Apa itu Aritmia Jantung?
Aritmia jantung ialah denyutan jantung yang tidak normal atau tak sekata. Ia adalah sejenis gangguan pada jantung yang menjejaskan kadar atau ritma jantung.
Masalah ritma jantung berlaku apabila isyarat elektrik yang menyelaraskan deyutan jantung tidak berfungsi dengan betul. Isyarat yang salah menyebabkan jantung berdeyut terlalu cepat (takikardia), terlalu perlahan (bradikardia) atau tidak teratur.
Aritmia jantung mungkin berasa seperti jantung yang berdebar-debar atau berlumba-lumba dan mungkin tidak berbahaya. Walau bagaimanapun, sesetengah aritmia jantung boleh menyebabkan tanda dan gejala yang mengganggu, kadang-kadang mengancam nyawa.

Meskipun begitu, kadang-kadang adalah normal untuk seseorang itu mengalami kadar jantung yang laju atau perlahan. Contohnya, kadar jantung boleh meningkat semasa senaman atau perlahan semasa tidur.
Ia juga normal untuk sesekali merasakan seolah-olah jantung anda melangkau satu denyutan. Tetapi ritma yang kerap tidak teratur mungkin bermakna jantung anda tidak mengepam darah yang mencukupi ke seluruh badan anda.
Anda mungkin berasa pening, pengsan atau mengalami gejala lain.
Aritmia boleh dirawat dengan ubat atau prosedur untuk mengawal ritma yang tidak teratur. Sekiranya tidak dirawat, aritmia boleh merosakkan jantung, otak atau organ-organ lain.
Ini boleh membawa kepada strok, kegagalan jantung atau serangan jantung.
Jenis-jenis Aritmia Jantung
Terdapat banyak jenis aritmia, bergantung kepada bahagian jantung yang terjejas dan sama ada ia menyebabkan degupan jantung yang perlahan, cepat atau tidak teratur.
Aritmia mungkin berlaku di atrium (ruang atas jantung) atau ventrikel (ruang bawah jantung).
Berikut adalah antara jenis-jenis aritmia:
- Denyutan pramatang: Aritmia jenis ini berlaku apabila isyarat untuk berdeyut datang terlalu awal. Ini menghasilkan jeda, yang diikuti dengan deyutan yang lebih kuat apabila jantung anda kembali kepada ritma biasa.
- Aritmia Supraventrikel: Aritmia jenis ini bermula di dalam atrium.
- Aritmia Ventrikel: Artimia jenis ini bermula di dalam ventrikel jantung.
- Bradiaritmia: Aritmia jenis ini melibatkan ritma jantung perlahan yang mungkin disebabkan oleh penyakit dalam sistem pengaliran jantung.
Tanda dan Gejala-gejala
Aritmia jantung mungkin tidak menyebabkan sebarang tanda atau gejala.
Sekiranya ada, tanda dan gejala-gejala yang lazim berlaku adalah:
- Rasa berdebar-debar
- Denyutan jantung laju (takikardia)
- Denyutan jantung perlahan (bradikardia)
- Sakit dada
- Sesak nafas
Gejala-gejala lain yang mungkin turut berlaku adalah:
- Keresahan
- Kelesuan
- Pening
- Berpeluh
- Pitam atau hampir pitam
Punca-punca
Aritmia boleh disebabkan oleh faktor perubatan, fizikal, emosi atau genetik. Puncanya juga mungkin tidak diketahui.
Antibiotik dan ubat lain boleh mencetuskan aritmia pada sesetengah orang. Ini mungkin termasuk ubat-ubatan yang merawat:
- Tekanan darah tinggi
- Alahan
- Kemurungan
- Demam selesema
Perubahan dalam aliran darah atau perubahan fizikal pada jantung seperti parut, juga boleh menyebabkan aritmia. Keadaan perubatan lain juga mungkin menjadi punca. Ia termasuklah:
- Tekanan darah tinggi
- Dehidrasi
- Apnea tidur
- Diabetes
- Gangguan tiroid
- Anemia
- Ketidakseimbangan elektrolit
Faktor fizikal atau gaya hidup juga boleh menyebabkan aritmia dalam beberapa kes. Contohnya seperti:
- Senaman
- Batuk
- Meminum alkohol
- Emosi yang kuat seperti stres, marah atau keresahan
- Merokok
Golongan Berisiko
Terdapat juga beberapa keadaan kesihatan yang boleh meningkatkan risiko untuk seseorang itu mengalami aritmia. Antara golongan yang berisiko adalah mereka yang menghidap:
- Penyakit arteri koronari
- Penyakit injap jantung
- Kegagalan jantung atau serangan jantung
- Tekanan darah tinfi
- Keradangan jantung (endokarditis)
- Apnea tidur
- Penyakit paru-paru kronik
- Hipertiroidisme atau hipotiroidisme
- Penyakti buah pinggang
- Diabetes
- Demam
- Gangguan makanan
Beberapa faktor risiko lain adalah:
- Usia tua
- Pencemaran udara
- Kafein
- Keturunan
- Penyalahgunaan dadah
Rawatan
Rawatan untuk aritmia jantung bergantung kepada sama ada anda mempunyai denyutan jantung yang laju (takikardia) atau denyutan jantung yang perlahan (bradikardia).
