Bawang adalah tumbuhan daripada genus Allium iaitu genus yang sama dengan bawang putih, bawang merah, kucai dan daun bawang kucai (lik). Masyarakat tempatan turut memanggilnya sebagai bawang besar. Bawang boleh dikatakan komponen yang wajib bagi kebanyakan masakan di Malaysia. Tetapi, sejauh manakah kita mengetahui khasiat bawang ini?
Bawang boleh diperolehi dalam pelbagai warna seperti merah, kuning dan putih. Warna merah pada bawang adalah disebabkan kandungan antioksidannya yang dikenali sebagai antosianin.
Bawang juga adalah sayuran yang paling lama diusahakan di dunia. Menurut Food and Agriculture Organization (FAO), China adalah negara pengeluar terbesar bawang di dunia.
Bawang adalah sayuran yang kaya dengan pelbagai vitamin dan mineral. Malah, ciri-ciri perubatan bawang telah diiktiraf sejak zaman dahulu lagi. Berikut adalah khasiat-khasiat bawang yang menarik dan luar biasa.
1. Kaya dengan Nutrien Penting
Bawang adalah makanan yang rendah dengan kalori dan padat dengan vitamin dan mineral.
Sebiji bawang bersaiz sederhana seberat 110 gram boleh membekalkan nutrien-nutrien berikut: [1]
- Kalori/Tenaga: 44 kcal
- Protein: 1.2 gram
- Karbohidrat: 10.3 gram
- Serat: 1.9 gram
- Gula: 4.7 gram
- Kalsium: 25.3 gram
- Zat besi: 0.2 miligram
- Magnesium: 11 miligram
- Fosforus: 31.9 miligram
- Kalium: 161 miligram
- Vitamin C: 8.1 miligram
- Folat: 20.9 mikrogram
- Vitamin A: 0.6 mikrogram
- Vitamin E: 0.02 mikrogram
- Vitamin K: 0.44 mikrogram
Bawang juga kaya dengan vitamin B seperti vitamin B1, B2, B3, B5, B6 dan B9. Vitamin B memainkan peranan penting dalam penghasilan sel darah merah, metabolisme dan fungsi saraf.
Bawang juga turut mengandungi mineral seperti zink, tembaga, mangan dan selenium. Mineral-mineral ini mempunyai peranan penting terhadap sistem imun, menghasilkan tenaga, melindungi sel-sel badan dan menghasilkan tisu-tisu badan.
2. Tinggi dengan Kandungan Antioksidan
Antioksidan adalah sebatian yang boleh mencegah atau meneutralkan radikal bebas daripada merosakkan sel-sel badan yang sihat.
Bawang adalah sumber yang baik untuk mendapatkan antioksidan. Terdapat kira-kira lebih daripada 25 jenis flavanoid (antioksidan). [2]
Contohnya, bawang merah mengandungi antosianin yang merupakan salah satu daripada keluarga flavonoid.
Kajian yang melibatkan 43,880 lelaki menunjukkan pengambilan antosianin sebanyak 613 miligram sehari secara kerap dikaitkan dengan 14% lebih rendah risiko serangan jantung. [3]
Terdapat juga kajian yang melibatkan 93,000 wanita berusia 25 hingga 42 tahun yang turut mendapati pengambilan antosianin yang tinggi mengurangkan 32% risiko serangan jantung. [4]
3. Berpotensi Mencegah Kanser
Bawang juga berpotensi membantu mencegah kanser terutamanya kanser perut dan kanser usus.
Kajian pada 2019 yang membandingkan 833 orang penghidap kanser usus dengan 833 orang yang sihat mendapati risiko kanser usus adalah 79% lebih rendah bagi mereka yang sering memakan sayur-sayuran Allium seperti bawang. [5]
Potensi bawang dalam membantu mencegah kanser perut turut dilaporkan dalam satu analisis yang melibatkan 21 kajian yang melibatkan kira-kira 543,000 peserta. Analisis tersebut mendapati pengambilan sayur-sayuran Allium seperti bawang yang tinggi boleh mengurangkan risiko kanser perut. [6]
4. Boleh Membantu Menurunkan Paras Kolesterol
Bawang juga mempunyai sebatian yang boleh membantu menurunkan paras kolesterol. Khasiat bawang ini sangat bermanfaat untuk meningkatkan kesihatan jantung.
