Ubi keledek ialah sayuran berkanji yang mempunyai rasa manis dan mempunyai banyak khasiat. Mungkin tidak ramai yang tahu akan khasiat ubi keledek terhadap kesihatan selain daripada menjadi sumber tenaga (karbohidrat).
Ubi keledek boleh didapati dalam pelbagai saiz dan warna seperti warna oren, ungu dan putih. Ubi keledek adalah antara makanan utama selepas beras, gandum, ubi kentang, jagung dan ubi kayu.
Negara China, Indonesia, Vietnam, India, Filipina dan Jepun adalah negara-negara pengeluar utama ubi keledek di Asia.

Ubi keledek atau dalam bahasa Inggerisnya dikenali sebagai sweet potato merupakan tumbuhan daripada keluarga Convolvulaceae iaitu satu keluarga dengan pokok bunga seri pagi. Manakala nama saintifiknya pula adalah Ipomoea batatas.
Masyarakat di negara ini banyak menggunakan ubi keledek untuk dijadikan kuih atau digoreng seperti pisang goreng. Disebalik kepelbagaiannya cara penyediaanya, ubi ini turut menyimpan 1001 khasiat di dalamnya.
Berikut adalah beberapa khasiat ubi keledek untuk kesihatan berdasarkan kajian-kajian.
1. Bernutrisi Tinggi
Ubi keledek adalah sumber yang baik untuk mendapatkan serat, mineral dan vitamin.
Bagi 100 gram ubi keledek, terdapat nutrien-nutrien berikut: [1]
- Kalori: 86 kcal
- Karbohidrat: 20.1 gram
- Serat: 3.0 gram
- Protein: 1.6 gram
- Kalsium: 30 miligram
- Zat besi: 0.6 miligram
- Magnesium: 25 miligram
- Fosforus: 47 miligram
- Kalium: 337 miligram
- Natrium: 55 miligram
- Zink: 0.3 miligram
- Vitamin C: 2.4 miligram
- Vitamin B1: 0.1 miligram
- Vitamin B2: 0.1 miligram
- Vitamin B3: 0.6 miligram
- Vitamin B5: 0.8 miligram
- Vitamin B6: 0.2 miligram
- Folat: 11 mikrogram
- Vitamin A: 709 mikrogram
- Vitamin E: 0.26 miligram
Ubi keledek juga mengandungi sebatian-sebatian antioksidan yang memainkan banyak peranan untuk kesihatan seperti kuersetin, antosianidin, asid klorogenik dan beta-karotena.
2. Bersifat Antikanser
Ubi keledek mengandungi antioksidan yang boleh membantu melawan kanser.
Ubi keledek yang berwarna ungu mengandungi antioksidan yang dikenali sebagai antosianidin.
Kajian-kajian makmal mendapati antosianidin ini boleh memperlahankan pembesaran dan membunuh sel-sel kanser usus, perut, payudara dan pundi kencing. [2, 3, 4]
Selain itu, kajian terhadap haiwan juga turut mendapati antosianidin dalam ubi keledek juga turut menunjukkan kesan perlindungan terhadap kanser kolorektal (usus). [5]
Namun begitu, kajian terhadap manusia masih diperlukan untuk mengetahui kesannya terhadap manusia.
3. Baik untuk Kesihatan Usus
Kandungan serat dan antioksidan dalam ubi keledek juga baik untuk kesihatan usus. Ubi keledek mengandungi kedua-dua jenis serat iaitu serat larut dan serat tidak larut. [6]
Serat-serat ini mempunyai banyak peranan dalam kesihatan usus. Antaranya adalah:
- Serat larut boleh melembutkan najis melalui penyerapan air.
- Serat tidak larut pula menambahkan saiz atau kepejalan najis agar mudah untuk dikumuhkan.
- Serat larut dan serat tidak larut ini boleh ditapai oleh bakteria dalam usus dan menghasilkan sebatian yang menjadi makanan kepada sel-sel pada lapisan usus dan menjadikan usus terus sihat dan kuat.
