Bradikardia ialah istilah yang merujuk kepada kadar denyutan jantung yang perlahan daripada normal. Jantung orang dewasa berdenyut antara 60 hingga 100 denyut per minit (bpm). Sekiranya anda mempunyai bradikardia, jantung anda akan berdenyut kurang daripada 60 bpm.
Namun, bagi atlet dan warga emas, mereka selalunya mempunyai kadar denyutan jantung yang lebih perlahan daripada 60 bpm apabila mereka duduk atau berbaring. Kadar denyutan jantung kurang daripada 60 bpm juga adalah perkara biasa bagi kebanyakan orang semasa tidur.
Mempunyai kadar jantung yang perlahan boleh menjadi normal dan wajar. Tetapi kadang-kadang ia boleh menjadi ritma jantung yang tidak normal (aritmia).
Jika anda mempunyai bradikardia dan anda mempunyai simptom tertentu bersama-sama dengan kadar denyutan jantung yang perlahan, maka ini bermakna denyutan jantung anda terlalu perlahan.
Bradikardia boleh menjadi masalah serius jika kadar denyutan jantung sangat perlahan dan jantung tidak dapat mengepam darah kaya oksigen yang mencukupi ke badan.
Jika ini berlaku, anda mungkin berasa pening, sangat letih atau lemah dan sesak nafas. Kadang-kadang bradikardia tidak menyebabkan gejala atau komplikasi.
Tanda-tanda atau Simptom-simptom Bradikardia
Denyutan jantung yang perlahan daripada biasa boleh menghalang otak atau organ badan yang lain mendapatkan oksigen yang mencukupi.
Keadaan ini boleh menyebabkan tanda-tanda atau simptom-simptom berikut:
- Sakit dada
- Kekeliruan atau masalah ingatan
- Pening
- Kelesuan
- Mudah untuk penat semasa melakukan aktiviti fizikal
- Pitam atau hampir pitam
- Sukar bernafas
- Perasaan berdebar-debar
Punca yang Menyebabkan Bradikardia
Bradikardia boleh disebabkan oleh:
- Kerosakan tisu jantung berkaitan dengan penuaan
- Kerosakan tisu-tisu jantung akibat daripada serangan jantung atau penyakit jantung
- Kecacatan jantung sejak lahir
- Komplikasi daripada pembedahan jantung
- Keradangan tisu jantung (miokarditis)
- Kelenjar tiroid yang tidak aktif
- Ketidakseimbangan kalium atau kalsium dalam darah
- Apnea tidur obstruktif
- Penyakit keradangan seperti lupus atau demam reumatik
- Ubat-ubatan seperti pelali, drug untuk merawat gangguan ritma jantung atau tekanan darah tinggi atau ubat gangguan mental.
- Penyakit Lyme
Faktor risiko
Bradikardia sering dikaitkan dengan kerosakan pada tisu jantung daripada beberapa jenis penyakit jantung.
Apa-apa sahaja yang meningkatkan risiko masalah jantung boleh meningkatkan risiko bradikardia. Antara faktor risiko penyakit jantung termasuklah:
- Peningkatan usia
- Tekanan darah tinggi
- Merokok
- Pengambilan alkohol
- Penyalahgunaan dadah
- Tekanan dan keresahan
Diagnosis
Bradikardia boleh menjadi agak sukar untuk dikesan oleh doktor kerana ia berlaku sepanjang masa.
Doktor hanya dapat membuat diagnosis jika anda mengalami serangan bradikardia semasa ujian yang dipanggil elektrokardiogram (EKG) dilakukan. EKG adalah salah satu cara untuk mengukur sistem elektrik jantung anda.
Jika kadar denyutan jantung anda kelihatan normal, tetapi anda mempunyai simptom bradikardia, doktor anda mungkin meminta anda memakai monitor 24 jam.
Doktor anda juga mungkin akan bertanya tentang sejarah kesihatan peribadi dan keluarga anda, serta sebarang gejala yang anda alami.
Rawatan
Rawatan untuk bradikardia bergantung pada keterukan gejala dan punca yang menyebabkan kadar denyutan jantung yang perlahan. Jika anda tidak mempunyai simptom, rawatan mungkin tidak diperlukan.
Antara pilihan rawatan adalah perubahan gaya hidup, perubahan pengubatan atau implan peranti yang dipanggil perentak jantung.
Pengubatan
Banyak ubat, termasuklah yang digunakan untuk merawat masalah jantung yang lain, boleh menyebabkan bradikardia. Maklumkan kepada doktor anda tentang semua ubat yang anda ambil, termasuk yang dibeli tanpa preskripsi.
Jika ubat yang anda ambil menyebabkan bradikardia, doktor anda mungkin mengesyorkan dos yang lebih rendah atau ubat lain.
Prosedur Pembedahan
Apabila rawatan lain tidak dapat dilakukan dan gejala bradikardia teruk, peranti yang dipanggil perentak jantung diperlukan untuk mengawal ritma jantung.
Perentak jantung berfungsi hanya apabila diperlukan. Apabila jantung berdegup terlalu perlahan, perentak jantung menghantar isyarat elektrik ke jantung untuk mempercepatkan degupan. Mempunyai perentak jantung yang diimplan memerlukan prosedur pembedahan.
Komplikasi
Sekiranya dibiarkan tanpa dirawat, komplikasi yang boleh berlaku adalah:
- Kegagalan jantung
- Kerap pitam
- Sakit dada
- Tekanan darah rendah
- Tekanan darah tinggi
- Jantung terhenti secara tiba-tiba atau kematian mengejut
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2021). Bradycardia. MayoClinic
- Cleveland Clinic medical professional. (2018). Bradycardia. Cleveland Clinic
- American Heart Association editorial staff. (2016). Bradycardia: Slow Heart Rate. American Heart Association