, keguguran rambut menjadi satu masalah apabila rambut baru tidak menggantikan rambut yang telah gugur.
Rambut gugur boleh disebabkan oleh banyak faktor atau penyebabnya. Antaranya adalah disebabkan oleh:
- Keturunan
- Perubahan hormon
- Kesan sampingan ubat-ubatan atau suplemen
- Mengalami peristiwa yang sangat menekankan (stres)
- Terapi radiasi di kepala
- Gaya rambut yang menarik rambut terlalu kuat
Rawatan Rambut Gugur Untuk Lelaki dan Wanita
Merawat rambut gugur adalah bergantung kepada kehendak atau keperluan seseorang. Bagi sesetengah individu daripada kaum lelaki, mereka mungkin tidak kisah untuk botak. Bahkan, ada yang memilih penampilan tanpa rambut ini.
Maka, botak mungkin bukan satu masalah yang besar bagi sesetengah lelaki. Manakala bagi wanita, masalah rambut gugur mungkin boleh mengganggu emosi serta mengurangkan keyakinan diri mereka. Oleh itu, wanita akan memandang masalah keguguran rambut dengan lebih serius.
Selain petua, terdapat beberapa cara atau rawatan perubatan yang boleh digunakan untuk merawat rambut gugur untuk lelaki dan wanita. Antaranya adalah:
1. Ubat Belian Kaunter
Minoxidil turut dikenali sebagai Rogaine adalah ubat belian kaunter (boleh didapati di kedai ubat atau farmasi) yang boleh digunakan untuk lelaki dan wanita untuk mengatasi masalah rambut gugur.
Ubat ini boleh didapati dalam bentuk cecair atau buih (foam). Ubat Minoxidil atau Rogaine ini digunakan dengan menyapunya di kulit kepala setiap hari.
Ubat ini juga harus digunakan selama 6 bulan atau lebih untuk mencegah rambut gugur dan mengalakkan pertumbuhan baru.
Pada mulanya ubat ini mungkin akan menyebabkan rambut gugur. Kemudian, rambut baru akan tumbuh tetapi mungkin lebih pendek dan nipis berbanding rambut sebelumnya.
Sesetengah orang mungkin akan mengalami kesan sampingan yang ringan akibat penggunaan ubat ini. Contohnya seperti:
- Iritasi pada kulit kepala
- Rambut atau bulu tumbuh di bahagian lain seperti tangan, dagu atau dahi
- Rambut yang baru tumbuh mungkin berlainan warna dan tekstur daripada rambut asal
2. Memakan Makanan Tambahan (Suplemen)
Kekurangan nutrien tertentu boleh juga menyebabkan rambut gugur bagi sesetengah wanita.
Antara vitamin atau mineral yang boleh menyebabkan rambut gugur adalah:
- Zat besi: Zat besi penting untuk menghasilkan sel-sel darah merah. Wanita yang vegetarian dan sering mengalami pendarahan haid yang banyak berisiko untuk kekurangan zat besi.
- Zink: Terdapat kajian yang mendapati penghidap alopecia areata (botak bertompok) mempunyai paras zink dalam darah yang rendah. [1]
- Vitamin B2: Kekurangan vitamin B2 (riboflavin) sangat jarang berlaku. Tetapi kekurangannya boleh menyebabkan keguguran rambut. [2]
- Vitamin B7 (biotin): Kajian melibatkan 18 laporan kes mendapati pesakit yang mengalami masalah keguguran rambut dan kukuh rapuh menunjukkan penambahbaikan setelah mengambil suplemen biotin. [3]
- Vitamin C: Vitamin C membantu badan menyerap zat besi. Zat besi diperlukan untuk pertumbuhan rambut.
- Vitamin D: Kajian melibatkan 1255 pesakit yang menghidap keguguran rambut mendapati pesakit ini mempunyai paras vitamin D yang lebih rendah daripada pesakit yang tidak mengalami keguguran rambut. [4]
- Vitamin E: Kajian oleh pengkaji dari Universiti Sains Malaysia mendapati mereka yang mengalami keguguran rambut berjaya meningkatkan pertumbuhan semula rambut sebanyak 34.5% selepas mengambil makanan tambahan vitamin E selama 8 bulan. [5]
3. Pembedahan Pemindahan Rambut
Pemindahan rambut adalah rawatan yang biasa bagi masalah rambut gugur yang kekal seperti botak mengikut corak akibat keturunan (alopecia androgenik).
Kaedah lama pembedahan melibatkan pengambilan satu jalur kulit kepala dan ditampal di bahagian yang botak.
Namun, pada pertengahan tahun 1990-an, kaedah baru telah digunakan yang diberi nama pemindahan unit folikel (follicular unit transplantation).
Kaedah ini melibatkan pengambilan satu jalur kulit kepala dan dibahagikan kepada ratusan cebisan kulit kecil yang setiap satunya mengandungi beberapa rambut.
Setiap cebisan ini ditanam dalam celahan kulit yang dihasilkan menggunakan pisau atau jarum di kawasan rambut yang hilang.
Rambut akan tumbuh secara semulajadi melalui kaedah ini dan akan kelihatan lebih baik.
4. Terapi Laser
Pentadbiran Makanan dan Ubatan (FDA) telah meluluskan laser peringkat rendah untuk merawat keguguran rambut akibat keturunan bagi lelaki dan wanita.
Terdapat kajian-kajian yang menunjukkan terapi ini boleh meningkatkan ketumpatan rambut. Walau bagaimanapun, kajian-kajian lanjutan masih diperlukan.
5. Platelet-rich Plasma (PRP)
Kajian menunjukkan bahawa kaedah rawatan ini boleh menjadi rawatan keguguran rambut yang selamat dan berkesan.
PRP melibatkan pengambilan sedikit darah anda, meletakkan darah anda ke dalam mesin yang memisahkannya kepada beberapa bahagian, kemudian menyuntik satu bahagian darah anda (plasma) ke kawasan yang mengalami keguguran rambut.
Keseluruhan prosedur mengambil masa kira-kira 10 minit dan biasanya tidak memerlukan sebarang masa berhenti.
Anda perlu kembali untuk suntikan berulang. Kebanyakan pesakit kembali sebulan sekali selama 3 bulan dan kemudian sekali setiap 3 hingga 6 bulan.
Dalam beberapa bulan pertama rawatan, anda mungkin menyedari bahawa anda kehilangan jumlah rambut yang kurang atau minimum.
6. Ubat atau Rawatan Lain
Terdapat juga beberapa pilihan rawatan lain seperti:
- Ubat Finasteride: Ubat ini diluluskan untuk merawat keguguran rambut bercorak bagi lelaki. Finasteride boleh memperlahankan keguguran rambut dan merangsang pertumbuhan rambut baru.
- Ubat Spironolactone: Ubat ini sesuai untuk wanita yang mengalami keguguran rambut bercorak. Spironolactone boleh menghentikan keguguran rambut dan meningkatkan ketebalan rambut.
Rujukan
- Thompson, J. M. et al. (2017). The Role of Micronutrients in Alopecia Areata: A Review. American journal of clinical dermatology.
- Riboflavin Rs R. Encyclopedia of dietary supplements. London and New York: Informa Healthcare; 2010. pp. 691–699.
- Patel, D. P. et al. (2017). A Review of the Use of Biotin for Hair Loss. Skin appendage disorders.
- Lee, S. et al. (2018). Increased prevalence of vitamin D deficiency in patients with alopecia areata: a systematic review and meta-analysis. Journal of the European Academy of Dermatology and Venereology.
- Beoy, L. A. et al. (2010). Effects of tocotrienol supplementation on hair growth in human volunteers. Tropical life sciences research.