Penjagaan makanan boleh mendatangkan kesan yang positif kepada pesakit darah tinggi atau hipertensi. Terdapat makanan tertentu yang perlu dielakkan oleh pesakit darah tinggi bagi mengelakkan penyakit ini bertambah teruk dan tidak terkawal.
Hipertensi atau tekanan darah tinggi boleh meningkatkan risiko kepada penyakit jantung, strok dan pelbagai masalah kesihatan yang lain.
Penjagaan makanan boleh membantu pesakit darah tinggi (tekanan darah tinggi) untuk mengawal tahap tekanan darah mereka.

Artikel ini menyenaraikan 50 makanan dan minuman yang perlu dielakkan oleh pesakit darah tinggi kerana makanan dan minuman ini boleh menyumbang kepada tekanan darah tinggi.
1-7. Makanan Masin
Garam boleh meningkatkan tekanan darah. Ramai daripada kita yang memakan garam terlalu banyak tanpa disedari.
Makanan diproses dan makanan segera adalah antara makanan-makanan yang tinggi dengan kandungan garam.
Antara contoh makanan yang masin dan tinggi dengan garam yang perlu dielakkan oleh pesakit darah tinggi adalah:
- Ikan masin
- Telur masin
- Jeruk
- Cicaluk
- Belacan
- Kacang bergaram
- Keropok (snek)
Adalah dinasihatkan kepada pesakit darah tinggi untuk membaca label nutrisi sesuatu produk makanan sebelum membelinya. Elakkan makanan yang tinggi dengan natrium (sodium), sodium nitrate, sodium bicarbonate dan monosodium glutamate (MSG).
8-12. Makanan Manis
Makanan manis bukan sahaja menyumbang kepada penyakit kencing manis (diabetes) dan obesiti. Malah, ia juga boleh menyumbang kepada tekanan darah tinggi.
Satu kajian semula mencadangkan bahawa makanan manis boleh meningkatkan tekanan darah lebih tinggi berbanding garam. Kajian ini turut mencadangkan pengurangan pengambilan gula tambahan terutamanya fruktosa boleh membantu membendung kadar hipertensi. [1]
Antara makanan yang tinggi dengan fruktosa adalah:
- Pencuci mulut yang diproses
- Biskut kering
- Makanan prapakej
- Mentega kacang
- Bar nutrisi / bar tenaga / bar granola
13-19. Makanan Diproses Ultra
Makanan diproses ultra adalah makanan yang mengandungi bahan tiruan seperti pewarna, perisa, pengawet, pengemulsi, pemekat dan bahan tambahan lain bagi meningkatkan kesedapan dan jangka hayat makanan tersebut.
Selain itu, makanan diproses ultra juga turut tinggi dengan kandungan gula, garam dan lemak.
Antara contoh makanan diproses ultra adalah:
20-24. Daging Merah
Pesakit darah tinggi perlu mengehadkan pengambilan daging merah kerana makanan ini juga boleh meningkatkan tekanan darah.
Kajian mendapati proses metabolisme daging merah di dalam badan boleh menghasilkan sebatian yang boleh meningkatkan tekanan darah bagi pesakit darah tinggi. [2]
Berikut adalah daging merah:
- Daging lembu
- Daging kambing
- Daging biri-biri
- Daging kerbau
- Daging babi
25. Alkohol
Elakkan juga pengambilan alkohol kerana pengambilan alkohol dikaitkan dengan risiko tekanan darah tinggi.
Selain itu, pengambilan alkohol yang berlebihan juga boleh meningkatkan risiko kepada penyakit jantung.
Satu analisis menunjukkan bahawa pengambilan alkohol yang tinggi boleh menyebabkan peningkatan tekanan darah dan kadar denyutan jantung. [3]
26-27. Minuman Bergula
Terlalu kerap atau meminum minuman bergula terlalu banyak juga boleh menyebabkan peningkatan tekanan darah.
Bagi pesakit darah tinggi, langkah mengehad atau mengelakkan minuman bergula adalah langkah yang tepat.
Minuman bergula yang mengandungi kafein dan tinggi sirap fruktosa boleh menyebabkan peningkatan tekanan darah yang lebih tinggi.
Justeru itu, elakkan minuman bergula seperti:
- Jus buah
- Minuman tenaga
28-42. Makanan Tinggi Lemak Tepu
Bagi pesakit darah tinggi, salah satu cara yang boleh membantu menurunkan tekanan darah adalah dengan mengurangkan pengambilan makanan yang tinggi lemak tepu.
Satu kajian yang melibatkan tinjauan ke atas 7,222 responden mendapati terdapat perkaitan yang kuat antara pengambilan lemak tepu dengan hipertensi dalam kalangan wanita, orang dewasa umur pertengahan dan orang tua. [4]
Antara makanan yang tinggi lemak tepu yang perlu dielakkan dan dihadkan adalah:
- Coklat
- Kek
- Puding
- Pastri
- Piza sejuk beku
- Daging proses seperti daging dendeng
- Mentega
- Minyak sapi
- Marjerin
- Minyak kelapa
- Minyak kelapa sawit
- Krim penuh lemak
- Susu penuh lemak (full-fat milk)
- Keju
- Yogurt penuh lemak
43-49. Perasa
Perasa adalah makanan yang seterusnya yang perlu dielakkan oleh pesakit darah tinggi.
Produk perasa lazimnya tinggi dengan garam dan gula. Ini boleh mendatangkan kesan negatif terhadap tahap tekanan darah anda.
Antara contoh perasa yang tinggi dengan garam dan gula adalah:
- Sos cili
- Sos tomato
- Kuah salad (salad dressing)
- Sos tiram
- Sos ikan
- Kicap manis
- Kicap masin
50. Kafein
Minuman berkafein seperti kopi boleh meningkatkan tekanan darah buat sementara waktu. Keadaan ini boleh menyebabkan bacaan tekanan darah yang tinggi.
Sekiranya anda ingin mengawal tekanan darah tinggi anda, hadkan pengambilan kopi atau beralih kepada kopi tanpa kafein.
Rumusan
Tekanan darah tinggi adalah faktor risiko kesihatan yang serius. Ia juga boleh dirawat.
Penjagaan pemakanan dengan mengelakkan makanan yang boleh menyebabkan peningkatan tekanan darah boleh membantu anda mengawal tahap tekanan darah anda.
Amalkan pemakanan yang sihat yang kaya dengan sayur-sayuran, buah-buahan, kekacang dan bijian penuh.
Rujukan
- DiNicolantonio, J. J., & Lucan, S. C. (2014). The wrong white crystals: not salt but sugar as aetiological in hypertension and cardiometabolic disease. Open heart.
- Gonzalez, F. et al. (2015). Does Red Meat Metabolism Induce Hypertension?. Austin J Pulm Respir Med.
- Tasnim, S. et al. (2020). Effect of alcohol on blood pressure. The Cochrane database of systematic reviews.
- Gou, R. et al. (2022). Association of dietary intake of saturated fatty acids with hypertension: 1999-2018 National Health and Nutrition Examination Survey. Frontiers in nutrition.