Kelemumur adalah masalah kulit yang berlaku di kulit kepala dan menyebabkan gatal-gatal, kulit mengelupas dan tompok-tompok berminyak. Terdapat pelbagai cara hilangkan kelemumur yang mudah dan berkesan untuk diamalkan di rumah.
Kelemumur boleh disebabkan oleh beberapa faktor seperti:
- dermatitis seborrheic
- kulit kering
- masalah kulit seperti ekzema dan psoriasis
- jangkitan kulat Malassezia
- perubahan diet
- tindak balas alahan terhadap produk rambut atau kulit
Kelemumur mempunyai banyak persamaan dengan dermatitis seborrheic. Perbezaannya hanyalah lokasi ia terjadi dan tahap keterukannya.
Terdapat banyak produk-produk yang boleh dibeli di kedai atau farmasi terutamanya dalam bentuk syampu yang boleh digunakan untuk menghilangkan kelemumur ini.
Di samping itu, terdapat juga bahan-bahan semulajadi yang boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah kelemumur ini.
Berikut adalah beberapa cara atau petua yang menggunakan bahan-bahan semulajadi yang boleh digunakan untuk hilangkan kelemumur yang menyerang anda.
1. Minyak Tea Tree
Minyak tea tree ini banyak digunakan untuk merawat pelbagai penyakit seperti jerawat, kaki atlet dan dermatitis. Minyak tea tree ini adalah minyak pati yang diperolehi daripada tumbuhan yang dikenali sebagai Melaleuca alternifolia.
Minyak tea tree ini mengandungi sebatian yang dipanggil terpinen-4-ol. Sebatian ini mempunyai ciri-ciri antimikrob yang boleh merencat atau mencegah pertumbuhan kulat dan bakteria pada kulit kepala.
Satu kajian yang dijalankan terhadap 126 penghidap kelemumur mendapati rawatan menggunakan syampu yang mengandungi 5% minyak tea tree selama 4 minggu berjaya mengurangkan keterukan kelemumur yang dialami. [1]
Cara penggunaan:
Terdapat dua cara yang boleh dicuba untuk hilangkan kelemumur menggunakan minyak tea tree ini iaitu:
- Beli syampu yang mengandungi sekurang-kurangnya 5% minyak tea tree.
- Tambah atau titiskan 5 hingga 10 titisan minyak pati tea tree ke dalam botol syampu yang anda gunakan sekarang, goncang sehingga ia sebati. Gunakan syampu ini dengan mengurut lembut di kulit kepala dan bilas dengan air bersih.
*Peringatan: Pastikan minyak tea tree ini tidak termasuk ke dalam mulut kerana ia boleh menyebabkan keracunan.
2. Gel Aloe Vera
Aloe vera antara tumbuhan yang banyak digunakan dalam pelbagai produk kecantikan dan penjagaan diri.
Aloe vera mempunyai banyak khasiatnya termasuklah untuk merawat kelemumur. Kajian melaporkan bahawa aloe vera mempunyai ciri-ciri antibakteria dan antikulat yang berperanan untuk mencegah pembentukan kelemumur di kepala. [2]
Cara penggunaan:
Anda boleh mendapatkan gel aloe vera ini sama ada melalui daun aloe vera yang ditanam atau membeli gel aloe vera yang dijual di pasaran.
Untuk mengekstrak gel daripada daun aloe vera, lakukan langkah berikut:
- Potong daun aloe vera daripada pokoknya.
- Pegang daun yang dipotong secara menegak dengan bahagian yang dipotong berada dibawah. Biarkan cecair berwarna kuning menitis keluar (kita tidak memerlukannya untuk merawat kelemumur).
- Kemudian, potong lapisan atas daun aloe vera ini dan anda boleh melihat gel didalamnya.
- Potong dikedua-dua sisi daun ini.
- Dengan menggunakan sudu, kikis gel tersebut dan letakkan di dalam satu bekas.
