Apa itu Malaria?
Malaria adalah penyakit yang serius yang boleh menyebabkan kematian. Malaria disebabkan oleh parasit. Parasit ini tersebar ke badan manusia melalui gigitan nyamuk yang telah dijangkiti oleh parasit ini.
Orang yang menghidap malaria biasanya berasa sangat sakit dengan demam panas dan menggigil.
Malaria masih biasa di negara tropika dan subtropika. Setiap tahun hampir 290 juta orang dijangkiti malaria, dan lebih daripada 400,000 orang mati akibat penyakit tersebut.
Pada tahun 2020, hampir separuh daripada penduduk dunia berisiko terkena jangkitan malaria. Sesetengah golongan berisiko tinggi untuk dijangkiti dan menghidap penyakit yang teruk.
Mereka terdiri daripada bayi, kanak-kanak di bawah umur 5 tahun, wanita hamil, pesakit HIV/AIDS dan mereka yang mempunyai imuniti rendah berpindah ke kawasan yang mempunyai penularan malaria yang teruk.
Untuk mengurangkan jangkitan, program kesihatan dunia mengedarkan ubat-ubatan pencegahan dan kelambu yang dirawat dengan racun serangga untuk melindungi orang ramai daripada gigitan nyamuk.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah mengesyorkan vaksin malaria untuk digunakan pada kanak-kanak yang tinggal di negara yang mempunyai bilangan kes malaria yang tinggi.
Simptom-simptom atau Gejala
Simptom-simptom atau gejala malaria yang mungkin berlaku adalah seperti berikut:
- Demam
- Mengigil
- Sakit kepala
- Loya dan muntah
- Rasa tidak selesa
- Cirit-birit
- Sakit perut
- Sakit otot atau sendi
- Kelesuan
- Denyutan jantung laju
- Pernafasan laju
- Batuk
Simptom atau gejala biasanya muncul antara 7 dan 18 hari selepas dijangkiti, tetapi dalam sesetengah kes gejala mungkin tidak muncul sehingga setahun atau kadang-kadang lebih lama.
Jika tidak dirawat, malaria akibat parasit P. falciparum boleh berkembang menjadi penyakit yang teruk dan kematian dalam tempoh 24 jam.
Punca atau Penyebab
Malaria disebabkan oleh parasit Plasmodium yang tersebar kepada manusia melalui gigitan nyamuk tiruk betina (Anopheles spp.).
Terdapat 5 spesies yang menyebabkan malaria dan 2 spesies yang paling berbahaya adalah P. falciparum dan P. vivax.
P. falciparum adalah parasit yang paling membunuh dan paling lazim di benua Afrika. P. vivax pula adalah parasit yang dominan di kebanyakan negara di luar sub-Sahara Afrika.
Faktor risiko
Faktor risiko terbesar dalam menghadapi malaria adalah tinggal atau melawat ke kawasan di mana penyakit ini adalah satu kelaziman.
Ini termasuklah kawasan tropika dan subtropika seperti:
- Selatan Asia
- Asia Tenggara
- Sub-Saharan Afrika
- Kepulauan pasifik
- Amerika Tengah
- Bahagian utara Selatan Amerika
Rawatan
Jika malaria didiagnosis dan dirawat dengan segera, hampir semua orang boleh pulih sepenuhnya. Rawatan harus dimulakan sebaik sahaja diagnosis telah disahkan.
Ubat antimalaria digunakan untuk merawat dan mencegah malaria. Jenis ubat yang digunakan dan tempoh rawatan adalah bergantung kepada:
- jenis malaria
- keterukan simptom-simptom
- lokasi pesakit mendapatkan jangkitan ini
- sama ada pesakit pernah mengambil ubat antimalaria atau tidak
- sama ada pesakit mengandung atau tidak
- usia
Antara ubat-ubatan antimalaria yang lazim digunakan adalah:
- Chloroquine phosphate: Chloroquine adalah rawatan pilihan bagi sebarang jangkitan parasit yang sensitif kepada ubat.
- Terapi gabungan berasaskan artemisinin (ACT): ACT melibatkan gabungan 2 atau lebih ubat yang berkesan terhadap parasit malaria. Rawatan ini adalah pilihan bagi parasit yang rintang terhadap chloroquine.
Antara ubat-ubatan lain yang mungkin turut digunakan adalah:
- Atovaquone-proguanil
- Quinine sulfate with doxycycline
- Primaquine phosphate
Langkah-langkah Pencegahan
Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah mengariskan beberapa langkah-langkah pencegahan yang mempunyai impak yang besar dalam mencegah penyakit ini.
Antaranya adalah:
- Kawalan vektor: Kawalan vektor adalah strategi kawalan dan penghapusan yang sangat berkesan dalam mencegah jangkitan dan mengurangkan penularan penyakit. Kelambu dan semburan racun serangga adalah dua langkah kawalan vektor yang utama.
- Kemoterapi pencegahan: Kemoterapi pencegahan menggunakan ubat untuk mencegah jangkitan malaria dan kesan sampingannya.
- Vaksin: Vaksinasi turut disarankan dalam kalangan kanak-kanak terutamanya yang tinggal di kawasan penularan malaria P. falciparum. Vaksin ini telah terbukti dapat mengurangkan malaria dan malaria teruk yang boleh membawa maut kepada kanak-kanak kecil.
Rujukan
- World Health Organization. (2021). Malaria. [pautan]
- Mayo Clinic Staff. (2021). Malaria. MayoClinic [pautan]
- CDC. (2021). Malaria Frequently Asked Questions (FAQs)