Mereka yang mengalami keguguran rambut yang melampau mungkin memerlukan rawatan bagi mengelakkan botak. Di sini kami kongsikan beberapa cara merawat rambut gugur sama ada menggunakan ubat atau petua yang boleh dicuba di rumah.
Rambut gugur adalah fenomena biasa yang berlaku kepada setiap individu. Dianggarkan seorang manusia keguguran rambut sebanyak 100 helai sehari.
Keadaan ini tidak akan menyebabkan botak kerana dalam masa yang sama, rambut baru akan tumbuh.
Rambut manusia tumbuh sebanyak 1cm setiap bulan dan tumbuh mengikut 3 fasa kitaran iaitu fasa pertumbuhan, fasa segenerasi separa dan fasa rehat. Fasa rehat ialah fasa terakhir dimana rambut akan gugur selepas itu.
Punca atau Penyebab Rambut Gugur
Masalah rambut gugur akan mula berlaku apabila kitaran pertumbuhan rambut dan penanggalan rambut ini terganggu. Masalah ini turut boleh berlaku sekiranya folikel rambut musnah.
Beberapa faktor yang mungkin menjadi penyebab kepada masalah keguguran rambut adalah seperti berikut:
1. Keturunan
Keturunan adalah punca utama kepada masalah botak mengikut corak bagi lelaki dan wanita (alopecia androgenik).
Masalah ini selalunya berlaku selari dengan penuaan dan dalam corak yang dapat dijangka.
Botak mengikut corak bagi lelaki boleh berlaku seawal usia 20-an. Botak mengikut corak bagi wanita pula dapat dilihat apabila rambut menjadi semakin nipis diseluruh kepala terutamanya di bahagian atas kepala.
2. Perubahan Hormon
Perubahan hormon semasa mengandung, melahirkan anak, menopaus (putus haid) dan penyakit kelenjar tiroid juga boleh menyebabkan keguguran rambut sama ada kekal atau bersifat sementara.
3. Terlampau Tertekan (stres)
Seseorang itu mungkin akan mengalami keguguran rambut setelah beberapa bulan mengalami kejutan emosi atau fizikal.
Rambut akan berhenti tumbuh dan memasuki fasa rehat. Namun, masalah ini bersifat sementara.
4. Kesan Sampingan Ubat-ubatan
Rambut gugur juga boleh disebabkan oleh kesan sampingan sesetengah ubat. Pesakit yang mengambil ubat darah tinggi, ubat kemurungan, ubat gout, ubat kanser dan ubat artritis berpotensi mendapat masalah ini.
5. Alopecia Areata
Penyakit auto imun yang menyebabkan liang rambut dimusnahkan oleh sel pesakit sendiri. Keadaan ini boleh menyebabkan tompok-tompok botak, botak diseluruh kepala atau botak diseluruh badan (bulu-bulu turut gugur).
6. Trichotillomania
Trichotillomania adalah masalah psikologi yang mendorong individu tersebut menarik rambutnya sendiri.
Masalah ini dikaitkan dengan kemurungan dan selalunya berlaku dalam kalangan remaja perempuan berbanding lelaki.
Rawatan Rambut Gugur Untuk Lelaki dan Wanita
Sesetengah individu daripada kaum lelaki mungkin tidak kisah untuk botak. Bahkan, ada yang memilih penampilan tanpa rambut ini. Oleh itu, botak mungkin bukan satu masalah yang besar bagi sesetengah lelaki.
Manakala bagi wanita, masalah rambut gugur mungkin boleh menganggu emosi serta mengurangkan keyakinan diri mereka. Oleh itu, wanita akan memandang masalah ini dengan lebih serius.
Terdapat beberapa cara atau rawatan yang boleh digunakan untuk merawat rambut gugur untuk lelaki dan wanita. Antaranya ialah:
1. Minoxidil
Minoxidil turut dikenali sebagai Rogaine adalah ubat belian kaunter (boleh didapati di kedai ubat atau farmasi) yang boleh digunakan untuk lelaki dan wanita untuk mengatasi masalah rambut gugur.
Ubat ini boleh didapati dalam bentuk cecair atau buih (foam). Digunakan dengan menyapunya di kulit kepala setiap hari.
Pada mulanya ubat ini mungkin akan menyebabkan rambut gugur. Kemudian, rambut baru akan tumbuh tetapi mungkin lebih pendek dan nipis berbanding rambut sebelumnya.
Ubat ini juga harus digunakan selama 6 bulan atau lebih untuk mencegah rambut gugur dan mengalakkan pertumbuhan baru.
