Senggugut atau period pain ialah keadaan tidak selesa di bahagian perut, pinggang dan paha ketika haid yang sering dihidapi oleh kaum wanita. Kadang-kadang senggugut boleh menjejaskan aktiviti harian seseorang itu. Oleh itu, kali ini kami kongsikan cara mengatasi senggugut yang boleh anda cuba.
Kekejangan, sedikit rasa sakit dan tidak selesa semasa haid adalah normal. Namun, sakit berlebihan yang boleh menyebabkan seseorang itu tidak hadir ke sekolah atau kerja adalah tidak normal.
Sukar untuk mengetahui punca sebenar yang menyebabkan kesakitan semasa haid. Sesetengah orang mempunyai risiko mendapat kesakitan lebih daripada individu yang lain.
Beberapa risiko yang mempunyai perkaitan dengan kesakitan yang teruk semasa haid ialah:
- merokok
- mempunyai sejarah keluarga yang mengalami senggugut teruk
- mengalami pendarahan yang banyak semasa haid
- haid yang tidak teratur
- tidak pernah memiliki anak/bayi
- berumur bawah 20 tahun
- baligh sebelum umur 11 tahun
Hormon yang dikenali sebagai prostaglandin dipercayai menjadi salah satu penyebab senggugut. Ini kerana hormon ini mencetuskan pengucupan otot di dalam rahim semasa haid. Pengucupan ini menyebabkan kesakitan dan radang.
Berikut ialah beberapa rawatan atau cara mengatasi senggugut yang boleh dilakukan di rumah:
1. Mengambil ubat farmasi
Ubat anti keradangan bukan steroid (NSAID) boleh didapati di farmasi untuk menghilangkan sakit senggugut atau pendarahan haid melampau. Ibuprofen, naproxen, dan aspirin adalah antara ubat yang dikelaskan sebagai ubat NSAID.
Ubat jenis ini dapat menolong mengurangkan penghasilan hormon prostaglandin. Hormon prostaglandin dipercayai menjadi punca kepada kesakitan pada bahagian rahim (perut) ini. [1]
Walau bagaimanapun, ubat-ubat mempunyai risiko kesan sampingan yang tinggi dan wajib diambil mengikut dos yang disyorkan.
Pilihan ubat farmasi lain yang boleh digunakan untuk mengatasi senggugut ialah ubat yang mengandungi paracetamol dan pamabrom. Kedua-dua ubat ini dijual dengan jenama produk seperti Panadol Menstrual atau Uphamol Menstrual tablet.
2. Menuam dengan tuala panas atau haba
Cara mengatasi senggugut yang seterusnya ialah dengan menuam tuala panas atau suam pada bahagian perut dan pinggang.
Kajian yang dijalankan terhadap 147 orang wanita berusia 18 hingga 30 tahun yang mengalami senggugut mendapati pelekat panas bersuhu 40°C adalah efektif seperti ubat ibuprofen. [2]
Sekiranya anda tidak mempunyai botol untuk air panas atau pad pemanas, gunakan tuala suam atau panas.
Boleh juga mencuba tali pinggang khas yang boleh menghasilkan haba untuk masalah senggugut ini.
3. Menghindari sesetengah makanan
Semasa haid, cuba elakkan makanan yang boleh mengakibatkan kembung dan penahanan air. Antaranya ialah:
- makanan masin
- makanan bergoreng
- minuman berkarbonat
- kafein
- alkohol
Menghindari atau mengurangkan makanan-makanan ini boleh mengurangkan kekejangan dan ketegangan.
4. Ambil ubat herba semulajadi yang mengandungi halia
Ubat herba semulajadi yang mengandungi halia boleh mengurangkan senggugut.
Dalam satu kajian yang dijalankan terhadap 168 remaja perempuan berumur 18-26 tahun yang mengalami senggugut didapati pengambilan kapsul 200mg halia dapat mengurangkan kesakitan senggugut. [3]
Satu kajian klinikal yang dijalankan dari September 2006 hingga Februari 2007 yang melibatkan 150 pelajar perempuan mendapati pengambilan kapsul halia 250mg empat kali sehari turut dapat melegakan senggugut. [4]
5. Mengurut
Mengurut kira-kira selama 20 minit dapat membantu mengurangkan senggugut.
Terapi dengan mengurut untuk senggugut melibatkan titik-titik tertentu pada badan seperti bahagian abdomen dan juga kaki.
Tonton video dibawah untuk mendapatkan cara-cara mencari titik yang betul untuk mengurangkan kesakitan akibat senggugut.
6. Berendam dalam tub mandi
Berendam dalam tub mandi yang mengandungi air suam juga merupakan salah satu cara untuk merehatkan otot pelvis.
Tambah beberapa titis minyak pati (essential oil) ke dalam air dalam tub mandi juga boleh membantu melegakan kesakitan. Minyak pati seperti lavender, mawar , marjoram dan clary sage boleh membantu kelegaan.
Cuba berendam dalam air suam itu sekurang-kurangnya selama 15 minit untuk merasai kesannya.
Rumusan
Senggugut pada asasnya adalah perkara biasa yang akan dialami oleh setiap wanita. Namun, kesakitan yang melampau ini kadang kala boleh menganggu rutin harian anda.
Rawatan-rawatan dirumah atau alternatif ini boleh membantu mengurangkan kesakitan yang dialami.
Walau bagaimanapun, sekiranya kesakitan itu terlampau teruk dan tiada perubahan selepas beberapa hari, anda dinasihatkan mendapatkan rawatan daripada doktor.
Rujukan
- Marjoribanks, J. et al. (2015). Nonsteroidal anti-inflammatory drugs for dysmenorrhoea. The Cochrane database of systematic reviews.
- Navvabi Rigi, S. et al. (2012). Comparing the analgesic effect of heat patch containing iron chip and ibuprofen for primary dysmenorrhea: a randomized controlled trial. BMC Women’s Health.
- Adib Rad, H. et al. (2018). Effect of Ginger and Novafen on menstrual pain: A cross-over trial. Taiwanese journal of obstetrics & gynecology.
- Ozgoli, G., Goli, M., & Moattar, F. (2009). Comparison of effects of ginger, mefenamic acid, and ibuprofen on pain in women with primary dysmenorrhea. Journal of alternative and complementary medicine.