Minyak pati lavender adalah minyak pati yang diekstrak daripada bunga lavender (Lavandula angustifolia). Minyak pati ini dipercayai mempunyai pelbagai khasiat dan kegunaan. Artikel ini menyenaraikan khasiat minyak pati lavender yang boleh dimanfaatkan oleh anda.
Minyak pati lavender adalah salah satu minyak pati yang paling popular dan banyak digunakan dalam aromaterapi. Minyak pati lavender ini juga boleh digunakan secara sapuan atau makan.
Minyak pati lavender dipercayai boleh mendatangkan pelbagai manfaat kepada penggunanya kerana boleh menenangkan, mengurangkan keresahan, mencegah jangkitan dan boleh membantu merawat masalah insomnia.

Kajian-kajian awal turut mendapati minyak pati lavender mempunyai banyak potensi yang boleh dimanfaatkan dalam dunia perubatan. Sebagai contoh, satu kajian makmal mendapati minyak pati lavender mempunyai kesan antioksidan, antiradang dan analgesik (pelalian). [1]
Beberapa kajian lain turut mendapati khasiat minyak pati lavender turut bermanfaat untuk:
1. Mengurangkan Keresahan
Minyak pati lavender telah menjalani pelbagai kajian untuk melihat kesan atau khasiatnya dalam membantu mengurangkan keresahan.
Satu analisis yang melibatkan 127 kajian mendapati minyak pati lavender yang digunakan secara makan (oral) dan sapuan (urutan) mempunyai kesan yang ketara dalam membantu mengurangkan paras keresahan yang dialami oleh pesakit.
Penggunaan minyak pati lavender secara penyedutan (aromaterapi) juga turut mengurangkan paras keresahan. Walau bagaimanapun, ia tidak memberikan kesan ketara terhadap tekanan darah bagi penghidap keresahan.
Oleh kerana minyak pati lavender secara umumnya adalah selamat dan murah (bagi penggunaan aromaterapi), penggunaannya disarankan untuk membantu mengurangkan keresahan. [2]
Terdapat juga kajian yang melaporkan bahawa minyak pati lavender boleh membantu mengurangkan keresahan dan menambah baik “mood” bagi mereka yang sedang menunggu untuk mendapatkan rawatan gigi. [3]
Satu analisis lain turut melaporkan bahawa penggunaan aromaterapi lavender sesuai dan berkesan untuk jangka masa pendek bagi merawat keresahan, manakala pengambilan kapsul lavender seperti Silexan 80mg pula lebih sesuai untuk rawatan jangka panjang bagi keresahan (anxiety). [4]
2. Merawat Insomnia
Minyak pati lavender juga dipercayai boleh membantu merawat insomnia.
Khasiat minyak pati lavender ini boleh dilihat dalam beberapa kajian. Contohnya, kajian yang diterbitkan pada tahun 2015 yang melibatkan 79 orang penuntut kolej mendapati kumpulan yang mengamalkan kesihatan tidur dan terapi lavender mempunyai kualiti tidur yang lebih baik. [5]
Selain itu, terdapat juga kajian yang mendapati terapi menggunakan lavender boleh meningkatkan kualiti tidur dalam kalangan pesakit jagaan paliatif. [6]
Terdapat juga laporan kajian yang mendapati aromaterapi lavender berkesan untuk menambah baik kualiti tidur dalam kalangan pesakit intermediate care unit (IMCU). [7]
3. Membantu Menyembuhkan Luka
Sekiranya anda mengalami luka, melecur atau luka yang lain, minyak pati lavender boleh membantu mempercepatkan penyembuhan luka.
Kajian semula yang melibatkan 20 kajian terapi menggunakan minyak pati lavender boleh mempercepatkan penyembuhan luka, meningkatkan penghasilan kolagen dan terlibat dalam proses pemodelan semula tisu badan. [8]
4. Mencegah Jangkitan Kulat
Minyak pati lavender juga bermanfaat dalam membantu mencegah jangkitan kulat.
Kajian-kajian menunjukkan minyak pati lavender berkesan dalam membantu mencegah jangkitan kulat jenis Candida albicans. [9, 10]
Kulat Candida albicans adalah sejenis kulat (fungus) yang sering menyebabkan jangkitan di mulut dan faraj wanita.
5. Merawat Rambut Gugur
Minyak pati lavender juga mungkin berkesan untuk merawat masalah rambut gugur seperti alopecia areata yang menyebabkan botak bertompok.
Kajian yang melibatkan 86 orang pesakit alopecia areata mendapati minyak pati lavender boleh menggalakkan pertumbuhan rambut sehingga 44% selepas 7 bulan rawatan. [11]
Risiko dan Kesan Sampingan
Bagi sesetengah orang yang mungkin mempunyai kulit yang sensitif atau mempunyai alahan, minyak pati lavender mungkin menyebabkan iritasi kulit atau tindak balas alahan.
Sekiranya anda mengalami simptom-simptom seperti sakit kepala, loya atau muntah-muntah, berhenti menggunakan minyak lavender tersebut.
Bagi minyak pati lavender dalam bentuk kapsul atau bentuk untuk dimakan, sila mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan sebelum mengambilnya.
Dos dan Cara Penggunaan
Tiada dos atau sukatan tertentu yang dicadangkan bagi minyak pati lavender.
Untuk kegunaan aromaterapi, anda boleh menggunakan beberapa titis minyak pati ini untuk diletakkan di dalam peresap (diffuser) atau pelembap (humidifier).
Bagi kegunaan sapuan, mencampurkan minyak pati lavender dengan minyak pembawa (carrier oil) adalah amalan yang lazim dilakukan.
Rumusan
Minyak pati lavendar sangat sesuai digunakan untuk membantu menenangkan diri anda atau mengurangkan keresahan yang dialami.
Selain itu, ia mungkin membantu anda untuk mendapatkan tidur yang berkualiti, membantu merawat luka, mencegah jangkitan kulat dan merawat rambut gugur.
Meskipun begitu, sekiranya anda mengalami sebarang kesan sampingan akibat daripada penggunaan minyak pati ini. Sila berhenti menggunakannya dan dapatkan rawatan daripada doktor.
Rujukan
- Silva, G. L. et al. (2015). Antioxidant, analgesic and anti-inflammatory effects of lavender essential oil. Anais da Academia Brasileira de Ciencias.
- Donelli, D. et al. (2019). Effects of lavender on anxiety: A systematic review and meta-analysis. Phytomedicine.
- Lehrner, J. et al. (2005). Ambient odors of orange and lavender reduce anxiety and improve mood in a dental office. Physiology & behavior.
- Sayed, A. M. et al. (2020). The best route of administration of lavender for anxiety: a systematic review and network meta-analysis. General hospital psychiatry.
- Lillehei, A. S. et al. (2015). Effect of Inhaled Lavender and Sleep Hygiene on Self-Reported Sleep Issues: A Randomized Controlled Trial. Journal of alternative and complementary medicine.
- Yıldırım, D. et al. (2020). The Effect of Lavender Oil on Sleep Quality and Vital Signs in Palliative Care: A Randomized Clinical Trial. Complementary medicine research.
- Lytle, J. et al. (2014). Effect of lavender aromatherapy on vital signs and perceived quality of sleep in the intermediate care unit: a pilot study. American journal of critical care.
- Samuelson, R. et al. (2020). The Effects of Lavender Essential Oil on Wound Healing: A Review of the Current Evidence. Journal of alternative and complementary medicine.
- D’Auria, F. D. et al. (2005). Antifungal activity of Lavandula angustifolia essential oil against Candida albicans yeast and mycelial form. Medical mycology.
- Behmanesh, F. et al. (2015). Antifungal Effect of Lavender Essential Oil (Lavandula angustifolia) and Clotrimazole on Candida albicans: An In Vitro Study. Scientifica.
- Hay, I. C. et al. (1998). Randomized trial of aromatherapy. Successful treatment for alopecia areata. Archives of dermatology.