Ramai daripada kita pernah mengalami cirit-birit (diarea) sekali atau beberapa kali setahun. Ia boleh disebabkan jangkitan bakteria, alahan makanan atau disebabkan makanan yang tidak sesuai dengan perut kita. Pemilihan makanan yang betul sangat penting untuk melegakan cirit-birit yang dialami. Oleh itu, artikel ini menyenaraikan 10 makanan yang boleh melegakan cirit-birit.
Selain daripada ubat-ubatan, pemilihan makanan yang sesuai memainkan peranan penting dalam membantu anda untuk pulih dengan lebih cepat daripada cirit-birit.
Makanan-makanan ini boleh membantu memejalkan najis yang biasanya dalam keadaan cair dan berair atau mengurangkan kekerapan membuang air besar.
Sebelum melihat dengan lebih lanjut mengenai makanan yang boleh melegakan cirit-birit, harus diketahui bahawa cirit-birit boleh dikategorikan kepada akut atau kronik dan jangkitan atau bukan jangkitan.
Cirit-birit akut lazimnya berlaku kurang daripada 2 minggu. Jangkitan adalah penyebab yang biasanya menyebabkan cirit-birit akut tersebut. Manakala, cirit-birit kronik pula berlaku lebih daripada 4 minggu dan biasanya bukan disebabkan jangkitan.
Untuk menangani masalah ini, terdapat sesetengah makanan yang boleh membantu mengurangkan atau melegakan cirit-birit tersebut. Antaranya adalah:
1. Pisang
Pisang adalah buah yang rendah serat dan tinggi dengan mineral kalium (potassium). Pisang adalah salah satu makanan yang boleh melegakan cirit-birit.
Kandungan serat yang rendah dalam pisang boleh membuatkan najis lebih keras. Serat larut dalam pisang seperti pektin boleh membantu penghadaman. Serat larut ini akan menarik air dan bertukar kepada gel.
Kandungan mineral kalium yang tinggi dalam buah pisang boleh menggantikan mineral kalium (elektrolit) dalam badan yang berkurangan akibat cirit-birit.
2. Nasi Putih
Nasi putih juga adalah makanan yang boleh membantu melegakan cirit-birit kerana sifatnya yang rendah dengan serat.
Makanan yang rendah serat ini boleh mengurangkan kekerapan pembuangan air besar. Keadaan ini membolehkan najis terbentuk berbanding terus dikumuhkan.
3. Buah Epal
Buah epal turut tinggi dengan kandungan serat pektin. Kandungan pektin dalam buah epal menjadikan buah ini bermanfaat untuk melegakan cirit-birit atau sembelit.
Pektin menyerap air dan membentuk gel. Keadaan ini boleh menormalkan kembali najis yang lazimnya cair dan berair semasa cirit-birit.
Terdapat kajian yang melaporkan bahawa mereka yang mengambil 24 gram pektin sehari kurang mengalami simptom-simptom cirit-birit. [1]
4. Roti Bakar
Roti putih bakar juga sesuai untuk dimakan semasa mengalami cirit-birit. Roti bakar ini boleh membantu mengurangkan simptom-simptom cirit-birit.
Kandungan roti bakar yang rendah dengan serat boleh membantu najis untuk terbentuk dan memejal.
5. Biskut Kering
Biskut kering juga boleh menjadi pilihan anda sekiranya mengalami cirit-birit.
Selain rendah dengan serat, biskut kering juga lazimnya tinggi dengan kandungan garam. Kandungan garam yang tinggi ini boleh menggantikan garam (elektrolit) yang hilang semasa berlakunya cirit-birit.
6. Yogurt
Yogurt adalah makanan yang baik untuk mendapatkan probiotik iaitu bakteria baik untuk usus.
Semakin banyak bukti yang menunjukkan bahawa probiotik boleh bertindak sebagai makanan fungsian dalam membantu merawat cirit-birit. [2]
Walau bagaimanapun, anda harus menghindari produk tenusu yang lain semasa mengalami cirit-birit.
7. Ubi Kentang Rebus
Ubi kentang rebus atau ubi keledek rebus yang dibuang kulitnya juga boleh dijadikan makanan untuk melegakan cirit-birit.
Makanan yang berkanji ini rendah dengan serat yang membolehkan melambatkan pembuangan air besar dan memejalkan najis.
8. Daging Ayam Tanpa Kulit
Makanan yang tinggi dengan lemak dan berminyak akan memburukkan lagi cirit-birit yang dialami.
Oleh itu, anda harus beralih kepada daging pejal yang tidak mempunyai lemak seperti daging ayam tanpa kulit sebagai sumber protein.
9. Pasta atau Mi
Pasta atau mi juga adalah makanan yang rendah dengan serat yang boleh membantu dalam melegakan cirit-birit.
Makanan yang rendah serat ini boleh mengurangkan kekerapan pembuangan air besar.
10. Minuman Sukan atau Air Kelapa
Minuman sukan juga adalah pilihan minuman yang penting bagi menggantikan bendalir dan elektrolit dalam badan yang berkurangan semasa berlakunya cirit-birit. Walau bagaimanapun, minuman ini tinggi dengan kandungan gula.
Sekiranya anda ingin minuman yang rendah dengan kandungan gula, air kelapa adalah pilihan baik untuk mengembalikan bendalir dan elektrolit dalam badan.
Adalah penting untuk memastikan badan sentiasa mendapatkan air yang mencukupi semasa mengalami cirit-birit bagi mengelakkan berlakunya dehidrasi.
Makanan yang Perlu Dielakkan
- Produk tenusu
- Makanan bergoreng, berminyak dan berlemak
- Bijirin penuh
- Kekacang
- Sayur-sayuran mentah
- Jagung
- Bawang merah dan bawang putih
- Gula-gula
- Buah-buahan kering
- Buah-buahan sitrus (oren, limau, limau bali atau lemon)
- Mentega kacang
- Minuman berkarbonat
- Kopi
- Jus buah sitrus
- Alkohol
Rumusan
Senarai 10 makanan yang boleh melegakan cirit-birit ini adalah pilihan makanan yang boleh dipilih oleh anda dalam membantu mengurangkan atau melegakan cirit-birit terutamanya bagi cirit-birit akut.
Diet diarea ini mungkin perlu diamalkan beberapa hari sebelum cirit-birit ini pulih sepenuhnya. Kemudian, anda boleh kembali kepada diet normal anda.
Sekiranya anda mengalami cirit-birit yang berlanjutan melebihi seminggu, sila dapatkan rawatan daripada doktor untuk mendapatkan rawatan yang sesuai. Cirit-birit itu mungkin menjadi simptom kepada masalah kesihatan yang lain.
Rujukan
- Xu, L. et al. (2015). [Efficacy of pectin in the treatment of diarrhea predominant irritable bowel syndrome]. Chinese journal of gastrointestinal surgery.
- Yan, F., & Polk, D. B. (2006). Probiotics as functional food in the treatment of diarrhea. Current opinion in clinical nutrition and metabolic care.
- NIDDK.(2018). Treatment of Viral Gastroenteritis (“Stomach Flu”).
- Bolen, B. (2021). What to Eat When You Have Diarrhea. verywellhealth.