Apa itu Minyak Pudina?
Minyak pudina atau minyak pati pudina adalah salah satu minyak pati yang mudah untuk dijumpai di seluruh dunia. Minyak pudina dikatakan mempunyai khasiat tertentu yang bermanfaat kepada penggunanya.
Minyak pudina dihasilkan daripada daun pudina dan bahagian berbunga. Ia mengandungi lebih daripada 40 sebatian dan salah satu daripadanya adalah mentol. Mentol adalah sebatian yang menghasilkan rasa segar kepada pudina.
Sesetengah orang menggunakan minyak pudina dalam bentuk aromaterapi dan ada juga yang menggunakan minyak pati pudina yang dicairkan pada kulit atau disedut melalui wap.

Selain itu, ekstrak pudina juga turut digunakan dalam industri makanan dan minuman sebagai penambah rasa.
Minyak pudina biasanya boleh didapati dalam beberapa bentuk iaitu:
- Minyak pudina tulen yang mempunyai kepekatan tinggi.
- Ekstrak pudina yang mempunyai kepekatan yang lebih rendah.
- Kapsul yang mengandungi sedikit minyak pudina dengan salutan yang istimewa.
Minyak pudina tulen terlalu pekat untuk diambil secara makan dan ia boleh menjadi toksik pada dos yang tinggi.
Food and Drug Administration (FDA) mengesyorkan pengguna hanya menggunakan minyak pati mengikut garis panduan yang dinyatakan oleh pengilang atau pengeluar.
Khasiat-khasiat Minyak Pudina
Pengamal perubatan tradisional menggunakan pudina untuk merawat pelbagai masalah kesihatan seperti melegakan kesakitan, mengurangkan muntah, mengurangkan kembung perut, menggalakkan peluh, meningkatkan kitaran darah dan lain-lain.
Walau bagaimanapun, tidak semua khasiat atau kegunaan ini telah dibuktikan secara saintifik oleh para penyelidik.
Berikut adalah beberapa khasiat minyak pudina yang dibuktikan dengan kajian-kajian saintifik:
1. Mengurangkan Gejala Sindrom Usus Rengsa (IBS)
Sindrom usus rengsa (IBS) adalah masalah kesihatan kronik yang menyebabkan gejala-gejala seperti sakit perut, sembelit, cirit-birit, kembung dan kekejangan perut.
Khasiat minyak pudina terhadap penyakit ini dilaporkan dalam satu analisis yang melibatkan 12 kajian merangkumi 835 orang pesakit.
Kajian tersebut mendapati rawatan menggunakan minyak pudina dalam bentuk kapsul boleh mengurangkan sakit perut dan gejala-gejala IBS yang lain. [1]
2. Melegakan Ketidakhadaman
Minyak pudina juga didapati boleh membantu melegakan ketidakhadaman.
Satu kajian semula yang diterbitkan di dalam jurnal Alimentary Pharmacology and Therapeutics mendapati gabungan antara kapsul enterik minyak pudina dan minyak jintan boleh mengurangkan ketidakhadaman bagi orang dewasa. [2]
Namun begitu, harus diingat juga bahawa minyak pudina boleh menyebabkan kesan sampingan seperti pedih hulu hati dan refluks asid bagi sesetengah orang.
3. Mengurangkan Rasa Loya
Rasa loya boleh berlaku disebabkan oleh pelbagai punca dan salah satu daripadanya adalah selepas pembedahan.
Satu kajian kecil yang melibatkan 34 pesakit yang mengalami loya selepas pembedahan mendapati menyedut minyak pudina melalui alat sedut hidung berjaya mengurangkan rasa loya. [3]
Kajian lain yang melibatkan gejala loya bagi pesakit kanser yang menerima rawatan kemoterapi mendapati minyak pudina boleh mengurangkan keterukan dan kekerapan loya dan muntah. [4]
4. Membantu Mengurangkan Kegatalan Kulit
Minyak pudina juga boleh digunakan secara topikal (sapuan) untuk membantu mengurangkan kegatalan kulit.
Khasiat minyak pudina ini dilaporkan dalam satu kajian kecil yang mendapati penggunaan minyak pudina secara sapuan berjaya mengurangkan keterukan dan tempoh kegatalan berlaku. [5]
5. Melawan Jangkitan Bakteria dan Virus
Minyak pudina juga turut didapati mempunyai aktiviti antibakteria dan antivirus.
Satu kajian pada 2019 menunjukkan bahawa minyak pudina mempunyai aktiviti antibakteria terhadap bakteria-bakteria jenis Staphylococcus aureus, Escherichia coli, Proteus mirabilis, Klebsiella pneumoniae, Pseudomonas aeruginosa dan Acinetobacter baumannii. [6]
Bakteria-bakteria ini boleh menyebabkan keracunan makanan, radang paru-paru, jangkitan dalam darah dan saluran air kencing.
Kajian ini menunjukkan potensi minyak pudina sebagai pilihan terapeutik masa depan untuk jangkitan tertentu, walaupun lebih banyak kajian diperlukan.
