Halia adalah tumbuhan tempatan yang mempunyai banyak khasiat dan kegunaan. Khasiat halia telah banyak dimanfaatkan dalam produk-produk kesihatan dan penjagaan diri.
Kali ini kami kongsikan khasiat halia berdasarkan bukti kajian yang berguna untuk kesihatan wanita mahupun lelaki.
Halia atau nama saintifiknya Zingiber officinale adalah tumbuhan dari keluarga Zingiberaceae yang sama seperti kunyit, lengkuas dan bunga kantan.
Rizom atau akarnya selalu digunakan dalam masakan. Kini, penggunaan halia sudah dipelbagaikan. Halia ini diproses dijadikan serbuk, minyak pati atau diadun bersama-sama bahan lain dalam produk makanan atau kosmetik.
![khasiat halia](https://helomedik.com/wp-content/uploads/2020/11/halia-1024x550.jpg.webp)
Berikut adalah 10 khasiat halia berdasarkan kajian-kajian sains perubatan.
1. Mengandungi Antioksidan yang Kuat
Aroma halia datangnya daripada bahan yang dikenali sebagai keton. Komponen utama bagi keton ini dikenali sebagai Gingerol.
Gingerol ini adalah bahan bioaktif utama yang bertanggungjawab terhadap nilai-nilai perubatan bagi halia ini.
Apabila halia kering atau mengering, Gingerol ini juga turut akan mengalami perubahan dan membentuk sebatian yang dikenali sebagai Shogaol.
Shogaol adalah bahan yang mendatangkan rasa menyengat bagi halia kering.
Gingerol dan Shogaol ini menunjukkan pelbagai ciri-ciri perubatan seperti antioksidan, antiradang, antikanser, antimikrob dan antialahan. [1]
2. Boleh Membantu Menurunkan Berat Badan
Khasiat halia juga banyak dikaitkan dengan kemampuannya untuk membantu menurunkan berat badan pemakannya.
Satu analisis yang melibatkan 14 kajian mendapati halia boleh membantu menurunkan berat badan, nisbah pinggang-pinggul, nisbah pinggul, glukosa dalam darah dan kerintangan insulin. [2]
Dalam satu kajian klinikal lain yang dijalankan terhadap 80 peserta yang mengalami obesiti mendapati pengambilan ekstrak halia selama 12 minggu berjaya menurunkan berat badan, BMI (body mass index) dan paras lemak badan. [3]
3. Boleh Membantu Mengurangkan Sakit Sendi
Sakit sendi atau nama perubatannya osteoartritis adalah masalah kesihatan yang sering berlaku dalam kalangan mereka yang sudah berumur.
Sakit sendi ini biasanya disebabkan oleh kemerosotan kandungan rawan dibahagian sendi seperti di bahagian lutut, siku atau jari.
Penjagaan makanan juga penting untuk membantu melambatkan atau memulihkan kemerosotan rawan ini.
Halia juga turut mempunyai peranan dalam merawat atau mengurangkan simptom-simptom sakit sendi ini.
Satu ulasan kajian mendapati pengambilan halia boleh mengurangkan kesakitan dan ketidakupayaan secara ketara. [4]
Kajian lain yang dijalankan terhadap 56 pesakit artritis reumatoid, osteoartritis dan ketidakselesaan otot turut mendapati kesan positif selepas pengambilan halia dalam bentuk serbuk.
Sebanyak 75% pesakit sendi mengalami kelegaan terhadap kesakitan dan bengkak manakala kesemua pesakit dengan ketidakselesaan otot mengalami kelegaan kesakitan. [5]
4. Boleh Merendahkan Paras Gula Darah
Halia juga turut memberi kesan kepada paras gula darah.
Ini berdasarkan kajian yang dijalankan terhadap pesakit diabetes jenis 2. Kajian ini melibatkan pengambilan 2g serbuk halia setiap hari selama 12 minggu.
Hasil kajian mendapati kumpulan yang menerima serbuk halia ini mengalami penurunan dari segi paras gula darah puasa (fasting blood sugar), purata paras gula darah (HbA1c), dan juga penurunan kepada bahan sampingan yang terhasil akibat tekanan oksidatif. [6]
Kajian lain pada tahun 2020 yang melibatkan 103 pesakit diabetes jenis 2 turut mendapati halia boleh menurunkan paras gula darah dan jumlah kolestereol.[7]
5. Boleh Mengurangkan Rasa Loya (terutamanya Morning Sickness)
Khasiat halia ini adalah istimewa untuk wanita. Halia mujarab dalam merawat pelbagai jenis loya.
Halia boleh melegakan rasa loya dan muntah dalam kalangan mereka yang menjalani pembedahan tertentu. Halia ini juga mungkin boleh melegakan loya yang berkaitan dengan kemoterapi. [8, 9, 10]
Menariknya lagi, halia didapati lebih berkesan dalam melegakan loya yang berkaitan dengan kehamilan seperti mabuk hamil (morning sickness).
