Aloe vera adalah tumbuhan yang mempunyai banyak kegunaan dan khasiat. Khasiat aloe vera sebenarnya bukan terhad kepada kesihatan dan kecantikan sahaja. Banyak lagi khasiat tumbuhan ini yang mungkin kita tidak tahu. Jom kita terokai khasiat aloe vera!
Aloe vera ini telah digunakan dalam perubatan sejak beribu tahun dahulu. Penggunaannya telah direkodkan dalam budaya India, Mesir, Greek, Rom dan China. Kini tumbuhan ini telah ditanam di negara-negara tropika di seluruh dunia.
Para pengkaji mula merungkai khasiat-khasiat aloe vera yang lain yang boleh dimanfaatkan sepenuhnya.
Berikut adalah beberapa khasiat aloe vera yang boleh dimanfaatkan oleh kita:
1. Baik untuk Penjagaan Kulit
Aloe vera boleh melembapkan kulit dan melambatkan penuaan kulit.
Khasiat aloe vera ini dapat dilihat dalam satu kajian terhadap 30 orang wanita yang berumur lebih daripada 45 tahun. Pengambilan Aloe Vera menunjukkan peningkatan penghasilan kolagen dan meningkatkan keanjalan kulit. [1]
Satu kajian klinikal terhadap wanita berusia 40 tahun ke atas mendapati pengambilan gel aloe vera yang mengandungi sterol dapat mengurangkan kedutan pada muka dengan ketara. [2]
2. Merawat Penyakit Melibatkan Sistem Pencernaan
Penyakit refluks gastroesofagus ialah penyakit pencernaan kronik yang melibatkan pengaliran balik kandungan gastro ke esofagus.
Kajian pada 2010 mendapati pengambilan 28 hingga 85 gram gel aloe vera semasa makan boleh mengurangkan penyakit refluks gastroesofagus yang boleh mengakibatkan pedih ulu hati. [3]
Satu kajian klinikal mendapati pengambilan sirap aloe vera sebanyak 10 mililiter sehari selama 4 minggu dapat mengurangkan gejala-gejala penyakit refluks gastroesofagus. Antaranya termasuklah pedih ulu hati, regurgitasi makanan, loya, kesukaran untuk menelan, kembung, sendawa dan regurgitasi asid. [4]
3. Boleh Membantu Mempercepatkan Penyembuhan Luka
Aloe vera juga popular dengan keupayaannya mempercepatkan menyembuhkan luka.
Kajian yang dijalankan pada tahun 2018 mendapati penggunaan aloe vera untuk penyembuhan luka menunjukkan kesan positif.
Aloe vera mempercepatkan penyembuhan luka dengan pertambahan dan migrasi sel tisu penghubung dan keratinosit. [5]
Lendir pada aloe vera juga mengandungi sebatian seperti vitamin E, vitamin C dan beberapa asid amino yang memainkan peranan penting dalam mempercepatkan penyembuhan luka. [6]
Satu percubaan klinikal mendapati penggunaan gel aloe vera adalah berkesan untuk pemulihan luka pembedahan Caesarean selepas 24 jam pembedahan berbanding kumpulan kawalan. [7]
4. Boleh Membantu Mengekalkan Kesegaran Makanan
Makanan segar seperti buah-buahan dan sayur-sayuran antara bahan makanan yang kesegaranya tidak bertahan lama.
Kajian yang diterbitkan oleh Cambridge University Press menunjukkan penyalutan ekstrak cecair aloe vera kepada tomato dapat mengekalkan kualiti tomato tersebut dan melambat masak atau matang. Ekstrak aloe vera ini juga menghalang pertumbuhan kulat (fungus). [8]
Kesan sama juga didapati terhadap kajian terhadap buah oren. Buah oren yang disalut oleh aloe vera boleh bertahan lima minggu lebih lama. [9]
5. Boleh Membantu Mengurangkan Plak Gigi
Pereputan gigi dan jangkitan pada gusi adalah masalah kesihatan yang biasa didengar.
