Kemoterapi adalah rawatan yang menggunakan satu atau lebih ubat untuk melawan sel-sel kanser dalam badan. Adalah penting untuk mendapatkan makanan berkhasiat semasa kemoterapi kerana kesan daripada rawatan ini boleh menyebabkan mulut kering, deria rasa berbeza, loya, keletihan dan mengubah keinginan untuk makan.
Makanan yang tinggi khasiat, mudah untuk dihadam dan mempunyai rasa yang sederhana adalah antara pilihan yang baik.
Berikut ialah antara 7 makanan berkhasiat yang boleh dimanfaatkan semasa kemoterapi.
1. Telur
Telur boleh memberi tenaga kepada mereka yang mengalami keletihan. Keletihan boleh menjadi kesan sampingan akibat rawatan kemoterapi.
Telur boleh menjadi sumber tenaga untuk melawan keletihan. Protein boleh membantu mengekalkan otot-otot badan, manakala lemak pula membekalkan badan dengan tenaga.
Sebiji telur (saiz besar) boleh membekalkan kira-kira 6 gram protein dan 4 gram lemak.
2. Ikan
Ikan juga adalah pilihan yang baik semasa anda menjalani rawatan kemoterapi.
Ikan boleh membekalkan protein dan asid lemak omega-3. Ikan salmon, ikan tenggiri, ikan sardin dan ikan tuna adalah antara ikan yang tinggi dengan asid lemak omega -3.
Asid lemak omega-3 penting untuk kesihatan otak dan bertindak melawan keradangan.
Tambahan lagi, makanan yang tinggi protein dan lemak sihat ini boleh mengelakkan kita daripada susut berat badan secara tidak sihat. [1]
3. Kekacang
Kekacang seperti kacang badam, kacang gajus, kacang tanah dan yang lain-lain merupakan snek yang menyihatkan.
Sebagai contoh, kacang badam kaya dengan sumber seperti mangan dan tembaga.
Mineral ini membentuk superoksida dismutase, antara antioksidan yang kuat di dalam badan. Antioksidan ini boleh membantu melawan radikal bebas yang boleh merosakkan sel-sel sihat. [2]
4. Brokoli, Kubis dan Bunga Kubis
Brokoli, kubis dan kubis bunga pula adalah kumpulan sayuran yang sangat tinggi kandungan nutrisinya.
Sebagai contoh, brokoli dan kubis mengandungi sebatian yang dikenali sebagai sulforaphane.
Sebatian ini dipercayai boleh meningkatkan kesihatan otak.
Kajian menunjukkan sulforaphane memberikan impak positif terhadap kesihatan otak dengan mengurangkan keradangan dan melindungi sel-sel daripada musnah terutamanya semasa menjalani kemoterapi. [3]
5. Oat
Oat boleh membekalkan pelbagai nutrien yang boleh membantu badan kekal sihat semasa menjalani kemoterapi.
Bijirin ini juga boleh membekalkan karbohidrat, protein, lemak, mineral-mineral dan vitamin yang menyihatkan.
Kandungan beta glukan dalam oat boleh membantu mengawal usus. Beta glukan ialah sejenis serat larut yang menjadi makanan kepada bakteria baik dalam usus. [4]
6. Smoothie
Smoothie ialah satu pilihan yang baik untuk mendapatkan tenaga dan nutrien tanpa perlu mengunyah.
Minuman ini juga boleh dipelbagaikan kandungannya dan rasanya bagi memenuhi kesesuaian rasa masing-masing.
Cara asas untuk membuat smoothie:
- 1-2 cawan air/susu (240-475ml)
- 1.5 – 3 cawan buah atau sayur (225-450g)
- 1 sudu besar protein (15 gram)
- 1 sudu besar lemak (15 gram)
Contohnya, buah-buahan segar atau sejukbeku dicampurkan dengan susu, kemudian ditambah sehelai atau dua helai daun bayam.
Seterusnya, dicampurkan sesudu besar biji chia atau flax seed sebagai lemak dan sesudu besar mentega kacang sebagai protein.
7. Roti atau biskut
Roti atau biskut adalah antara pilihan yang baik sekiranya anda mengalami cirit-birit atau loya.
Biskut masin atau yang mengandungi garam berguna untuk menggantikan garam yang hilang semasa muntah atau cirit-birit.
Roti dan biskut ini juga boleh dimakan bersama-sama mentega kacang atau keju untuk menambahkan rasanya.
Rumusan
Kemoterapi boleh menyebabkan mereka yang dalam proses rawatan ini kehilangan selera makan,sakit pada mulut, keletihan dan berubah deria rasa.
Mengetahui makanan yang berkhasiat dan penuh dengan nutrien boleh membantu badan terus sihat dan terus bertahan semasa rawatan kemoterapi.
Rujukan
- Freitas, R. D. S., & Campos, M. M. (2019). Protective Effects of Omega-3 Fatty Acids in Cancer-Related Complications. Nutrients.
- Holley, A. K. et al. (2011). Manganese superoxide dismutase: guardian of the powerhouse. International journal of molecular sciences.
- Sun, B., Zhang. et al. (2017). Effects of sulforaphane and vitamin E on cognitive disorder and oxidative damage in lead-exposed mice hippocampus at lactation. Journal of trace elements in medicine and biology.
- Valeur, J. et al. (2016). Oatmeal porridge: impact on microflora-associated characteristics in healthy subjects. The British journal of nutrition.