- Serat juga boleh mengurangkan risiko kanser usus dan sembelit.
Antioksidan dalam ubi keledek pula didapati boleh mengalakkan pembiakan bakteria baik dalam usus seperti Bifidobacterium dan Lactobacillus. [7]
4. Membantu Menguatkan Sistem Imun
Ubi keledek yang mengandungi isi berwarna oren mempunyai kandungan beta-karotena yang tinggi. Beta-karotena ini ditukarkan kepada vitamin A dalam badan.
Vitamin A memainkan peranan penting dalam menguatkan sistem imun. Kekurangan vitamin A boleh melemahkan sistem imun terutamanya yang melibatkan jangkitan usus dan pernafasan. [8]
Terdapat juga kajian yang menggunakan serat yang diekstrak daripada ubi keledek dan digunakan untuk merawat luka. Serat ubi keledek ini didapati boleh membantu mempercepatkan penyembuhan luka disamping melindungi luka daripada kering. [9]
5. Boleh Membantu Mencegah Kemerosotan Otak
Peningkatan usia adalah salah satu faktor yang boleh menyebabkan kemerosotan fungsi otak. Selain itu, keradangan dan tekanan pengoksidaan juga boleh menyebabkan kemerosotan fungsi otak.
Ubi keledek dipercayai boleh membantu mencegah atau mengurangkan kemerosotan fungsi otak yang berlaku akibat daripada keradangan dan tekanan pengoksidaan.
Kajian terhadap haiwan mendapati kandungan antosianidin dalam ubi keledek berwarna ungu boleh melindungi otak dengan mengurangkan keradangan dan tekanan pengoksidaan. [10]
Walau bagaimanapun, tiada kajian yang dijalankan khusus terhadap manusia. Secara amnya, analisis menunjukkan pemakanan yang tinggi dengan buah dan sayur boleh mengurangkan risiko dementia dan ketakmampuan kognitif. [11]
6. Baik untuk Kesihatan Mata
Kandungan beta-karotena dalam ubi keledek oren turut memainkan peranan dalam mengekalkan mata yang sihat.
Beta-karotena yang ditukarkan kepada vitamin A dalam badan dan digunakan untuk membentuk reseptor yang mengesan cahaya dalam mata. [12]
Selain itu, kandungan vitamin C,E, beta-karotena dan mineral zink dalam ubi keledek juga turut mempunyai peranan penting untuk kesihatan mata terutamanya daripada penyakit mata yang berkaitan usia seperti katarak, glaukoma, retinopati diabetes dan degenerasi makular berkaitan usia. [13]
7. Boleh Mencegah Jangkitan Bakteria
Selain itu juga ubi keledek ungu turut menunjukkan aktiviti-aktiviti antibakteria.
Kajian tabung uji melaporkan bahawa ubi keledek ungu boleh merencatkan pembiakan bakteria-bakteria daripada spesies Escherichia coli (E.coli), Bacillus subtilis, Micrococcus luteus dan Vibrio parahaemolyticus. [14]
Bakteria-bakteria ini boleh menyebabkan keracunan makanan.
Bagaimana untuk Memanfaatkan Khasiat Ubi Keledek?
Ubi keledek adalah salah satu sayuran berkanji atau makanan yang mudah untuk di makan atau digabungkan dengan makanan-makanan lain.
Ubi keledek ini boleh dimakan bersama-sama kulit atau tanpa kulit. Direbus, dibakar, dipanggang, distim atau digoreng.
Memasak ubi keledek menggunakan sedikit minyak kelapa, minyak zaitun atau avokado boleh meningkatkan penyerapan beta-karotena kerana nutrien ini bersifat larut lemak. [15]
Ubi keledek yang direbus atau dibakar mengandungi sebatian fenolik dan vitamin C yang lebih tinggi berbanding ubi keledek segar (mentah). Tetapi kandungan beta-karotena akan sedikit menurun selepas direbus atau dibakar. [16]
Ubi keledek yang digoreng pula menunjukkan aktiviti antioksidan yang tinggi. [17]
Rumusan
Ubi keledek sememangnya tidak asing lagi bagi masyarakat di negara ini. Selain menjadi sumber makanan, ubi keledek juga mempunyai banyak khasiat untuk kesihatan.
Selain menjadi sumber karbohidrat, serat, vitamin dan mineral, ubi keledek turut mengandungi sebatian-sebatian antioksidan yang turut memainkan peranan kepada khasiat-khasiat ubi keledek ini.
Kajian-kajian menunjukkan ubi keledek berpotensi untuk melawan kanser, mencegah jangkitan bakteria, mencegah kemerosotan fungsi otak, menguatkan sistem imun dan menyihatkan usus.
Ubi keledek juga mudah untuk disediakan dan boleh dimasak dalam pelbagai cara.
Rujukan
- Mohanraj, R. & Sivasankar, S. (2014). Sweet potato (Ipomoea batatas [L.] Lam)–a valuable medicinal food: a review. Journal of medicinal food.
- Lim, S. et al. (2013). Role of anthocyanin-enriched purple-fleshed sweet potato p40 in colorectal cancer prevention. Molecular nutrition & food research.
- Li, W. L. et al. (2018). Purple sweet potato anthocyanin exerts antitumor effect in bladder cancer. Oncology reports.
- Sugata, M. et al. (2015). Anti-Inflammatory and Anticancer Activities of Taiwanese Purple-Fleshed Sweet Potatoes (Ipomoea batatas L. Lam) Extracts. BioMed research international.
- Asadi, K. et al. (2017). Cancer-preventive Properties of an Anthocyanin-enriched Sweet Potato in the APCMIN Mouse Model. Journal of cancer prevention.
- Mei, X. et al. (2010). Composition and physicochemical properties of dietary fiber extracted from residues of 10 varieties of sweet potato by a sieving method. Journal of agricultural and food chemistry.
- Zhang, X. et al. (2016). The Modulatory Effect of Anthocyanins from Purple Sweet Potato on Human Intestinal Microbiota in Vitro. Journal of agricultural and food chemistry.
- Mora, J. R. et al. (2008). Vitamin effects on the immune system: vitamins A and D take centre stage. Nature reviews. Immunology.
- Suzuki, T. et al. (1996). Application of sweet potato fiber to skin wound in rat. Biological & pharmaceutical bulletin.
- Shan, Q. et al. (2009). Purple sweet potato color ameliorates cognition deficits and attenuates oxidative damage and inflammation in aging mouse brain induced by d-galactose. Journal of biomedicine & biotechnology.
- Jiang, X. et al. (2017). Increased Consumption of Fruit and Vegetables Is Related to a Reduced Risk of Cognitive Impairment and Dementia: Meta-Analysis. Frontiers in aging neuroscience.
- Zhong, M. et al. (2012). Retina, retinol, retinal and the natural history of vitamin A as a light sensor. Nutrients.
- Rasmussen, H. M. et al. (2013). Nutrients for the aging eye. Clinical interventions in aging.
- Boo, H.O. et al (2012). Extraction and characterization of some natural plant pigments. Industrial Crops and Products.
- Reboul E. (2013). Absorption of vitamin A and carotenoids by the enterocyte: focus on transport proteins. Nutrients.
- Dincer, C., et al. (2011). Effects of baking and boiling on the nutritional and antioxidant properties of sweet potato [Ipomoea batatas (L.) Lam.] cultivars. Plant foods for human nutrition.
- Nicoletto, C. et al. (2018). Effect of different home-cooking methods on textural and nutritional properties of sweet potato genotypes grown in temperate climate conditions. Journal of the science of food and agriculture.
Iskandar Zulkarnain ialah pengasas dan penulis kepada laman HeloMedik. Beliau berkelulusan sarjana sains (MSc) dan telah menamatkan kursus dalam Standford Introduction to Food and Health oleh Standford University, Healthy Practices: Nutrition, Physical Activity and Community and Family Participation oleh University of Colorado dan The New Nordic Diet - from Gastronomy to Health oleh University of Copenhagen.