Influenza atau turut juga dikenali sebagai selesema adalah jangkitan virus pada saluran pernafasan seperti hidung, kerongkong dan paru-paru.
Influenza adalah penyakit respiratori yang boleh berjangkit antara satu individu kepada individu yang lain melalui titisan salur pernafasan.
Bagi negara-negara yang beriklim sederhana, kejadian wabak kerapkali berlaku pada musim sejuk manakala bagi negara-negara tropika di sepanjang garisan Khatulistiwa (termasuk Malaysia), kejadian wabak berlaku sepanjang tahun tanpa mengikut musim yang tertentu.

Penyakit ini adalah antara penyakit yang biasa berlaku dan ramai yang dijangkiti lazimnya boleh pulih dengan sendirinya.
Walau bagaimanapun, influenza dan komplikasinya boleh membawa maut. Beberapa golongan yang berisiko untuk mengalami komplikasi adalah:
- Kanak-kanak berusia bawah 2 tahun
- Orang dewasa berumur lebih 65 tahun
- Orang yang mempunyai sistem imun yang lemah seperti menghidap HIV/AIDS.
- Penghidap penyakit kronik seperti asma, penyakit jantung atau diabetes
- Wanita mengandung
- Orang yang mempunyai BMI melebihi 40 (obesiti)
- Penghidap penyakit gangguan darah seperti penyakit sel sabit.
Apakah Perbezaan Antara Influenza dan Demam Selesema?
Influenza dan demam selesema (cold) mempunyai banyak gejala-gejala yang sama seperti batuk dan hidung berair. Tetapi, gejala-gejala demam selesema lazimnya ringan berbanding influenza.
Influenza boleh menyebabkan komplikasi serius. Kedua-dua penyakit ini disebabkan oleh virus yang berbeza.
Bagaimanakah Untuk Mengetahui Jika Saya Menghidap Influenza atau COVID-19?
Oleh sebab kedua-dua penyakit ini boleh mempunyai gejala-gejala yang sama, satu-satunya cara untuk mengetahui dengan pasti sama ada anda menghidap influenza atau COVID-19 adalah melalui ujian.
Ujian RTK Antigen boleh membantu anda mengenal pasti sama ada anda dijangkiti COVID-19 atau tidak.
Kedua-dua penyakit ini disebabkan oleh virus yang berbeza.
Gejala-gejala dan Tanda
Gejala-gejala dan tanda influenza biasanya datang dengan tiba-tiba. Mereka yang dijangkiti boleh mengalami beberapa atau semua gejala-gejala berikut:
- Demam
- Mengigil
- Batuk
- Sakit tekak
- Hidung berair atau hidung tersumbat
- Sakit otot atau badan
- Sakit kepala
- Kelesuan
- Sakit mata
- Cirit-birit atau muntah (lazimnya bagi kanak-kanak)
Punca
Selesema atau influenza ini disebabkan oleh jangkitan virus influenza. Virus influenza terbahagi kepada 4 iaitu:
- Influenza A
- Influenza B
- Influenza C
- Influenza D
Influenza A, B dan C adalah jenis virus yang sering menjangkiti manusia.
Influenza A dan B adalah bermusim dan sering menjangkiti manusia pada musim sejuk. Influenza jenis ini juga turut menyebabkan gejala-gejala yang lebih teruk.
Influenza C pula tidak bermusim dan tidak menyebabkan gejala-gejala yang teruk.
Selesema burung dan selesema babi (H1N1) adalah subjenis kepada influenza A.
Bagaimana Influenza Merebak?
Virus influenza bergerak melalui udara dalam titisan salur pernafasan apabila seseorang yang dijangkiti batuk, bersin atau bercakap. Anda boleh menyedut titisan tersebut secara terus.
Atau anda boleh dijangkiti virus ini daripada objek seperti telefon atau papan kekunci komputer dan kemudian memindahkannya ke mata, hidung atau mulut anda.
Mereka yang dijangkiti berkemungkinan boleh menjangkiti orang lain kira-kira sehari sebelum gejala muncul sehingga kira-kira empat hari selepas ia bermula.
Kanak-kanak dan orang yang mempunyai sistem imun yang lemah mungkin boleh berjangkit untuk masa yang lebih lama.
Rawatan
Secara amnya, terdapat beberapa pilihan rawatan yang berkesan bagi merawat jangkitan influenza dan salah satunya adalah menggunakan ubat antivirus.
Meskipun begitu, ia masih tertakluk kepada hasil pemeriksaan yang dilakukan oleh ahli profesional kesihatan yang merawat.
Ahli profesional kesihatan akan mempreskripsikan ubat antivirus sekiranya anda:
- Mempunyai gejala-gejala dibawah 48 jam. Ubat antivirus kurang berkesan jika anda memakannya selepas dua hari bergejala.
- Mempunyai penyakit atau berisiko mendapat penyakit yang teruk. Ahli profesional kesihatan boleh menetapkan ubat antivirus walaupun anda mengalami simptom lebih daripada 48 jam.
- Mempunyai simptom yang teruk, walaupun telah sakit selama lebih daripada 48 jam.
- Tinggal bersama atau menjaga orang yang berisiko mendapat komplikasi yang teruk.
Komplikasi
Virus influenza boleh menyebabkan komplikasi atau ia boleh melemahkan sistem imun anda dan membenarkan bakteria menjangkiti bahagian tubuh yang lain (jangkitan sekunder).
Antara komplikasi dan jangkitan sekunder yang boleh berlaku adalah:
- Jangkitan sinus
- Jangkitan telinga
- Radang paru-paru (pneumonia)
- Keguguran
- Kecacatan tiub neural
Rujukan
- Centers for Disease Control and Prevention. Influenza (flu).
- Cleveland Clinic medical professional. (2022). Flu (Influenza). Cleveland Clinic
- Mayo Clinic Staff. (2022). Influenza (flu). MayoClinic