Sesetengah pendapat mengatakan bahawa bahaya untuk makan roti bakar kerana boleh menyebabkan kanser. Adakah benar tuntutan ini? Bagi membantu anda mendapatkan maklumat yang tepat, kami huraikan dengan lebih lanjut mengenai kaitan antara roti bakar dengan kanser.
Mungkin ada yang bersetuju dengan kenyataan ini dan mungkin ada juga yang menentang. Tetapi, apa yang penting adalah sesuatu tuntutan itu dibuat berserta bukti.
Roti bakar lebih sinonim dengan gaya hidup masyarakat barat. Kini, ia tidak asing lagi bagi masyarakat tempatan. Banyak rumah yang mempunyai pembakar roti dan juga banyak kafe yang menyediakan hidangan roti bakar.

Roti Bakar atau Roti Bakar Hangus?
Istilah roti bakar merujuk kepada roti yang dibakar dengan pembakar roti atau dipanggang dengan api sehingga warnanya coklat.
Sekiranya, roti tersebut dibakar terlalu lama dengan suhu yang tinggi, maka besar kemungkinan roti tersebut akan hangus menjadi warna hitam.
Roti ini lebih tepat dipanggil roti bakar hangus. Maka, mungkin lebih tepat jika mengatakan bahawa roti bakar hangus ini dikaitkan dengan risiko kanser.
Roti Bakar Mengandungi Acrylamide
Acrylamide adalah sebatian yang biasanya digunakan untuk menghasilkan pelbagai produk seperti tekstil, kosmetik, kertas, fabrik dan pewarna.
Selain itu, acrylamide ini turut terbentuk dalam makanan berkanji semasa kaedah memasak yang menggunakan suhu tinggi.
Ini disebabkan oleh tindak balas kimia antara protein dan gula, menjadikan makanan yang dimasak berwarna gelap dan mempunyai rasa yang tersendiri. [1]
Acrylamide ini boleh terhasil melalui beberapa kaedah masakan seperti menggoreng, membakar atau memanggang termasuklah roti bakar.
Bahan kimia ini lebih berkemungkinan terkumpul apabila makanan dimasak pada suhu yang lebih tinggi atau untuk jangka masa yang lebih lama.
Ini bermakna lebih hangus roti bakar tersebut, maka lebih banyak kandungan acrylamide di dalamnya.
Perkaitan antara Acrylamide dan Kanser
Acrylamide dalam makanan dikaitkan dengan pelbagai kesan negatif terhadap kesihatan termasuklah kanser.
The International Agency for Research on Cancer pada tahun 1994 mengisytiharkan bahawa acrylamide sebagai kemungkinan karsinogenik (menyebabkan berlakunya kanser) kepada manusia. [2]
Ia juga turut diklasifikasikan sebagai neurotoksin kepada manusia. Ini bermakna ia boleh merosakkan sistem saraf. [2]
Kajian-kajian terhadap haiwan mendapati pengambilan acrylamide pada jumlah yang tinggi boleh menyebabkan kanser.
Namun, kajian klinikal terhadap manusia menunjukkan keputusan yang bercampur-campur.
Satu analisis pada 2015 yang melibatkan 32 kajian mendapati acrylamide dalam makanan tidak dikaitkan dengan peningkatan risiko jenis-jenis kanser yang lazim berlaku. [3]
Satu kajian semula yang lain turut menunjukkan bahawa tiada perkaitan yang ketara antara acrylamide dalam makanan dan kanser. [4]
Walau bagaimanapun, kajian terhadap 4,000 orang tua mendapati bahawa peningkatan pengambilan acrylamide melalui makanan dikaitkan dengan risiko kematian yang lebih tinggi akibat kanser bagi orang tua. [5]
Satu kajian semula pada 2023 yang melibatkan 62 kajian menyimpulkan bahawa agak sukar untuk mengatakan dengan jelas bahawa terdapat hubungan positif antara pendedahan acrylamide melalui pemakanan dan jenis kanser. [6]
Di samping itu, tiada hubungan langsung ditemui dengan pendedahan acrylamide melalui pemakanan pada organ atau sistem.
Adakah Anda Perlu Berhenti Makan Roti Bakar?
Sesetengah orang mungkin berasa bimbang akan bahaya makan roti bakar selepas terdapat pandangan yang menyatakan roti bakar boleh menyebabkan kanser.
Namun, sebenarnya adalah masih tidak jelas bagaimana acrylamide boleh memberi kesan terhadap perkembangan dan pertumbuhan kanser pada manusia.
Makan roti bakar tidak mungkin menyebabkan kanser apabila diambil secara sederhana sebagai sebahagian daripada diet yang sihat dan menyeluruh.
Justeru itu, anda mungkin tidak perlu menghapuskan roti bakar daripada diet anda sepenuhnya.
Sebaliknya, anda boleh mengambil langkah proaktif dengan mengurangkan pengambilan acrylamide dengan membakar roti anda pada masa yang singkat sehingga roti tersebut kelihatan berwarna emas muda.
Elakkan membakar roti bakar sehingga hangus atau buang bahagian yang hangus.
Melalui cara ini, anda boleh mengurangkan pengambilan acrylamide anda.
Rujukan
- Raffan, S., & Halford, N. G. (2019). Acrylamide in food: Progress in and prospects for genetic and agronomic solutions. The Annals of applied biology.
- Koszucka, A. et al. (2020). Acrylamide in human diet, its metabolism, toxicity, inactivation and the associated European Union legal regulations in food industry. Critical reviews in food science and nutrition.
- Pelucchi, C. et al. (2015). Dietary acrylamide and cancer risk: an updated meta-analysis. International journal of cancer.
- Virk-Baker, M. K. et al. (2014). Dietary acrylamide and human cancer: a systematic review of literature. Nutrition and cancer.
- Liu, Z. M. et al. (2017). Dietary acrylamide exposure was associated with increased cancer mortality in Chinese elderly men and women: a 11-year prospective study of Mr. and Ms. OS Hong Kong. Journal of cancer research and clinical oncology.
- Başaran, B. et al. (2023). Dietary Acrylamide Exposure and Cancer Risk: A Systematic Approach to Human Epidemiological Studies. Foods.