Apa itu HIV dan AIDS?
HIV (human immunodeficiency virus) dan AIDS (acquired immunodeficiency syndrome) adalah jangkitan virus yang melemah dan memusnahkan sistem imun badan.
HIV adalah virus yang menyerang sistem imun badan yang menyebabkan pesakit terdedah kepada pelbagai jenis jangkitan dan penyakit. Sekiranya HIV tidak dirawat, ia boleh menyebabkan penyakit AIDS.
AIDS merupakan peringkat terakhir jangkitan HIV yang berlaku apabila sistem imun badan telah rosak dengan teruk disebabkan virus tersebut. Pesakit HIV dianggap telah berkembang menjadi AIDS apabila sel-sel pertahanan badan turun sehingga 200/µl.
Sejak AIDS dilaporkan pertama kali pada tahun 1986 sehingga tahun 2016, sejumlah 111,916 kes jangkitan HIV berlaku di Malaysia.
Cara Jangkitan HIV dan AIDS
HIV dan AIDS boleh berjangkit melalui pertukaran pelbagai cecair badan yang berasal daripada orang yang telah dijangkiti seperti:
- Darah
- Semen (air mani)
- Susu ibu
- Lelahan faraj
Individu yang terkena jangkitan akan sentiasa membawa virus dan dapat memindahkan virus tersebut sepanjang hayat mereka.
HIV boleh merebak melalui darah yang telah dijangkiti HIV dan cecair badan seperti ketika melakukan hubungan seks, berkongsi jarum suntikan sesama penagih dadah atau daripada ibu yang mengandung kepada anak yang dikandung (sebelum atau ketika kelahiran atau melalui susu ibu).
Virus tidak boleh merebak melalui sentuhan biasa seperti bersalaman, berkongsi objek, makanan atau minuman, tinggal serumah atau pun bekerja bersama pembawa HIV.
Gejala atau Simptom-simptom
Gejala atau simptom-simptom berbeza-beza bergantung kepada peringkat jangkitan.
Walaupun orang yang hidup dengan HIV cenderung paling berjangkit dalam beberapa bulan pertama selepas dijangkiti, ramai yang tidak mengetahui status mereka sehingga peringkat akhir.
Dalam beberapa minggu pertama selepas jangkitan awal, orang yang dijangkiti mungkin tidak mengalami sebarang gejala atau simptom-simptom seperti:
- Demam
- Sakit kepala
- Ruam
- Sakit tekak
- Ulser mulut
- Sakit otot dan sendi
- Batuk
- Berpeluh pada waktu malam
- Bengkak nodus limfa
Apabila jangkitan semakin melemahkan sistem imun, mereka yang dijangkiti boleh mengalami gejala dan simptom-simptom lain seperti:
- Bengkak nodus limfa
- Pengurangan berat badan
- Demam
- Cirit-birit
- Batuk
- Keletihan
- Pneumonia
- Jangkitan yis dalam mulut
- Kayap
Punca Jangkitan HIV
HIV disebabkan oleh virus. Ia boleh merebak melalui hubungan seksual atau darah, daripada ibu kepada anak semasa mengandung, bersalin atau menyusu.
HIV dikatakan berasal dari cimpanzi di Afrika Tengah. Virus versi cimpanzi tersebut dipanggil simian immunodeficiency virus atau SIV. Virus ini dipercayai tersebar kepada manusia apabila manusia memburu cimpanzi tersebut untuk dagingnya dan bersentuhan dengan darah cimpanzi yang telah dijangkiti.
Kajian menunjukkan bahawa HIV mungkin telah tersebar kepada manusia sejak tahun 1800. HIV kemudian terus menular di seluruh Afrika dan kemudiannya di tempat-tempat lain di dunia.
Rawatan
Setakat ini masih tiada rawatan bagi jangkitan HIV dan AIDS yang boleh memulihkan atau menghilangkan virus tersebut daripada badan pesakit.
Tetapi, terdapat rawatan yang terdiri daripada gabungan beberapa ubat yang boleh mengawal HIV dan mencegah komplikasi. Pengubatan ini dipanggil terapi antretrovirus (ART). Terapi ini dapat membantu pesakit mengawal pertumbuhan virus dan ia juga dapat memperlahankan kemusnahan sistem imunisasi.
Ia juga efektif bagi memanjangkan umur serta meningkatkan kualiti hidup pesakit jika seseorang pesakit itu terus menerus mengambil ubat itu sepanjang hayatnya.
Semua orang yang didiagnosis dengan HIV harus dirawat dengan ART, tanpa mengira peringkat jangkitan atau komplikasi mereka.
Komplikasi atau Kesan HIV dan AIDS
HIV adalah jangkitan berterusan yang serius. Komplikasi berlaku dengan melemahkan sistem imunisasi badan secara berterusan hingga menyebabkan pelbagai jangkitan dan kanser. Contohnya seperti:
- Candidiasis
- Pneumocystis pneumonia
- Tuberkulosis
- Kanser limfoma
- Sarkoma Kaposi
Pada kanak-kanak, penyakit HIV akan menyebabkan pertumbuhan kanak-kanak terbantut bukan saja daripada segi fizikal malah perkembangan kanak-kanak itu sendiri.
Pencegahan HIV dan AIDS
Jangkitan HIV dapat dicegah dengan:
- Elakkan daripada melakukan hubungan seks yang tidak selamat atau pun seks secara rambang.
- Elakkan berkongsi jarum suntikan.
- Elakkan pasangan seks yang ramai.
- Lakukan ujian HIV seawal mungkin bagi ibu-ibu mengandung.
- Sekiranya ibu mengandung didapati positif HIV, sila dapatkan rawatan segera bagi mencegah jangkitan terhadap bagi.
- Lelaki disarankan untuk berkhatan bagi mengurangkan risiko jangkitan.
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2020). HIV/AIDS. MayoClinic
- Centers for Disease Control and Preventions. (2021). HIV Basics.
- World Health Organization. (2021). HIV/AIDS.