Kesan sampingan yang mungkin berlaku termasuklah iritasi pada kulit kepala, rambut atau bulu tumbuh di bahagian lain seperti tangan, dagu atau dahi. Kadang-kala rambut yang baru tumbuh mungkin berlainan warna dan tekstur daripada rambut asal.
2. Makanan Tambahan (Suplemen) Zat Besi
Kekurangan zat besi mungkin menjadi penyebab kepada rambut gugur bagi sesetengah wanita.
Oleh itu, dapatkan rawatan daripada doktor untuk menjalani ujian kadar zat besi dalam darah.
Sekiranya anda seorang vegetarian, pernah atau mengalami anemia atau mengalami perdarahan haid yang kuat, anda mungkin mengalami kekurangan zat besi.
Pengambilan makanan tambahan zat besi boleh menghentikan keguguran rambut.
Baca juga: Vitamin untuk rambut gugur
3. Pembedahan Pemindahan Rambut
Pemindahan rambut adalah rawatan yang biasa bagi masalah rambut gugur yang kekal seperti botak mengikut corak akibat keturunan (alopecia androgenik).
Kaedah lama pembedahan melibatkan pengambilan satu jalur kulit kepala dan ditampal di bahagian yang botak.
Namun, pada pertengahan tahun 1990-an, kaedah baru telah digunakan yang diberi nama pemindahan unit folikel (follicular unit transplantation).
Kaedah ini melibatkan pengambilan satu jalur kulit kepala dan dibahagikan kepada ratusan cebisan kulit kecil yang setiap satunya mengandungi beberapa rambut.
Setiap cebisan ini ditanam dalam celahan kulit yang dihasilkan menggunakan pisau atau jarum di kawasan rambut yang hilang.
Rambut akan tumbuh secara semulajadi melalui kaedah ini dan akan kelihatan lebih baik.
4. Ubat atau Rawatan Lain
Terdapat juga beberapa rawatan lain seperti ubat Finasteride, Spironolactone, Tretinoin, suntikan Corticosteroid, krim Anthralin, terapi Platelet-rich plasma (PRP) dan terapi laser.
Walau bagaimanapun, rawatan-rawatan ini mempunyai kesan sampingan yang agak serius dan bergantung kepada penerimaan individu.
Petua atau Rawatan Dirumah untuk Rambut Gugur
Selain rawatan klinikal dan berasaskan ubat, terdapat juga petua-petua atau cara yang menggunakan bahan semula jadi untuk merawat rambut gugur.
Selain kurang atau tiada kesan sampingan, petua atau rawatan dirumah ini juga mudah untuk diamalkan disamping bersifat mencegah.
Antara cara merawat rambut gugur yang boleh dilakukan dirumah adalah:
1. Menggunakan Aloe Vera
Aloe vera adalah antara tumbuhan yang mempunyai banyak kegunaan.
Aloe vera boleh mengurangkan kelemumur dan membebaskan folikel rambut daripada tersumbat dengan minyak yang berlebihan.
Selain mengandungi vitamin A,C dan E yang mengalakkan pertumbuhan sel yang sihat, aloe vera juga mengandungi vitamin B-12 dan asid folik. Dua komponen ini boleh membantu mencegah rambut gugur. [1, 2]
Anda boleh menyapu gel aloe vera yang asli atau produk yang hampir 100% daripada gel aloe vera ke kulit kepala beberapa kali seminggu.
Anda juga boleh menggunakan syampu yang mengandungi Aloe Vera.
2. Menggunakan Minyak Kelapa
Minyak kelapa boleh digunakan untuk mengurangkan kehilangan protein pada rambut.[3]
Selain itu, minyak kelapa juga berupaya menghalang kerosakan rambut akibat sinaran UV. [4]
Minyak kelapa ini boleh digunakan dengan menyapu di rambut dan kulit kepala. Boleh digunakan dengan membiarkan semalaman atau membilasnya setelah beberapa jam menggunakannya.
3. Minyak Pati Rosemary
Minyak pati Rosemary mempunyai sifat antiseptik yang tinggi yang boleh merawat kulit kepala daripada jangkitan dan kelemumur.
Minyak pati Rosemary didapati mempunyai keupayaan yang sama seperti ubat Minoxodil 2% dalam merawat botak mengikut corak, bahkan dapat mengurangkan gatal kulit kepala berbanding ubat Minoxodil. [5]
Gunakan kira-kira 5 titis minyak ini. Sapu dan urut di kulit kepala secara rata selepas mandi. Anda boleh memilih untuk membilas atau membiarkan minyak ini dikepala.
Sekiranya anda ingin membilasnya, pastikan dibiarkan minyak ini dikepala sekitar 5 hingga 10 minit.
4. Makan Suplemen Ginseng
Mengambil makanan tambahan (suplemen) daripada Ginseng boleh mengalakkan pertumbuhan rambut.
Ginsenosides adalah sebatian bioaktif dalam Ginseng yang dipercayai bertanggungjawab mengalakkan pertumbuhan rambut. [6, 7]
5. Jus Bawang
Sekiranya anda tahan kepada baunya, anda boleh menggunakan jus bawang untuk pertumbuhan rambut.
Jus bawang telah didapati berjaya merawat masalah Alopecia areata dalam satu kajian selama 2 bulan. [8]
Jus bawang ini boleh digunakan dengan menyapunya dikulit kepala serta rambut dan dibiarkan selama 15 minit. Kemudian, bersihkan dengan syampu seperti biasa.
6. Suplemen Viviscal
Makanan tambahan atau suplemen seperti Viviscal juga boleh membantu pertumbuhan rambut terutamanya kepada mereka yang mengalami masalah rambut menipis. [9]
Viviscal ialah makanan tambahan yang diperbuat daripada protein marin seperti campuran serbuk ikan jerung dan moluska.
7. Mengurut Kulit Kepala
Cara merawat rambut gugur yang seterusnya adalah mengurut kulit kepala. Mengurut kulit kepala boleh membantu memulihkan pertumbuhan rambut.
Mengurut kulit kepala dikatakan dapat meningkatkan ketebalan rambut dan lapisan papila dermis. [10]
Selain itu, mengurut kulit kepala juga dapat menghasilkan kesan yang menenangkan, meningkatkan pengaliran darah dan melembutkan kulit.
Bolehkah Rambut Gugur Ini Dicegah?
Pencegahan rambut gugur bergantung kepada puncanya. Sekiranya, rambut gugur atau botak akibat keturunan. Maka, masalah ini tidak boleh dicegah.
Bagi kes-kes lain, beberapa langkah yang boleh diambil untuk mencegah rambut gugur:
- Sikat dan basuh rambut dengan lembut. Elakkan menarik dengan kasar.
- Elakkan gaya rambut yang ketat.
- Hindari ubat dan makanan tambahan yang boleh menyebabkan rambut gugur.
- Hindari daripada menarik dan memintal rambut.
- Berhenti merokok.
- Jika anda menjalani rawatan kemoterapi, minta pemakaian ‘cooling cap‘ bagi mengurangkan keguguran rambut.
Soal Jawab (FAQ) Mengenai Rambut Gugur
Alat seperti pengering rambut dan pelurus rambut (seperti sikat panas) adalah antara alat yang boleh menyebabkan keguguran rambut.
Rambut gugur selepas bersalin adalah normal akibat perubahan hormon. Biasanya rambut akan kembali tumbuh antara 6 hingga 12 bulan selepas bersalin.
Ya. Normal. Dianggarkan manusia kehilangan 100 helai rambut sehari.
Penyakit tiriod dan anemia (kekurangan darah merah) boleh menyebabkan keguguran rambut.
Rujukan
- Surjushe, A. et al. (2008). Aloe vera: a short review. Indian journal of dermatology.
- Almohanna, H. M. et al. (2019). The Role of Vitamins and Minerals in Hair Loss: A Review. Dermatology and therapy.
- Rele, A. S., & Mohile, R. B. (2003). Effect of mineral oil, sunflower oil, and coconut oil on prevention of hair damage. Journal of cosmetic science.
- Korać, R. R., & Khambholja, K. M. (2011). Potential of herbs in skin protection from ultraviolet radiation. Pharmacognosy reviews.
- Panahi, Y. et al. (2015). Rosemary oil vs minoxidil 2% for the treatment of androgenetic alopecia: a randomized comparative trial. Skinmed.
- Park, G. H. et al. (2015). Red ginseng extract promotes the hair growth in cultured human hair follicles. Journal of medicinal food.
- Choi B. Y. (2018). Hair-Growth Potential of Ginseng and Its Major Metabolites: A Review on Its Molecular Mechanisms. International journal of molecular sciences.
- Sharquie, K. E., & Al-Obaidi, H. K. (2002). Onion juice (Allium cepa L.), a new topical treatment for alopecia areata. The Journal of dermatology.
- Ablon G. (2015). A 3-month, randomized, double-blind, placebo-controlled study evaluating the ability of an extra-strength marine protein supplement to promote hair growth and decrease shedding in women with self-perceived thinning hair. Dermatology research and practice.
- Koyama, T. et al. (2016). Standardized Scalp Massage Results in Increased Hair Thickness by Inducing Stretching Forces to Dermal Papilla Cells in the Subcutaneous Tissue. Eplasty.