Satu ulasan yang diterbitkan pada tahun 2013 melaporkan bahawa halia adalah selamat dan berkesan untuk merawat mabuk hamil, namun dos maksimum masih tidak jelas. [11]
Satu kajian klinikal yang diterbitkan pada tahun 2018 terhadap 77 orang ibu hamil mendapati pengambilan halia pada dos 500 mg dua kali sehari berkesan mengurangkan mabuk hamil yang ringan hingga sederhana. [12]
Satu ulasan sistematik diterbitkan pada tahun 2019 mendapati halia lebih berkesan daripada vitamin B tetapi pada dos 35-500mg halia dan vitamin B6 mempunyai kesan yang sama.
Manakala, untuk jangka masa panjang iaitu melebihi 60 hari, vitamin B6 lebih berkesan daripada halia. [13]
6. Boleh Mengurangkan Kesakitan Akibat Senggugut
Seterusnya, halia juga boleh membantu mengurang kesakitan akibat senggugut.
Ini dibuktikan dalam satu kajian yang membandingkan kesan halia dan ubat antiradang bukan steroid (Ibuprofen dan Mefenenic Acid).
Kajian yang melibatkan 150 orang pelajar perempuan ini mendapati halia mempunyai kesan yang sama dengan ubat antiradang ini dalam mengurangkan kesakitan akibat senggugut. [14]
Kajian yang lebih baru yang dijalankan terhadap 122 orang pelajar perempuan turut mendapati halia mempunyai kesan yang sama dengan ubat antiradang bukan steroid, Mefenamic acid dalam melegakan kesakitan akibat senggugut.[15]
7. Boleh Membantu Merendahkan Paras Kolesterol
Paras kolesterol yang tinggi meningkatkan risiko penyakit jantung kepada seseorang itu.
Makanan yang kita makan boleh mempengaruhi paras kolesterol jahat (kolesterol LDL) dalam badan kita.
Terdapat kajian terhadap 60 orang pesakit hiperlipidemia, kumpulan yang menerima 5 gram serbuk halia yang dijadikan pes menunjukkan penurunan kolesterol LDL (kolesterol jahat) selepas 3 bulan. [16]
Kajian lain turut mendapati kesan positif halia terhadap profil lipid dalam kalangan mereka yang mengambil halia ini. Halia juga didapati boleh mengurangkan paras kolesterol jahat (kolesterol LDL) dan meningkatkan paras kolesterol baik (kolesterol HDL). [17]
8. Membantu Merawat Masalah Ketakcernaan
Masalah ketakcernaan atau turut dikenali sebagai dispepsia selalu dikaitkan dengan pemakanan seseorang itu.
Terlebih makan, makanan secara gelojoh dan makan makanan berlemak serta pedas boleh menyebabkan masalah ini.
Halia didapati boleh memainkan peranan untuk merawat masalah ketakcernaan ini.
Halia boleh mempercepatkan pengosongan gaster iaitu mempercepatkan makanan dihadam diperut dan dibawa ke usus kecil. Ini boleh mengatasi masalah ketakcernaan ini. [18]
9. Boleh Meningkatkan Fungsi Otak
Seterusnya, halia juga adalah makanan yang boleh membantu meningkatkan fungsi otak dengan mengurangkan keradangan dan tekanan pengoksidaan.
Keradangan yang kronik dan tekanan pengoksidaan adalah antara punca yang menyebabkan penurunan kognitif dan penyakit Alzheimer.
Kajian terhadap wanita dipertengahan usia mendapati ekstrak halia boleh membantu meningkatkan fungsi kognitif golongan ini. [19]
Fungsi kognitif melibatkan kemampuan mental untuk belajar, berfikir, mengingati, menyelesaikan masalah, membuat keputusan dan perhatian.
Banyak kajian makmal yang mendapati halia serta kandungan antioksidannya iaitu Gingerol dan Shogaol boleh membantu mencegah penyakit penuaan berkaitan otak seperti penyakit Alzheimer. [20]
10. Boleh Melawan Jangkitan Bakteria & Virus
Kandungan Gingerol dalam halia turut menyumbang kepada khasiatnya yang boleh melawan jangkitan bakteria.
Terdapat kajian yang mendapati Gingerol boleh merencatkan tumbesaran bakteria yang berkaitan dengan penyakit periodontium. [21]
Penyakit periodontium ialah penyakit gusi yang melibatkan jangkitan bakteria. Penyakit ini boleh menyebabkan gusi bengkak, gusi berdarah, sakit ketika mengunyah atau kehilangan gigi.
Minyak pati halia juga turut boleh mencegah tumbesaran bakteria jenis Staphylococcus aureus dan Escherichia coli (E.coli). [22]
Bakteria-bakteria ini boleh menyebabkan jangkitan pada paru-paru, salur darah, injap jantung, tulang dan menyebabkan keracunan makanan.
