Petua menghilangkan sakit tekak ini terdiri daripada beberapa cara rawatan untuk masalah sakit tekak yang ringan dan tidak kronik.
Sakit tekak ialah keadaan yang menyebabkan rasa sakit, kering atau gatal-gatal dalam tekak. Anda juga mungkin akan berasa sakit ketika anda menelan. Sakit tekak lazimnya turut diikuti oleh beberapa gejala lain seperti bersin, selesema dan batuk.
Secara umumnya, sakit tekak boleh dibahagikan kepada 3 jenis iaitu berdasarkan kawasan yang terkesan dan dijangkiti pada tekak.
- Faringitis (Pharyngitis): keradangan pada belakang mulut (farinks).
- Tonsilitis (Tonsillitis): bengkak dan kemerahan pada tonsil.
- Laringitis (Laryngitis) : bengkak dan kemerahan pada peti suara.
Punca atau Penyebab Sakit Tekak
Punca kepada sakit tekak kebiasaannya adalah akibat jangkitan virus ataupun bakteria. Virus adalah penyebab kira-kira 85% hingga 95% jangkitan terhadap golongan orang dewasa dan kanak-kanak yang berumur kurang dari 5 tahun.
Selain itu, faktor persekitaran seperti cuaca panas dan udara kering juga boleh menyebabkan sakit tekak.
Beberapa punca-punca lain yang boleh menyebabkan sakit tekak termasuklah:
- Demam selesema
- Alahan
- Asap rokok
- Cuaca atau udara kering
- Pencemaran udara (jerebu)
- Bahan kimia seperti produk pencuci
- Ketumbuhan (tumor pada tekak)
- Penyakit refluks gastroesofagus (GERD)
- Kecederaan pada tekak atau kerongkong
Petua atau Rawatan Dirumah untuk Menghilangkan Sakit Tekak
Petua-petua ringkas atau rawatan dirumah biasanya sudah mencukupi untuk merawat sakit tekak ringan.
Berikut adalah beberapa petua untuk menghilangkan sakit tekak yang boleh dicuba di rumah.
1. Berkumur dengan air garam
Berkumur dengan air garam boleh membantu melegakan tekak yang gatal. Garam tersebut akan mengeluarkan lendir daripada tisu yang bengkak (keradangan) dan melegakan ketidakselesaan ini.
Malah kajian oleh Shahroud University of Medical Sciences, Iran mendapati mereka yang berkumur dengan air garam kurang berisiko untuk terkena jangkitan pada saluran pernafasan.
Cara-caranya:
- Campurkan 1/4 hingga 1/2 sudu teh garam ke dalam 120 ml hingga 240ml air suam.
- Kacau air tersebut sehingga garam itu larut.
- Kemudian, berkumur dengan air garam ini beberapa saat dan ludahkannya.
- Berkumurlah dengan air garam ini beberapa kali sehari.
2. Minum madu
Madu lebah juga boleh dimakan untuk mengurangkan kesakitan pada tekak.
Madu mempunyai sifat atau ciri-ciri antibakteria, antiradang dan antioksidan yang bermanfaat untuk melegakan kesakitan pada tekak.
Selain melegakan sakit tekak, madu juga bagus untuk melegakan batuk.
Cara-caranya:
- Campurkan madu ini dengan air suam dan teh (teh hijau).
- Minum air campuran madu ini setiap pagi dan petang.
- Madu ini juga boleh dimakan tanpa dicampurkan apa-apa.
Gabungan madu dan teh hijau boleh menguatkan lagi kesan perawatan madu ini kerana teh hijau turut bersifat antibakteria, antiradang dan tinggi antioksidan.
3. Makan aiskrim
Ya! makan aiskrim. Mesti ramai yang mengemarinya. Ais krim atau yogurt yang sejuk boleh membantu mengurangkan kegatalan atau sakit pada tekak.
Selain itu, makan makanan yang lembut seperti telur, kentang lenyek, sup serta buah-buahan lembut seperti betik dan pisang juga dapat mengurangkan kesakitan pada tekak.
Jauhi makanan yang pedas dan berasid seperti jus oren atau jus limau nipis kerana makanan seperti ini akan menyebabkan tekak anda bertambah sakit.
Walau bagaimanapun, kawal pengambilan aiskrim ini kerana ia tinggi dengan gula.
4. Banyakkan minum air
Kekal terhidrat adalah penting untuk merawat kesakitan ini. Apabila anda dehidrasi, badan anda tidak menghasilkan air liur dan mukus yang mencukupi untuk tekak kekal lembap. Ini akan menyebabkan bengkak atau radang bertambah teruk.
Air kosong adalah pilihan terbaik. Teh suam dan sup suam juga boleh diambil.
Elakkan minum minuman mengandungi kafein dan arak kerana boleh menyebabkan mulut dan tekak cepat kering.
5. Hisap gula-gula lozeng
Lozeng (ubat kemam) untuk tekak boleh digunakan untuk meredakan kesakitan pada tekak dan melegakan ketidakselesaan.
