Minyak buah pala adalah minyak yang dihasilkan daripada biji buah pala melalui proses penyulingan. Minyak buah pala mempunyai banyak khasiat dan turut digunakan untuk menghasilkan ubat-ubat baru di India, China dan negara-negara tropika lain.
Buah pala atau nama saintifiknya Myristica fragrans sememangnya telah lama digunakan dalam perubatan tradisional untuk merawat pelbagai masalah kesihatan.
Contohnya seperti merawat ketidakhadaman, insomnia, kebimbangan (anxiety), kencing tak terkawal, cirit-birit atau jangkitan bakteria.
Minyak buah pala mempunyai warna daripada tak berwarna hingga kuning cair dengan bau pedas yang jelas.
Terdapat beberapa laporan saintifik yang melaporkan bahawa minyak buah pala mempunyai ciri-ciri perubatan seperti antioksidan, antibakteria, antiradang, antiseptik, sedatif, perangsang dan menenangkan.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, berikut disenaraikan khasiat-khasiat minyak buah pala yang bermanfaat kepada kesihatan anda:
1. Boleh Membantu Merawat Sakit dan Sakit Sendi
Minyak buah pala berkhasiat dalam membantu mengurangkan kesakitan otot dan sakit sendi.
Ciri-ciri antiradang dan analgesik adalah penyumbang kepada khasiat minyak buah pala ini. Malah,ia turut dibuktikan dalam kajian terhadap haiwan yang menunjukkan minyak buah pala boleh melegakan kesakitan kronik. [1]
Anda boleh menyapu dan mengurut bahagian yang sakit dengan menggunakan minyak buah pala.
2. Boleh Membantu Mencegah Keracunan Makanan
Minyak buah pala juga berpotensi digunakan untuk mencegah keracunan makanan yang disebabkan oleh bakteria.
Satu kajian melaporkan bahawa minyak buah pala menunjukkan aktiviti antibakteria terhadap bakteria-bakteria yang boleh menyebabkan keracunan makanan seperti Escherichia coli, Salmonella choleraesuis dan Staphylococcus aureus. [2]
Terdapat juga kajian lain yang mendapati minyak buah pala boleh menyekat pertumbuhan bakteria Listeria monocytogenes iaitu sejenis bakteria yang boleh menyebabkan listeriosis akibat memakan makanan tercemar. [3]
3. Boleh Merawat Sawan
Minyak buah pala juga berpotensi digunakan untuk merawat sawan.
Satu kajian oleh pengkaji dari University of Karachi, Pakistan mendapati minyak buah pala berkesan dalam mencegah dan merawat sawan separa atau grand mal (major). [4]
4. Boleh Membantu Merawat Masalah Pernafasan
Minyak buah pala banyak digunakan sebagai salah satu bahan dalam penghasilan ubat batuk dan ubat sapuan untuk membantu melegakan gejala-gejala selesema dan kongesi.
Kajian terhadap haiwan mendapati menyedut minyak buah pala boleh mengurangkan cecair dalam saluran pernafasan yang seterusnya boleh mengurangkan kongesi. [5]
Anda boleh meletakkan minyak buah pala ke dalam alat peresap (diffuser) untuk mengurangkan batuk.
5. Berpotensi Mencegah Kanser Usus
Minyak buah pala mengandungi sebatian aktif yang dikenali sebagai myristicin yang agak tinggi.
Sebatian myristicin ini didapati boleh mengurangkan kebolehhidupan sel-sel kanser usus besar (kolorektal) manusia dengan ketara.
Tambahan daripada itu juga, myristicin yang diasingkan daripada minyak buah pala juga turut menunjukkan bahawa sebatian ini mungkin bertanggungjawab terhadap aktiviti sitotoksik minyak ini. [6]
Sitotoksis ialah sifat agen yang menyekat dan membunuh pertumbuhan sel-sel kanser dalam badan.
6. Boleh Digunakan Untuk Meningkatkan Selera Makan
Minyak buah pala juga boleh digunakan untuk meningkatkan selera makan terutamanya bagi golongan tua yang menghidap demensia.
Kajian yang dijalankan terhadap haiwan mendapati menyedut minyak buah pala boleh mendatangkan kesan menambah selera makan bagi haiwan yang diuji. [7]
Anda boleh menggunakan minyak buah pala sebagai aromaterapi atau diletakkan di dalam alat peresap untuk membantu meningkatkan selera makan bagi golongan tua.
7. Boleh Mengurangkan Kedutan Kulit dan Antipenuaan
Khasiat minyak buah pala turut bermanfaat kepada kesihatan kulit seperti mempunyai ciri-ciri antipenuaan dan mengurangkan kedutan kulit akibat sinaran UV.
Satu kajian yang melibatkan kajian tabung uji dan terhadap haiwan melaporkan bahawa minyak buah pala berkesan dalam mengurangkan kedutan kulit akibat sinaran UVB dan menunjukkan ciri-ciri antipenuaan pada kepekatan sederhana. [8]
Risiko atau Kesan Sampingan
Secara umumnya, minyak buah pala adalah selamat digunakan sekiranya digunakan untuk kegunaan luaran atau aromaterapi.
Meskipun begitu, minyak buah pala tulen (pekat) perlu dicairkan dengan minyak pembawa sebelum digunakan secara sapuan bagi mengelakkan iritasi pada kulit.
Rumusan
Minyak buah pala adalah minyak yang dihasilkan daripada biji buah pala melalui proses penyulingan.
Terdapat banyak khasiat minyak buah pala yang bermanfaat kepada anda. Contohnya seperti membantu mengurangkan kesakitan otot atau sakit sendi, mencegah keracunan makanan, merawat sawan dan lain-lain lagi.
Anda boleh memanfaatkan minyak buah pala ini dalam bentuk sapuan atau aromaterapi.
Rujukan
- Zhang, W. K. et al. (2016). Nutmeg oil alleviates chronic inflammatory pain through inhibition of COX-2 expression and substance P release in vivo. Food & nutrition research.
- Nurjanah, S. et al. (2017). Antibacterial Activity of Nutmeg Oil. KnE Life Sciences.
- Smith-Palmer, A. et al. (2002). Inhibition of listeriolysin O and phosphatidylcholine-specific production in Listeria monocytogenes by subinhibitory concentrations of plant essential oils. Microbiology Society.
- Wahab, A. et al. (2009). Anticonvulsant activities of nutmeg oil of Myristica fragrans. Phytotherapy research.
- Boyd EM, & Sheppard P. (1970). Nutmeg Oil and Camphene as Inhaled Expectorants. Arch Otolaryngol.
- Piras, A. et al. (2012). Extraction and separation of volatile and fixed oils from seeds of Myristica fragrans by supercritical CO₂: chemical composition and cytotoxic activity on Caco-2 cancer cells. Journal of food science.
- Ogawa, K., & Ito, M. (2019). Appetite-enhancing effects of nutmeg oil and structure-activity relationship of habituation to phenylpropanoids. Journal of natural medicines.
- Rahmi, D. et al. (2021). Antiaging and Skin Irritation Potential of Four Main Indonesian Essential Oils. Cosmetics.