Satu kajian yang melibatkan 54 orang pesakit sindrom ovari polisistik (PCOS) mendapati pemakanan bawang merah mentah yang banyak, sekitar 40-60 gram sehari selama 8 minggu boleh mengurangkan kolesterol total dan kolesterol LDL (kolesterol jahat). [7]
Analisis yang melibatkan 10 kajian juga turut mendapati pengambilan makanan tambahan bawang (suplemen bawang) boleh meningkatkan kolesterol HDL (koelsterol baik) dan mengurangkan kolesterol LDL (kolesterol jahat) dan kolesterol total. Ini menunjukkan bahawa pengambilan suplemen bawang baik untuk mengawal peningkatan paras kolesterol dalam darah. [8]
5. Boleh Membantu Mengawal Paras Gula Darah
Khasiat bawang juga turut mempunyai kesan yang baik kepada mereka yang menghidap penyakit kencing manis (diabetes) atau pradiabetes.
Kesan kebaikan bawang ini dapat dilihat dalam satu kajian yang melibatkan 42 orang penghidap diabetes jenis 2. Pemakanan 100 gram bawang merah segar boleh mengurangkan paras gula darah puasa sebanyak 40mg/dL selepas 4 jam. [9]
Kajian terhadap haiwan juga turut mendapati tikus yang diberi makan makanan yang mengandungi 5% ekstrak bawang selama 28 hari mengalami penurunan paras gula darah dan mempunyai lemak badan yang lebih rendah. [10]
6. Boleh Mencegah Jangkitan Bakteria
Bawang juga berkhasiat untuk mencegah jangkitan bakteria.
Ciri-ciri antibakteria bawang dilihat berkesan terhadap bakteria jenis Escherichia coli (E.coli), Pseudomonas aeruginosa, Bacillus cereus dan Staphylococcus aureus. [11]
Bakteria-bakteria ini adalah bakteria yang lazim menyebabkan keracunan makanan, jangkitan dalam darah dan pneumonia.
Terdapat juga kajian yang mendapati kuersetin yang diekstrak daripada bawang kuning berkesan untuk merencatkan pertumbuhan bakteria Helicobacter pylori (H.pylori) dan Methicilin-resistant Staphylococcus aureus (MRSA). [12]
H.pylori adalah bakteria yang boleh menyebabkan ulser perut manakala MRSA adalah bakteria yang rintang terhadap antibiotik yang boleh menyebabkan jangkitan di bahagian-bahagian badan tertentu.
7. Baik untuk Kesihatan Tulang
Bawang juga berkhasiat untuk kesihatan tulang. Jika sebelum ini anda menganggap hanya susu yang baik untuk tulang, anda mungkin perlu mengubah tanggapan tersebut. Bawang turut boleh menyumbang kepada tulang yang kuat.
Khasiat bawang terhadap tulang dapat dibuktikan dalam satu kajian yang mendapati wanita menopaus yang memakan bawang sekurang-kurangnya sekali sehari didapati mempunyai 5% lebih tinggi jisim tulang berbanding mereka yang hanya makan bawang sekali sebulan atau kurang. [13]
Khasiat ini turut disokong oleh satu lagi kajian yang mendapati wanita pascamenopaus yang meminum 100ml jus bawang setiap hari selama 8 minggu mempunyai ketumpatan tulang yang lebih tinggi berbanding kumpulan kawalan. [14]
Kenapa Memotong Bawang Membuatkan Kita Menangis?
Mungkin anda tertanya-tanya mengapa memotong atau menghiris bawang membuatkan seseorang itu menangis? Tindak balas ini sebenarnya disebabkan oleh kehadiran gas yang dipanggil syn-Propanethial-S-oxide. [15]
Bahan kimia ini bertindak sebagai agen lakrimator yang bermaksud ia boleh menyebabkan menangis atau menyengat di mata.
Untuk mengurangkan keluarnya air mata semasa memotong atau mengupas bawang, beberapa petua berikut boleh dilakukan:
- Menyejukkan bawang yang ingin digunakan selama 30 minit, kemudian potong bahagian atasnya.
- Kupas lapisan kulit luar bawang tanpa membuang bahagian akarnya kerana bahagian ini tinggi dengan agen lakrimator.
Cara Pemilihan dan Penyimpanan Bawang
Jika anda ingin membeli bawang di pasar atau pasaraya, ikuti panduan ini untuk memilih bawang yang segar:
- Pilih bawang yang bersih, keras dan mempunyai kulit licin dan kering.
- Pilih bawang yang tidak lebam.
- Pilih bawang yang padat dan mempunyai berat yang sesuai dengan saiznya.
- Elakkan bawang yang lembut dan mempunyai bau yang kuat.
- Elakkan bawang yang telah tumbuh sulurnya.
Untuk memastikan bawang lebih tahan lama, lakukan perkara-perkara berikut:
- Simpan pada suhu bilik.
- Simpan di tempat yang mempunyai pengudaraan yang baik dan jauh daripada sinaran terik matahari.
- Bawang kuning lebih tahan lama berbanding bawang putih.
- Elakkan menyimpan bawang di tempat yang sama anda menyimpang ubi kentang bagi mengelakkan ubi kentang lebih cepat rosak.
- Bagi bawang yang digunakan separuh, simpan lebihan bawang ini di dalam bekas tertutup dan simpan di dalam peti sejuk.
Rumusan
Walaupun saiznya kecil, khasiat bawang agak luar biasa.
Sayur yang kaya dengan pelbagai nutrien ini baik untuk kesihatan jantung, baik untuk pengawalan paras gula darah, berpotensi mencegah kanser, kaya dengan antioksidan dan lain-lain lagi.
Bawang juga merupakan sayur yang wajib ada dirumah-rumah anda. Manfaatkan bawang untuk kesihatan anda.
Rujukan
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019. fdc.nal.usda.gov.
- Slimestad, R. et al. (2007). Onions: a source of unique dietary flavonoids. Journal of agricultural and food chemistry.
- Cassidy, A. et al. (2016). Habitual intake of anthocyanins and flavanones and risk of cardiovascular disease in men. The American journal of clinical nutrition.
- Cassidy, A. et al. (2013). High anthocyanin intake is associated with a reduced risk of myocardial infarction in young and middle-aged women. Circulation.
- Wiley. (2019). Consuming garlic and onions may lower colorectal cancer risk. ScienceDaily.
- Zhou, Y. et al. (2011). Consumption of large amounts of Allium vegetables reduces risk for gastric cancer in a meta-analysis. Gastroenterology.
- Ebrahimi-Mamaghani, M. et al. (2014). Effects of raw red onion consumption on metabolic features in overweight or obese women with polycystic ovary syndrome: a randomized controlled clinical trial. The journal of obstetrics and gynaecology research.
- Huang, W. et al. (2021). Effect of onion on blood lipid profile: A meta-analysis of randomized controlled trials. Food science & nutrition.
- Taj Eldin, I. M. et al. (2010). Preliminary Study of the Clinical Hypoglycemic Effects of Allium cepa (Red Onion) in Type 1 and Type 2 Diabetic Patients. Environmental health insights.
- Yoshinari, O. et al. (2012). Anti-obesity effects of onion extract in Zucker diabetic fatty rats. Nutrients.
- Sharma, K. et al. (2018). Systematic study on active compounds as antibacterial and antibiofilm agent in aging onions. Journal of food and drug analysis.
- Ramos, F. A. et al. (2006). Antibacterial and antioxidant activities of quercetin oxidation products from yellow onion (Allium cepa) skin. Journal of agricultural and food chemistry.
- Matheson, E. M. et al. (2009). The association between onion consumption and bone density in perimenopausal and postmenopausal non-Hispanic white women 50 years and older. Menopause.
- Law, Y. Y. et al. (2016). Consumption of onion juice modulates oxidative stress and attenuates the risk of bone disorders in middle-aged and post-menopausal healthy subjects. Food & function.
- Silvaroli, J. A. et al. (2017). Enzyme That Makes You Cry-Crystal Structure of Lachrymatory Factor Synthase from Allium cepa. ACS chemical biology.