Salah satu cara bagi mencegah masalah ini ialah dengan mengurangkan pembentukan plak gigi.
Kajian yang dijalankan oleh pengkaji dari India mendapati ekstrak aloe vera adalah selamat dan berkesan digunakan sebagai pencuci mulut kerana keupayaannya untuk mengurangkan plak gigi. [10]
Satu kajian lain turut mendapati keberkesanan aloe vera sebagai pencuci mulut atau pengkumur mulut yang boleh mengurangkan plak gigi dan gusi berdarah. [11]
6. Boleh Merendahkan Paras Gula dalam Darah
Masalah paras gula yang tinggi dalam darah sering dikaitkan dengan penyakit kencing manis atau diabetes.
Beberapa kajian mendapati aloe vera mempunyai kesan antidiabetes yang dapat menurunkan paras gula darah.
Khasiat aloe vera ini dilaporkan dalam kajian yang dijalankan oleh Mahidol University. Pesakit kencing manis yang diberikan sesudu makan jus aloe vera 2 kali sehari selama 2 minggu menunjukkan penurunan paras gula darah dan trigliserida. [12]
Kajian makmal yang dijalankan terhadap haiwan mendapati polisakarida aloe vera adalah sebatian yang bertanggungjawab menurunkan paras gula darah. [13]
7. Berpotensi dalam Mencegah dan Merawat Kanser
Aloe vera mengandungi sebatian aktif seperti aloesin dan aloe-emodin yang berperanan dalam memerangi kanser.
Kajian makmal terhadap sel-sel kanser payudara dan serviks mendapati bahan aktif aloe vera iaitu aloe-emodin berkesan sebagai agen antikanser yang menghalang perebakan tekanan oksidatif dan membunuh sel-sel kanser. [14, 15]
Selain itu, kajian lain mendapati aloesin dalam aloe vera juga menghalang tumbesaran tumor dalam kajian makmal terhadap kanser ovari. [16]
Walau bagaimanapun, khasiat aloe vera dalam mencegah kanser ini memerlukan banyak lagi kajian klinikal untuk mengesahkan keberkesanannya terhadap manusia.
8. Menghalang Jangkitan Bakteria atau Virus
Aloe vera juga turut menunjukkan aktiviti antibakteria dan antivirus.
Beberapa kajian makmal yang dijalankan terhadap aktiviti antibakteria aloe vera mendapati tumbuhan ini boleh menghalang bakteria jenis Staphylococcus aureus, Actinobacillus actinomycetemcomitans, Clostridium bacilli , Streptcoccus mutans dan Pseudomonas aeruginosa. [17, 18]
Bakteria-bakteria ini terlibat dalam pelbagai jangkitan dan penyakit terhadap manusia seperti jangkitan pada kulit, pneumonia, periodontitis, kaviti gigi dan jangkitan pada luka.
Aloe vera juga didapati boleh mencegah tumbesaran virus herpes simplex jenis 1 (HSV-1) dan virus influenza A berdasarkan kajian-kajian makmal. [19, 20]
Kajian-kajian ini menunjukkan potensi aloe vera untuk digunakan dalam perubatan dalam melawan jangkitan bakteria dan serangan virus.
9. Baik untuk Kesihatan Rambut
Aloe vera juga berguna untuk menguatkan rambut dan membuatkan kulit kepala lebih sihat.
Asid lemak yang dijumpai dalam aloe vera mempunyai ciri-ciri antiradang yang dapat membantu keradangan pada kulit kepala akibat daripada masalah kelemumur. [21]
Selain mengandungi vitamin A, C dan E yang mengalakkan pertumbuhan sel yang sihat, aloe vera juga mengandungi vitamin B12 dan folat. Dua komponen ini boleh membantu mencegah rambut gugur. [22]
Rumusan
Sebenarnya banyak khasiat aloe vera yang boleh dimanfaatkan oleh kita.
Sekarang ini juga, banyak produk-produk kesihatan seperti gel aloe vera yang telah memanfaatkan kelebihan yang ada pada tumbuhan ini.
Rujukan
- Cho, S. et al. (2009). Dietary Aloe Vera Supplementation Improves Facial Wrinkles and Elasticity and It Increases the Type I Procollagen Gene Expression in Human Skin in vivo. Annals of dermatology.
- Tanaka, M. et al. (2015). Effects of plant sterols derived from Aloe vera gel on human dermal fibroblasts in vitro and on skin condition in Japanese women. Clinical, cosmetic and investigational dermatology.
- Yarnell, Eric & Abascal, Kathy. (2010). Herbs for Gastroesophageal Reflux Disease. Alternative and Complementary Therapies.
- Panahi, Y. et al. (2015). Efficacy and safety of Aloe vera syrup for the treatment of gastroesophageal reflux disease: a pilot randomized positive-controlled trial. Journal of traditional Chinese medicine.
- Teplicki, E. et al. (2018). The Effects of Aloe vera on Wound Healing in Cell Proliferation, Migration, and Viability. Wounds.
- Hashemi, S. A. et al. (2015). The Review on Properties of Aloe Vera in Healing of Cutaneous Wounds. BioMed research international.
- Molazem, Z. et al. (2014). Aloe vera gel and cesarean wound healing; a randomized controlled clinical trial. Global journal of health science.
- García, M. A. et al. (2014). Effects of Aloe vera coating on postharvest quality of tomato. Fruits.
- Adetunji, C. et al. (2012). Effect of Edible Coatings from Aloe vera gel on Citrus sinensis during Ambient storage. J Agric. Res Dev.
- Gupta, R. K. (2014). Preliminary antiplaque efficacy of aloe vera mouthwash on 4 day plaque re-growth model: randomized control trial. Ethiopian journal of health sciences.
- Karim, B. et al. (2014). Effect of Aloe vera mouthwash on periodontal health: triple blind randomized control trial. Oral health and dental management.
- Yongchaiyudha, S. et al. (1996). Antidiabetic activity of Aloe vera L. juice. I. Clinical trial in new cases of diabetes mellitus. Phytomedicine.
- Kim, K. et al. (2018). ER stress attenuation by Aloe-derived polysaccharides in the protection of pancreatic β-cells from free fatty acid-induced lipotoxicity. Biochemical and biophysical research communications.
- Luo, J. et al. (2014). Combination of aloe-emodin with radiation enhances radiation effects and improves differentiation in human cervical cancer cells. Molecular medicine reports.
- Tseng, H. S. et al. (2017). Aloe-Emodin Enhances Tamoxifen Cytotoxicity by Suppressing Ras/ERK and PI3K/mTOR in Breast Cancer Cells. The American journal of Chinese medicine.
- Zhang, L. Q. et al. (2017). Aloesin Suppresses Cell Growth and Metastasis in Ovarian Cancer SKOV3 Cells through the Inhibition of the MAPK Signaling Pathway. Analytical cellular pathology.
- Saddiq, A.A., & Al-Ghamdi, H.A. (2018). Aloe vera extract: A novel antimicrobial and antibiofilm against methicillin resistant Staphylococcus aureus strains. Pakistan journal of pharmaceutical sciences.
- Jain, S. et al. (2016). Antibacterial Effect of Aloe Vera Gel against Oral Pathogens: An In-vitro Study. Journal of clinical and diagnostic research.
- Sun, Z. et al. (2018). Aloe Polysaccharides Inhibit Influenza A Virus Infection-A Promising Natural Anti-flu Drug. Frontiers in microbiology.
- Rezazadeh, F. et al. (2016). Assessment of Anti HSV-1 Activity of Aloe Vera Gel Extract: an In Vitro Study. Journal of dentistry.
- Da Vardy, et al. (1999) A double-blind, placebo-controlled trial of an Aloe vera (A. barbadensis) emulsion in the treatment of seborrheic dermatitis. Journal of Dermatological Treatment.
- Surjushe, A. et al. (2008). Aloe vera: a short review. Indian journal of dermatology.