Terdapat pelbagai jenama gula-gula lozeng yang boleh didapati di farmasi dan kedai runcit.
Bagi kes sakit tekak yang agak serius, terdapat juga gula-gula lozeng yang khusus (dikawal) yang hanya boleh dibeli di farmasi untuk mengurangkan bengkak dan keradangan.
Terdapat kajian yang mendapati gula-gula lozeng seperti Strepsil berkesan untuk mengurangkan sakit tekak dan suara serak.
Jangan berikan gula-gula ini kepada kanak-kanak berumur 4 tahun ke bawah bagi mengelakkan insiden tercekik gula-gula.
6. Makan ubat tahan sakit
Ubat tahan sakit seperti paracetamol (Panadol, Uphamol) atau ibuprofen boleh diambil untuk mengurangkan sakit tekak.
Pengambilan aspirin tidak disarankan untuk kegunaan umum terutamanya kepada kanak-kanak kerana boleh menyebabkan sindrom Reye’s yang menyebabkan bengkak pada hati dan otak.
7. Pastikan udara rumah bersih
Petua atau amalan ringkas yang boleh dilakukan untuk menghilangkan sakit tekak yang seterusnya adalah dengan memastikan udara di dalam rumah bebas daripada asap rokok dan produk pembersihan yang boleh mengganggu saluran pernafasan.
Asap rokok boleh menambah kesakitan pada tekak dan meningkatkan risiko jangkitan seperti tonsilitis.
8. Gunakan humidifier
Udara yang lembap boleh mengurangkan kesakitan yang dialami. Udara yang lembap ini akan membantu melegakan tisu-tisu hidung dan tekak yang mengalami keradangan.
Pastikan juga anda membersihkan alat pelembap (humidifier) ini setiap hari bagi mengelakkan bakteria dan kulat membiak dalam alat ini.
9. Berehat
Berehat secukupnya. Dapatkan tidur yang mencukupi. Rehatkan juga suara dengan kurang bercakap atau bersembang. Rehat yang cukup membolehkan sistem imunisasi badan melawan jangkitan yang berlaku.
Dapatkan Rawatan di Klinik atau Hospital
Lazimnya, penyebab utama bagi sakit tekak adalah bakteria (Streptococcus) atau virus (rhinovirus) walaupun agak sukar untuk membezakan jangkitan kedua-dua organisme ini.
Ubat antibiotik, ubat antiradang bukan steroid (NSAID), paracetamol dan kortikosteroid boleh mengurangkan simptom-simptom dan keradangan yang berlaku.
Langkah Pencegahan Sakit Tekak
Bagi mencegah daripada terkena sakit tekak ini, beberapa perubahan gaya hidup boleh membantu. Contohnya seperti:
- Sentiasa membasuh dan membersihkan tangan
- Elakkan bersentuhan atau duduk rapat dengan mereka yang telah menghidap sakit tekak, demam atau mereka yang mengalami jangkitan pernafasan
- Jangan merokok atau menjadi perokok pasif
- Elakkan memegang muka, mata dan hidung dengan tangan kotor
- Jangan berkongsi makanan, minuman dan perkakas makanan.
Bila Perlu Berjumpa Doktor?
Sakit tekak kebiasaannya boleh pulih dengan sendirinya antara 2 hingga 7 hari. Namun sakit tekak yang disebabkan oleh bakteria memerlukan rawatan daripada doktor.
Dapatkan rawatan segera daripada doktor apabila anda mengalami gejala-gejala seperti berikut:
- Sakit tekak yang teruk
- Sukar untuk menelan
- Sukar untuk bernafas atau sakit apabila hendak bernafas
- Demam melebihi 38.3 darjah Celcius
- Sukar untuk membuka mulut
- Sakit leher
- Darah dalam kahak atau air liur
- Sakit tekak yang melebihi seminggu
- Sakit telinga
- Bengkak pada leher atau muka
- Sakit sendi
- Suara menjadi serak lebih daripada 2 minggu
Dapatkan rawatan segera untuk anak anda sekiranya mereka menunjukkan tanda atau simptom seperti berikut:
- Sukar untuk bernafas
- Sukar untuk menelan
- Air liur meleleh secara berlebihan atau luar biasa (ini mungkin petanda tidak boleh menelan)
Rujukan
- Graham Worrall. 2011. Acute sore throat. The Official Journal of the College of Family Physicians of Canada.
- Cianciosi, D. et al. (2018). Phenolic Compounds in Honey and Their Associated Health Benefits: A Review. Molecules.
- Paul, I. M. et al. (2007). Effect of honey, dextromethorphan, and no treatment on nocturnal cough and sleep quality for coughing children and their parents. Archives of pediatrics & adolescent medicine.
- Thompson, M. et al. (2013). Duration of symptoms of respiratory tract infections in children: systematic review. BMJ.
- Kenealy T. (2007). Sore throat. BMJ clinical evidence.