Kerajaan Malaysia telah menetapkan harga siling bagi Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen COVID-19 pada harga RM16 untuk belian borong dan RM 19.90 untuk belian runcit.
Harga ini berkuat kuasa kelmarin 5 September 2021, menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Penentuan harga ini dibuat berdasarkan kewajaran dan kesesuaian bagi penguatkuasaan yang lebih berkesan.
Ini bagi memastikan harga yang berpatutan dan bekalan yang mencukupi di pasaran untuk manfaat orang awam dan peniaga.

Menurut Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, “Penentuan harga dibuat berdasarkan maklumat harga daripada pemantauan harga di semua premis dan farmasi di seluruh negara.”
Beliau juga turut menyatakan, “Maklum balas dari agensi kerajaan seperti Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, dan perbincangan dengan pengilang, pengimport, peruncit dan persatuan farmasi turut diambil kira.”
Permintaan terhadap kit ujian kendiri ini dijangka akan meningkat susulan kesedaran orang ramai membuat ujian sendiri bagi memastikan diri mereka bebas daripada wabak COVID-19 ini.
RTK Antigen ini telah mendapatkan kelulusan bersyarat oleh MDA KKM bagi pengesanan COVID-19 menggunakan sampel air liur atau swab hidung.
KPDNHEP juga turut memaklumkan bahawa tindakan yang tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan harga ini dan boleh diambil tindakan dibawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Harga Siling Baru Menjelang Hujung Tahun Ini
Kelmarin juga, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kerajaan bakal mengumumkan harga siling baharu kit ujian RTK Antigen menjelang hujung tahun ini.
Walau bagaimanapun, pihaknya belum menentukan harga baharu untuk kit ujian tersebut.
Menurutnya, harga baharu itu akan lebih murah berbanding harga semasa yang telah diumumkan.
Sebelum ini Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar ada menyatakan bahawa kerajaan akan berusaha untuk menurunkan lagi harga kit ujian supaya lebih mampu dimiliki orang ramai kerana ia sudah menjadi satu keperluan.
Tempat penjualan kit ujian ini juga akan diperluaskan kepada kedai-kedai lain selain daripada farmasi agar ia lebih mudah untuk didapati.
Ini kerana sebelum ini penjualan RTK Antigen ini hanya terhad kepada komuniti farmasi sahaja mengikut syarat undang-undang Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA).