Selesema adalah jangkitan yang sering berlaku dan lazimnya boleh pulih dengan sendirinya setelah beberapa hari. Namun, beberapa petua ringkas boleh membantu menghilangkan selesema ini dengan lebih cepat atau mengurangkan simptom-simptom yang berlaku.
Lazimnya, selesema disebabkan oleh virus seperti rinovirus. Jangkitan virus tiada ubatnya. Tetapi, beberapa petua atau ubat boleh membantu mengurangkan simptom-simptom yang menyebabkan seseorang itu berasa sakit atau tidak selesa akibat daripada selesema tersebut.
Terdapat banyak petua yang boleh dilakukan dirumah untuk mengurangkan atau menghilangkan selesema. Meskipun begitu, sekiranya anda sakit lebih daripada beberapa minggu dan mengalami kesukaran bernafas, rasa ingin pitam atau denyutan jantung laju, sila mendapatkan rawatan dengan segera.
Buat masa ini juga, beberapa simptom seperti batuk, sakit tekak, hidung berair atau tersumbat boleh menjadi petanda kepada jangkitan COVID-19. Oleh itu, sila lakukan ujian RTK-Antigen bagi memastikan anda mendapatkan rawatan yang betul.
Bagi selesema yang biasa, petua-petua menghilangkan selesema berikut boleh dicuba:
1. Kekal Terhidrat
Kekal terhidrat melalui air mineral, air kosong, jus buah atau sup penting untuk membantu mengurangkan hidung tersumbat dan mencegah dehidrasi.
Elakkan minuman seperti alkohol, kopi atau minuman berkarbonat kerana minuman-minuman ini boleh menyebabkan dehidrasi semakin teruk.
2. Berehat
Berehat juga adalah salah satu petua untuk merawat atau menghilangkan selesema. Badan memerlukan rehat untuk sembuh dan pulih.
3. Ubat Titis Hidung
Ubat titis hidung belian kaunter yang boleh beli difarmasi boleh membantu melegakan hidung tersumbat.
Bagi bayi yang mengalami selesema, pakar menyarankan agar diletakkan beberapa titisan ubat ini ke dalam satu lubang hidung, kemudian secara lembut menyedut lubang hidung tersebut menggunakan picagari bebuli (bulb syringe).
4. Hirup Sup Suam
Menghirup sup suam seperti sup ayam atau sup sayur boleh membantu mempercepatkan pemulihan selesema.
Kajian menunjukkan memakan semangkuk sup ayam yang mengandungi sayur di dalamnya boleh membantu memperlahankan pergerakkan neutrofil di dalam badan. Neutrofil adalah sejenis sel darah putih. Sel ini bertanggungjawab melindungi badan daripada jangkitan.
Apabila sel-sel ini bergerak perlahan, ia akan lebih tertumpu di bahagian badan yang paling memerlukan penyembuhan. [1]
5. Madu
Madu adalah makanan yang popular digunakan dalam pelbagai petua. Meminum secawan teh lemon bercampur madu boleh membantu mengurangkan sakit tekak yang merupakan salah satu daripada simptom selesema.
Selain itu, madu boleh dimakan begitu sahaja tanpa dicampurkan dengan minuman. Khasiat madu dalam membantu mengurangkan batuk disokong oleh kajian.
Satu kajian yang dijalankan terhadap 300 kanak-kanak mendapati pengambilan 10 gram madu sebelum tidur boleh mengurangkan batuk dan membolehkan kanak-kanak tersebut tidur dengan nyenyak. [2]
6. Halia
Selain digunakan dalam masakan, halia juga boleh digunakan untuk mengurangkan atau menghilangkan selesema.
Beberapa potong halia atau serbuk halia yang dicampurkan dalam air panas boleh membantu mengurangkan selesema. Ciri-ciri antivirus halia terhadap rinovirus iaitu virus yang lazimnya menyebabkan demam selesema mungkin menyumbang kepada khasiat ini. [3]
7. Bawang Putih
Bawang putih juga digunakan dalam perubatan tradisional untuk melegakan selesema. Khasiat bawang putih ini mungkin disumbang oleh sebatian alisin dalam bawang putih yang mempunyai ciri-ciri antivirus dan antibakteria.
Kajian menunjukkan mereka yang mengambil suplemen bawang putih setiap hari selama 3 bulan didapati mengalami selesema lebih sekejap berbanding mereka yang tidak memakan bawang putih dan mengurangkan risiko terkena penyakit ini. [4]
8. Lembapkan Udara
Melembapkan udara menggunakan alat pelembap udara boleh membantu mengurangkan pendedahan anda terhadap virus yang menyebabkan selesema ini.
Virus influenza lebih mudah membiak dan merebak dalam persekitaran kering. Meletakkan alat pelembap udara sementara waktu di dalam bilik anda mungkin boleh membantu anda berasa lebih selesa.
9. Berkumur dengan Air Garam
Berkumur dengan air geram boleh membantu mencegah jangkitan saluran pernafasan atas. Ia juga boleh mengurangkan keterukan simptom-simptom selesema seperti sakit tekak atau hidung tersumbat. [5]
Untuk mencuba petua ini, anda boleh mencampurkan 1 sudu teh garam ke dalam segelas air. Kacau sehingga garam tersebut larut. Kemudian, berkumurlah dengan air garam tersebut.
10. Ubat Belian Kaunter
Ubat belian kaunter untuk melegakan kesakitan juga boleh membantu mengurangkan simptom-simptom berkaitan dengan selesema.
Bagi kanak-kanak yang berusia lebih 6 bulan boleh diberikan paracetamol. Manakala bagi orang dewasa boleh mengambil paracetamol, ibuprofen atau aspirin.
Rujukan
- Rennard, B. O. et al. (2000). Chicken soup inhibits neutrophil chemotaxis in vitro. Chest.
- Cohen, H. A. et al. (2012). Effect of honey on nocturnal cough and sleep quality: a double-blind, randomized, placebo-controlled study. Pediatrics.
- Denyer, C. V. et al. (1994). Isolation of antirhinoviral sesquiterpenes from ginger (Zingiber officinale). Journal of natural products.
- Lissiman, E. et al. (2014). Garlic for the common cold. The Cochrane database of systematic reviews.
- Satomura, K. et al. (2005). Prevention of upper respiratory tract infections by gargling: a randomized trial. American journal of preventive medicine.