Selain itu, terdapat juga kajian yang melaporkan bahawa halia segar boleh melawan virus yang menyebabkan jangkitan di saluran pernafasan manusia. [23]
Rumusan
Halia adalah makanan tempatan yang padat dengan khasiat. Halia bentong ,halia bara dan halia hitam adalah antara halia yang popular dengan khasiatnya.
Khasiat halia ini boleh dimanfaatkan oleh wanita, pesakit kencing manis, warga tua dan juga mereka yang ingin menurunkan berat badan.
Rujukan
- Semwal, R. B., et al. (2015). Gingerols and shogaols: Important nutraceutical principles from ginger. Phytochemistry.
- Maharlouei, N., et al. (2019). The effects of ginger intake on weight loss and metabolic profiles among overweight and obese subjects: A systematic review and meta-analysis of randomized controlled trials. Critical reviews in food science and nutrition.
- Park, S. H., et al. (2019). The effects of steamed ginger ethanolic extract on weight and body fat loss: a randomized, double-blind, placebo-controlled clinical trial. Food science and biotechnology.
- E.M. Bartels, et al. (2015). Efficacy and safety of ginger in osteoarthritis patients: a meta-analysis of randomized placebo-controlled trials. Osteoarthritis and Cartilage.
- Srivastava, K. C., & Mustafa, T. (1992). Ginger (Zingiber officinale) in rheumatism and musculoskeletal disorders. Medical hypotheses.
- Khandouzi, N., et al. (2015). The effects of ginger on fasting blood sugar, hemoglobin a1c, apolipoprotein B, apolipoprotein a-I and malondialdehyde in type 2 diabetic patients. Iranian journal of pharmaceutical research.
- Carvalho, G., et al. (2020). Effectiveness of ginger in reducing metabolic levels in people with diabetes: a randomized clinical trial. Revista latino-americana de enfermagem.
- Mandal, P., et al. (2014). The efficacy of ginger added to ondansetron for preventing postoperative nausea and vomiting in ambulatory surgery. Pharmacognosy research.
- Soltani, E., et al. (2017). Effects of preoperative administration of ginger (Zingiber officinale Roscoe) on postoperative nausea and vomiting after laparoscopic cholecystectomy. Journal of traditional and complementary medicine.
- Marx, W., et al. (2017). Ginger-Mechanism of action in chemotherapy-induced nausea and vomiting: A review. Critical reviews in food science and nutrition.
- Ding, M., et al. (2013). The effectiveness and safety of ginger for pregnancy-induced nausea and vomiting: a systematic review. Women and birth : journal of the Australian College of Midwives.
- Sharifzadeh, F., et al. (2018). A comparison between the effects of ginger, pyridoxine (vitamin B6) and placebo for the treatment of the first trimester nausea and vomiting of pregnancy (NVP). The journal of maternal-fetal & neonatal medicine.
- Khorasani, F., et al. (2020). A systematic review of the efficacy of alternative medicine in the treatment of nausea and vomiting of pregnancy. Journal of obstetrics and gynaecology.
- Ozgoli, G., et al. (2009). Comparison of effects of ginger, mefenamic acid, and ibuprofen on pain in women with primary dysmenorrhea. Journal of alternative and complementary medicine.
- Shirvani, M. A., et al. (2015). The effect of mefenamic acid and ginger on pain relief in primary dysmenorrhea: a randomized clinical trial. Archives of gynecology and obstetrics.
- Mastoi, Shah. et al. (2018). Effects of Ginger on LDL-C, Total Cholesterol and Body Weight. Clinical & Medical Biochemistry.
- Alizadeh-Navaei, R., et al. (2008). Investigation of the effect of ginger on the lipid levels. A double blind controlled clinical trial. Saudi medical journal.
- Hu, M. L., et al. (2011). Effect of ginger on gastric motility and symptoms of functional dyspepsia. World journal of gastroenterology.
- Saenghong, N., et al. (2012). Zingiber officinale Improves Cognitive Function of the Middle-Aged Healthy Women. Evidence-based complementary and alternative medicine.
- Mohd Sahardi, N., & Makpol, S. (2019). Ginger (Zingiber officinale Roscoe) in the Prevention of Ageing and Degenerative Diseases: Review of Current Evidence. Evidence-based complementary and alternative medicine.
- Park, M., et al. (2008). Antibacterial activity of [10]-gingerol and [12]-gingerol isolated from ginger rhizome against periodontal bacteria. Phytotherapy research.
- Wang, X., et al. (2020). Antibacterial Activity and Mechanism of Ginger Essential Oil against Escherichia coli and Staphylococcus aureus. Molecules (Basel, Switzerland).
- Chang, J. S., et al. (2013). Fresh ginger (Zingiber officinale) has anti-viral activity against human respiratory syncytial virus in human respiratory tract cell lines. Journal of ethnopharmacology.