Selain itu, satu kajian semula pada 2020 juga turut menunjukkan bahawa minyak pudina mempunyai aktiviti antivirus terhadap virus herpes simplex, HSV-1 dan HSV-2. [7]
6. Membantu Mengurangkan Migrain
Minyak pudina juga didapati boleh membantu mengurangkan sakit kepala akibat migrain.
Satu kajian klinikal yang melibatkan 120 orang pesakit migrain mendapati titisan minyak pudina dan ubat lidocaine boleh mengurangkan keamatan sakit kepala sehingga 40%. [8]
Titisan minyak pudina, apabila digunakan di dalam hidung secara bersudut boleh mengurangkan kekerapan sakit kepala dan kesakitan, sama seperti lidocaine.
Cara Menggunakan Minyak Pudina
Minyak pudina dalam bentuk kapsul bersalut enterik nampaknya selamat untuk diambil secara makan pada dos yang selamat. [9]
Walau bagaimanapun, ahli profesional kesihatan tidak mengesyorkan meminum minyak pati. Minyak pati tulen sangat pekat dan boleh menjadi toksik.
Bahan aktif seperti mentol boleh memberikan kesan sampingan yang serius kepada kanak-kanak.
Oleh itu, ibu bapa dan penjaga tidak disarankan menggunakan minyak pudina pada kulit kanak-kanak atau membiarkan mereka menyedut atau memakan minyak pati ini.
Bagi wanita mengandung dan menyusukan bayi, adalah penting untuk mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum menggunakan minyak pudina.
Bagi anda yang ingin menggunakan minyak pudina untuk melegakan kesakitan, kegatalan dan sakit kepala, anda boleh menyapu minyak pudina yang telah dicairkan ke atas kulit.
Untuk mencairkan minyak pudina tulen, titiskan beberapa titik minyak pudina ke adalam minyak pembawa seperti minyak jojoba atau minyak kelapa.
Untuk menyedut minyak pudina, tambahkan hanya beberapa titis ke dalam mangkuk berisi air berwap atau cairkan dalam minyak pembawa sebelum dimasukkan ke dalam tab mandi.
Jika menggunakan alat peresap, ikut arahan peranti untuk mendapatkan nisbah minyak kepada air yang betul.
Siapakah yang Perlu Mengelakkan Menggunakan Minyak Pudina?
Golongan ini perlu mengelakkan daripada menggunakan minyak pudina:
- Penghidap Kekurangan G6PD: Penghidap kekurangan G6PD perlu mengelakkan menggunakan pudina dalam bentuk ekstrak atau minyak dalam aromaterapi.
- Kanak-kanak dan bayi: Elakkan menyapu minyak pudina pada muka dan dada bayi atau kanak-kanak kecil.
- Pengambil ubat tertentu: Aromaterapi minyak pudina boleh menghalang enzim yang dipanggil CYP3A4, yang bertanggungjawab untuk memecahkan pelbagai jenis ubat. Jika anda mengambil sebarang ubat preskripsi, dapatkan nasihat doktor sebelum menggunakan minyak pudina.
Rumusan
Minyak pudina mempunyai beberapa khasiat terutamanya kepada penghidap sindrom usus rengsa, ketidakhadaman, migrain, gatal-gatal, loya dan lain-lain lagi.
Minyak pudina secara amnya selamat, tetapi ia boleh menjadi toksik apabila diambil dalam dos yang sangat tinggi.
Selain itu, anda harus sentiasa mencairkan minyak pati pudina sebelum menggunakannya.
Rujukan
- Alammar, N. et al. (2019). The impact of peppermint oil on the irritable bowel syndrome: a meta-analysis of the pooled clinical data. BMC complementary and alternative medicine.
- Chumpitazi, B. P. et al. (2018). Review article: the physiological effects and safety of peppermint oil and its efficacy in irritable bowel syndrome and other functional disorders. Alimentary pharmacology & therapeutics.
- Briggs, P. et al. (2016). Inhaled peppermint oil for postop nausea in patients undergoing cardiac surgery. Nursing.
- Efe Ertürk, N., & Taşcı, S. (2021). The Effects of Peppermint Oil on Nausea, Vomiting and Retching in Cancer Patients Undergoing Chemotherapy: An Open Label Quasi-Randomized Controlled Pilot Study. Complementary therapies in medicine.
- Elsaie, L. T. et al. (2016). Effectiveness of topical peppermint oil on symptomatic treatment of chronic pruritus. Clinical, cosmetic and investigational dermatology.
- Muntean, D. et al. (2019). Evaluation of essential oil obtained from Mentha×piperita L. against multidrug-resistant strains. Infection and drug resistance.
- Parv Nayak. et al. (2020). Peppermint a medicinal herb and treasure of health: A review. J Pharmacogn Phytochem.
- Rafieian-Kopaei, M. et al. (2019). Comparing the Effect of Intranasal Lidocaine 4% with Peppermint Essential Oil Drop 1.5% on Migraine Attacks: A Double-Blind Clinical Trial. International journal of preventive medicine.
- National Center for Complimentary and Integrative Health. (2020). Peppermint Oil.