Anda boleh menggunakan gel aloe vera (sama ada yang dibeli atau dibuat sendiri) sebelum atau selepas bersyampu.
- Sapukan gel aloe vera ini di kulit kepala.
- Biarkan selama 30 minit hingga 1 jam.
- Gunakan syampu untuk membilas gel tersebut.
- Ulang penggunaan gel ini 2 hingga 3 kali seminggu.
3. Minyak Kelapa
Minyak kelapa juga adalah minyak yang mempunyai banyak manfaat kesihatan. Minyak ini boleh mencegah kulit kering. Kulit kepala yang kering akan menyebabkan kelemumur bertambah teruk.
Satu kajian yang dijalankan terhadap 34 orang pesakit yang mengalami kulit kering mendapati minyak kelapa boleh membantu melembapkan kulit. Malah, kajian turut mendapati ia selamat digunakan tanpa kesan sampingan. [3]
Selain itu juga, kajian lain turut mendapati minyak kepala juga boleh mengurangkan simptom-simptom dermatitis atopi iaitu sejenis ekzema yang menyebabkan keradangan kulit dan gatal-gatal. [4]
Cara penggunaan:
Minyak kelapa terutamanya minyak kelapa dara mudah untuk didapati sama ada dijual secara atas talian atau di kedai-kedai jamu atau kecantikan.
- Sapukan minyak kelapa ini dikulit kepala.
- Sikat rambut anda untuk membolehkan minyak ini menyerap dan tersebar ke seluruh kulit kepala anda.
- Biarkan selama beberapa minit untuk membolehkan minyak ini menyerap ke dalam rambut dan kulit kepala.
- Kemudian, bilas menggunakan air bersih.
4. Madu
Madu juga adalah antara bahan yang selalu digunakan dalam petua atau rawatan di rumah untuk pelbagai penyakit atau masalah kesihatan.
Madu mempunyai sifat atau ciri-ciri antibakteria dan tinggi dengan kandungan antioksidan.
Satu kajian telah dijalankan terhadap 20 orang pesakit yang menghidap dermatitis seborrheic dan kelemumur. Pesakit ini dirawat menggunakan madu asli yang dicairkan ke dalam air suam.
Hasil kajian itu mendapati penggunaan madu ini berjaya melegakan simptom-simptom berkaitan penyakit ini seperti gatal-gatal, kulit kepala bersisik (berkeruping) dan juga mengurangkan keguguran rambut.[5]
Cara penggunaan:
- Campurkan madu asli ke dalam air suam (90% madu dan 10% air suam).
- Sapukan di kulit kepala dan urut dengan lembut selama 2 hingga 3 minit.
- Biarkan madu yang disapu tersebut selama 3 jam.
- Kemudian, bilas dengan air suam.
- Amalkan penggunaan madu ini selang hari selama 4 minggu.
- Setelah terdapat perubahan, boleh amalkan seminggu sekali.
5. Limau nipis
Terdapat petua orang-orang tua yang menggunakan air perahan limau nipis atau limau purut sebagai salah satu cara untuk hilangkan kelemumur.
Walaupun tiada bukti kajian yang khusus terhadap kesan air perahan limau nipis terhadap kelemumur, kesan ini mungkin disumbang olek sifat antibakteria dan antikulat limau nipis ini. [6, 7]
Cara penggunaan:
- Perahkan air limau nipis atau limau purut.
- Sapukan air perahan limau ini ke atas kulit kepala.
- Ratakan keseluruh bahagian kulit kepala dan biarkan beberapa jam.
- Untuk hasil yang lebih baik, perap rambut anda dengan tuala.
- Kemudian, bilas dengan air suam.
6. Kurangkan Tekanan (Stres)
Tekanan atau stres boleh mempengaruhi penyakit dan kesihatan mental seseorang.
Dalam konteks kelemumur, tekanan tidak menyebabkan berlakunya kelemumur tetapi tekanan ini akan menyebabkan simptom-simptom berkaitan dengan kelemumur bertambah teruk. Contohnya seperti gatal-gatal dan kulit kepala menjadi kering. [8]
Tekanan yang tinggi pada satu jangka masa yang lama boleh melemahkan sistem imun badan kita. [9]
Kesannya, badan kita mengalami kesukaran untuk melawan jangkitan bakteria atau kulat yang boleh menyebabkan kelemumur.
Satu kajian yang dijalankan terhadap 82 orang pesakit dermatitis saborrheic (antara penyebab utama kelemumur) melaporkan bahawa penyakit ini didahului dengan peristiwa yang memberi tekanan dan tekanan. [10]
7. Pemakanan
Pemakanan yang seimbang yang kaya dengan vitamin, mineral dan antioksidan penting untuk membolehkan badan melawan segala penyakit atau keradangan.
Satu laporan kes yang diterbitkan pada tahun 2017 menunjukkan bahawa kekurangan biotin boleh menyebabkan beberapa penyakit kulit termasuklah dermatitis seborrheic. [11]
Biotin atau vitamin B7 ialah vitamin yang memainkan peranan penting untuk mengekalkan kesihatan rambut, kuku dan kulit.
Antara makanan yang tinggi dengan biotin adalah:
- Kuning telur
- Hati (ayam atau lembu)
- Kekacang
- avokado
- brokoli
- pisang
Rumusan
Kelemumur sememang mendatangkan ketidakselesaan kepada penghidapnya. Selain rasa gatal-gatal, kelemumur juga boleh mempengaruhi penampilan seseorang.
Terdapat beberapa petua atau cara hilangkan kelemumur yang boleh dilakukan dirumah yang berkesan untuk menghilangkan kelemumur ini. Antaranya ialah menggunakan minyak tea tree, gel aloe vera, minyak kelapa, air perahan limau nipis dan madu asli.
Selain itu, mereka yang menghidap kelemumur ini juga harus mengawal dan mengurangkan tekanan (stres) dalam kehidupan harian mereka. Sekiranya anda kekurangan vitamin B7 atau biotin, tambah makanan tinggi biotin dalam pemakanan harian anda.
Rujukan
- Satchell, A. C. et al. (2002). Treatment of dandruff with 5% tea tree oil shampoo. Journal of the American Academy of Dermatology.
- Hashemi, S. A. et al. (2015). The Review on Properties of Aloe Vera in Healing of Cutaneous Wounds. BioMed research international.
- Agero, A. L., & Verallo-Rowell, V. M. (2004). A randomized double-blind controlled trial comparing extra virgin coconut oil with mineral oil as a moisturizer for mild to moderate xerosis. Dermatitis : contact, atopic, occupational, drug.
- Evangelista, M. T. et al. (2014). The effect of topical virgin coconut oil on SCORAD index, transepidermal water loss, and skin capacitance in mild to moderate pediatric atopic dermatitis: a randomized, double-blind, clinical trial. International journal of dermatology.
- Al-Waili N. S. (2001). Therapeutic and prophylactic effects of crude honey on chronic seborrheic dermatitis and dandruff. European journal of medical research.
- Aibinu, I. et al. (2006). Evaluation of the antimicrobial properties of different parts of Citrus aurantifolia (lime fruit) as used locally. African journal of traditional, complementary, and alternative medicines.
- Lee, S. M. et al. (2018). Key lime (Citrus aurantifolia) inhibits the growth of triple drug resistant Helicobacter pylori. Gut pathogens.
- Nowicki R. (2006). [Modern management of dandruff]. Polski merkuriusz lekarski.
- Dhabhar F. S. (2014). Effects of stress on immune function: the good, the bad, and the beautiful. Immunologic research.
- Misery, L. et al. (2007). [Stress and seborrheic dermatitis]. Annales de dermatologie et de venereologie.
- Gilson, R. C. et al. (2017). Dementia, diarrhea, desquamating shellac-like dermatitis revealing late-onset cobalamin C deficiency. JAAD case reports.