Sesetengah aritmia jantung tidak memerlukan rawatan. Doktor mungkin mengesyorkan pemeriksaan biasa untuk memantau keadaan anda.
Rawatan aritmia jantung biasanya hanya diperlukan jika denyutan jantung yang tidak teratur menyebabkan gejala yang ketara atau jika keadaan itu menyebabkan anda berisiko mengalami masalah jantung yang lebih serius.
Rawatan ini mungkin melibatkan ubat-ubatan, terapi seperti maneuver vagal, kardioversi, prosedur kateter atau pembedahan jantung.
Ubat-ubatan
Ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat aritmia jantung bergantung pada jenis aritmia dan kemungkinan komplikasi.
Sebagai contoh, ubat-ubatan untuk mengawal kadar denyutan jantung dan memulihkan ritma jantung yang normal sering dipreskripsikan kepada mereka yang mengalami takikardia.
Terapi
Terapi maneuver vagal dan kardioversi adalah dua bentuk terapi yang boleh menghentikan denyutan jantung yang tidak sekata.
- Meneuver vagal: Meneuver vagal menjejaskan sistem saraf yang mengawal denyutan jantung anda, selalunya menyebabkan denyutan jantung anda perlahan. Sebagai contoh, anda mungkin boleh menghentikan aritmia dengan menahan nafas dan meneran, merendam muka dalam air berais atau batuk.
- Kardioversi: Kaedah untuk menetapkan semula ritma jantung ini boleh dilakukan dengan ubat-ubatan atau prosedur perubatan. Semasa prosedur kardioversi, kejutan elektrik dihantar ke jantung anda melalui dada anda. Arus elektrik tersebut mempengaruhi impuls elektrik dalam jantung anda dan boleh memulihkan ritma jantung kepada normal.
Pembedahan dan Prosedur Lain
Rawatan untuk aritmia jantung juga mungkin melibatkan prosedur kateter atau pembedahan untuk menanam peranti jantung. Aritmia tertentu mungkin memerlukan pembedahan jantung terbuka.
- Prosedur kateter: Dalam prosedur ini, doktor memasukkan satu atau lebih kateter melalui saluran darah ke jantung. Elektrod pada hujung kateter menggunakan tenaga haba atau sejuk untuk mencipta parut kecil di jantung anda untuk menyekat isyarat elektrik yang tidak normal dan memulihkan denyutan jantung yang normal.
- Perentak jantung: Jika denyutan jantung yang perlahan (bradikardia) tidak mempunyai punca yang boleh diperbetul, doktor sering merawatnya dengan perentak jantung kerana tiada ubat yang boleh mempercepatkan jantung dengan pasti.
- Prosedur maze: Dalam prosedur maze, pakar bedah membuat satu siri hirisan pada tisu jantung di bahagian atas jantung untuk mencipta corak tisu parut. Oleh sebab tisu parut tidak mengalirkan elektrik, ia mengganggu impuls elektrik sesat yang menyebabkan beberapa jenis aritmia.
- Pembedahan pintasan koronari: Jika anda mempunyai penyakit arteri koronari yang teruk selain aritmia jantung, doktor anda mungkin melakukan pembedahan pintasan koronari. Prosedur ini boleh meningkatkan aliran darah ke jantung anda.
Rujukan
- National Heart, Lung and Blood Institute. What Is an Arrhythmia?
- Mayo Clinic Staff. (2022). Heart Arrhythmia. MayoClinic
- Klein, E. (2022). Everything You Want to Know About Arrhythmia. Healthline