Limau bali atau limau besar adalah buah sitrus yang terkenal di Asia Tenggara termasuklah Malaysia. Limau bali ini mempunyai khasiat dan nilai yang tersendiri. Justeru itu, artikel ini akan menyenaraikan khasiat-khasiat limau bali berdasarkan kajian-kajian sains.
Dalam bahasa Inggeris, limau bali dikenali dengan panggilan “pomelo, pummelo atau pommelo“. Limau bali atau nama saintifiknya Citrus grandis adalah buah sitrus dari keluarga Rutaceae iaitu keluarga yang sama dengan buah oren, lemon, limau nipis, limau kasturi dan limau gedang.
Terdapat beberapa varieti limau bali yang boleh didapati di pasaran sama ada yang berkulit hijau atau kuning. Selain itu, buah limau bali ini juga turut mempunyai isi yang pelbagai warna seperti warna putih, merah,kuning atau merah jambu.
Secara tradisionalnya, isi (pulpa) limau bali telah digunakan atau dimakan sebagai pembuka selera, antitoksik, perangsang kepada jantung dan tonik untuk perut. Manakala, kulitnya pula digunakan untuk merawat batuk, bengkak, epilepsi atau untuk kecantikan.
Berikut adalah beberapa khasiat limau bali yang bermanfaat untuk kesihatan anda.
1. Kaya dengan Nutrien Penting
Bagi 100 gram buah limau bali, terdapat kira-kira 89% air, 38 kalori, 0.8 gram protein dan 9.6 gram karbohidrat. Menurut USDA, limau bali turut mengandungi nutrien-nutrien berikut: [1]
- Kalori: 38 kcal
- Protein: 0.8 gram
- Karbohidrat: 9.6 gram
- Serat: 1.0 gram
- Kalsium: 4.0 miligram
- Zat besi: 0.1 miligram
- Magnesium: 6.0 miligram
- Fosforus: 17 miligram
- Kalium: 216 miligram
- Vitamin C: 61 miligram
- Vitamin A: 2.4 miligram
Selain itu, limau bali turut mengandungi mineral seperti zink, tembaga, mangan serta kumpulan vitamin B seperti vitamin B1, B2, B3 dan B6.
Limau bali juga turut mengandungi sebatian flavonoid (antioksidan) yang terdiri daripada neohesperidin, hesperidin, naringenin, dan naringin.
2. Padat dengan Serat
Serat adalah komponen penting dalam diet harian kita kerana peranannya yang pelbagai untuk kesihatan terutamanya sistem penghadaman.
Serat boleh membantu meningkatkan rasa kenyang, mencegah sembelit, menurunkan paras kolesterol dan mengawal paras gula darah.
Buah limau bali turut kaya dengan serat. Sebiji buah limau bali seberat 600 gram boleh membekalkan 6 gram serat. Setiap individu harus menyasarkan untuk mendapatkan 30 gram serat sehari.
3. Berpotensi Mencegah Kanser
Limau bali juga turut berpotensi dalam membantu mencegah kanser.
Khasiat limau bali ini dapat dilihat dalam beberapa kajian. Satu kajian mendapati polisakarida (karbohidrat) daripada kulit limau bali boleh membunuh sel-sel kanser sarkoma (kanser pada tisu penghubung). [2]
Tambahan daripada itu juga, kandungan sebatian aktif dalam limau bali seperti naringin dan limonin boleh melindungi pemakannya daripada kanser usus. [3]
4. Boleh Melindungi daripada Penyakit Kronik
Seperti buah-buahan yang lain, buah limau bali juga adalah sumber yang baik untuk mendapatkan antioksidan.
Antioksidan adalah sebatian yang boleh mencegah atau meneutralkan radikal bebas yang boleh merosakkan sel-sel badan yang sihat. Antioksidan juga boleh membantu mengurangkan keradangan yang seterusnya boleh mencegah daripada penyakit-penyakit kronik.
Jus limau bali yang mempunyai isi berwarna merah didapati lebih kaya dengan kandungan polifenolik (antioksidan) berbanding jus limau bali yang mempunyai isi berwarna putih. [4]
Ini menjadikan limau bali isi merah lebih kuat antioksidannya berbanding limau bali isi putih.
5. Baik untuk Kesihatan Jantung
Limau bali juga baik untuk kesihatan jantung kerana khasiatnya yang boleh menurunkan paras kolesterol dan trigliserida (lemak dalam darah) dalam badan.
Satu kajian terhadap haiwan mendapati ekstrak limau bali boleh menurunkan paras kolesterol total sebanyak 6%, kolesterol LDL (kolesterol jahat) sebanyak 41% dan paras trigliserida sebanyak 21%. [5]
6. Mempunyai Ciri-ciri Antipenuaan
Pemakanan buah seperti buah limau bali juga berkhasiat untuk melambatkan penuaan pramatang seperti kedutan kulit atau kulit menggeleber.
Kandungan antioksidan yang tinggi dalam buah limau bali termasuk vitamin C boleh mencegah kerosakan kulit akibat daripada radikal bebas. Selain itu, vitamin C turut membantu penghasilan kolagen yang boleh meningkatkan keanjalan kulit.
Limau bali juga boleh mengurangkan penghasilan advanced glycation end products (AGEs) yang disebabkan oleh paras gula darah yang tinggi. [6]
AGEs boleh menyumbang kepada proses penuaan dengan menyebabkan penyahwarnaan kulit, masalah penglihatan, masalah buah pinggang dan masalah kitaran darah terutamanya bagi mereka yang menghidap penyakit kencing manis.
7. Boleh Melawan Jangkitan Bakteria dan Kulat
Limau bali turut boleh melawan jangkitan bakteria dan kulat. Khasiat limau bali ini disumbang oleh minyak patinya.
Satu kajian tabung uji mendapati minyak pati limau bali boleh melambatkan pertumbuhan bakteria yang tumbuh pada kanta lekap. [7]
Kajian lain turut mendapati minyak pati limau bali berkesan dalam mencegah kulat jenis Penicillium expansum. Kulat jenis ini adalah kulat yang sering merosakkan buah epal dan pir serta boleh menghasilkan toksin yang berbahaya. [8]
8. Baik untuk Kesihatan Tulang
Kandungan mineral fosforus dan kalsium dalam buah limau bali juga turut berkhasiat kepada kesihatan tulang.
Mineral fosforus dan kalsium adalah antara mineral yang banyak terkandung di dalam tulang iaitu masing-masing sebanyak 80% dan 99% daripada keseluruhan kandungan kalsium dan fosforus dalam badan. [9]
9. Mungkin Boleh Membantu Mengurangkan Berat Badan
Kandungan protein dan serat dalam buah limau bali boleh membantu anda berasa kenyang lebih lama. Ia boleh mengurangkan rasa ingin makan dan seterusnya boleh mengurangkan pengambilan kuantiti makanan pada waktu makan berikutnya.
Selain itu, limau bali juga turut rendah dengan kalori. Makan makanan yang rendah kalori boleh menyebabkan anda kenyang pada kalori yang rendah.
Ciri-ciri ini sedikit sebanyak boleh membantu seseorang itu mengurangkan berat badan.
10. Tidak Menyebabkan Turun Naik Paras Gula Darah
Limau bali juga didapati tidak menyebabkan turun naik gula darah selepas memakannya.
Khasiat limau bali ini dilaporkan dalam satu kajian yang dijalankan terhadap 19 orang penghidap penyakit kencing manis yang turut dirawat dengan terapi insulin. Pengambilan limau bali bagi golongan ini didapati tidak menyebabkan turun naik paras gula darah jika diambil pada kadar sekitar 300 gram sehari. [10]
Kajian ini juga mendapati buah limau bali mempunyai indeks glisemik yang tinggi tetapi rendah dengan muatan glisemik jika diambil pada kadar 100 gram bagi setiap hidangan. Nilai muatan glisemik yang rendah ini bermakna makanan tersebut mempunyai impak yang minima terhadap paras gula darah.
Rumusan
Limau bali atau pomelo ini mempunyai khasiat yang tersendiri yang bermanfaat kepada kesihatan manusia.
Kandungannya yang kaya dengan pelbagai nutrien termasuklah antioksidan menjadikan buah limau bali ini baik untuk kesihatan jantung, mencegah penyakit kronik, berpotensi mencegah kanser, baik untuk penghadaman dan lain-lain lagi.
Di Malaysia, pekan Tambun yang terletak di Ipoh, Perak terkenal dengan limau bali. Sekiranya anda berkunjung ke Ipoh, bolehlah singgah di Tambun untuk mendapatkan limau bali ini.
Rujukan
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019. fdc.nal.usda.gov.
- Yu, J., Ji, H., & Liu, A. (2018). Preliminary Structural Characteristics of Polysaccharides from Pomelo Peels and Their Antitumor Mechanism on S180 Tumor-Bearing Mice. Polymers.
- Vanamala, J. et al. (2006). Suppression of colon carcinogenesis by bioactive compounds in grapefruit. Carcinogenesis.
- Tsai, H. L. et al. (2007). Antioxidant content and free radical scavenging ability of fresh red pummelo [Citrus grandis (L.) Osbeck] juice and freeze-dried products. Journal of agricultural and food chemistry.
- Ali, M. Y. et al. (2019). Antioxidant Potential, Subacute Toxicity, and Beneficiary Effects of Methanolic Extract of Pomelo (Citrus grandis L. Osbeck) in Long Evan Rats. Journal of toxicology.
- Caengprasath, N. et al. (2013). The protective effects of pomelo extract (Citrus grandis L. Osbeck) against fructose-mediated protein oxidation and glycation. EXCLI journal.
- Saviuc, C. et al. (2010). The inhibitory activity of pomelo essential oil on the bacterial biofilms development on soft contact lenses. Roumanian archives of microbiology and immunology.
- Van Hung, P. et al. (2013). Comparison of antifungal activities of Vietnamese citrus essential oils. Natural product research.
- Bonjour J. P. (2011). Calcium and phosphate: a duet of ions playing for bone health. Journal of the American College of Nutrition.
- Shao, S. Y. et al. (2017). Glycemic index, glycemic load, and glycemic response to pomelo in patients with type 2 diabetes. Journal of Huazhong University of Science and Technology. Medical sciences.