Apa itu Aritmia Jantung?
Aritmia jantung ialah masalah berkenaan dengan ritma atau rentak jantung. Ia bermakna jantung anda berdeyut terlalu laju, terlalu perlahan atau dengan rentak yang tidak seragam. Sebelum kita beralih kepada punca yang menyebabkan aritmia jantung ini, adalah penting untuk memahami sedikit mengenainya.
Masalah aritmia jantung berlaku apabila isyarat elektrik yang menyelaras denyutan jantung tidak berfungsi dengan betul.
Aritmia jantung membuatkan anda berasa seperti berdebar-debar atau jantung berdegup kencang. Masalah jantung ini mungkin tidak berbahaya atau boleh juga menyebabkan masalah dan mengancam nyawa.
Dalam artikel ini, akan dijelaskan dengan lebih lanjut mengenai punca yang menyebabkan aritmia jantung, gejala atau simptom dan maklumat-maklumat lain yang harus diketahui oleh anda.
Jenis-jenis
Secara umumnya, aritmia jantung dibahagikan kepada dua jenis yang utama iaitu:
- Takikardia: Takikardia ialah jantung yang berdenyut terlalu laju. Denyutan jantung rehat biasanya melebihi 100 denyutan per minit.
- Bradikardia: Bradikardia ialah jantung yang berdenyut perlahan. Denyutan jantung rehat biasanya kurang daripada 60 denyutan per minit.
Punca yang Menyebabkan Aritmia Jantung
Bagi jantung yang sihat, denyutan jantung rehat yang normal adalah antara 60 hingga 100 denyutan per minit.
Beberapa punca yang boleh menyebabkan aritmia jantung adalah seperti:
- Serangan jantung terbaru atau parut daripada serangan jantung yang lalu
- Arteri tersumbat di dalam jantung (penyakit arteri koronari)
- Diabetes
- Tekanan darah tinggi
- Apnea tidur
- Kelenjar tiroid terlebih aktif (hipertiroidisme)
- Kelenjar tiroid tidak aktif (hipotiroidisme)
- Minum terlalu banyak minuman berkafein dan alkohol
- Jangkitan COVID-19
- Penyalahgunaan dadah
- Merokok
- Tekanan (stres) atau keresahan
- Genetik
- Perubahan pada struktur jantung (kardiomiopati)
- Jangkitan atau demam
- Ubat-ubatan tertentu
- Ketidakseimbangan elektrolit dalam darah (kalium dan natrium)
Simptom-simptom
Aritmia mungkin tidak menyebabkan simptom-simptom yang ketara. Walau bagaimanapun, doktor boleh mengesan aritmia semasa pemeriksaan berkala atau menggunakan elektrokardiogram (EKG).
Walaupun seseorang individu menyedari simptom-simptom, ia tidak semestinya bermakna mereka mengalami aritmia yang teruk.
Gejala atau simptom-simptom aritmia bergantung kepada jenis aritmia iaitu:
1. Simptom-simptom Takikardia
Simptom-simptom bagi takikardia adalah:
- Pening
- Sesak nafas
- Pengsan atau hampir pengsan
- Sakit dada
- Rasa berdebar-debar di dada
- Rasa lemah yang tiba-tiba
- Denyutan jantung menjadi laju
2. Simptom-simptom Bradikardia
Simptom-simptom bradikardia adalah seperti berikut:
- Sakit dada
- Sukar untuk memberikan tumpuan
- Pening
- Kepenatan
- Mendapati senaman menjadi lebih sukar berbanding sebelum itu
- Kekeliruan
- Sesak nafas
- Berdebar-debar
- Pengsan atau hampir pengsan
- Denyutan jantung menjadi perlahan
Diagnosis
Sekiranya anda mengalami simptom-simptom aritmia, anda perlu berjumpa dengan pakar kardiologi (pakar jantung) untuk dilakukan diagnosis.
Beberapa ujian atau pemeriksaan yang mungkin dijalankan adalah seperti berikut:
- Elektrokardiogram (EKG): Alat untuk merekodkan grafik impuls elektrik yang melalui otot jantung
- Ujian tekanan: Ujian yang digunakan untuk merekodkan aritmia yang bermula atau bertambah teruk dengan senaman.
- Pengkateteran jantung: Pemasukan kateter kardiak ke dalam ruang jantung untuk memberi maklumat atau gambaran tentang status otot dan injap jantung berkerja.
- Electrophysiology study (EPS): Kateterisasi jantung khas yang menilai sistem elektrik jantung anda.
- Ujian meja condong: Merekodkan tekanan darah dan kadar denyutan jantung setiap minit semasa meja dicondongkan dalam kedudukan kepala ke atas pada tahap yang berbeza.
Rawatan
Rawatan adalah bergantung kepada jenis dan keterukan aritmia yang berlaku. Dalam sesetengah kes, tiada rawatan yang diperlukan.
Bagi kes aritmia yang memerlukan rawatan, beberapa pilihan rawatan adalah seperti berikut:
- Ubat-ubatan
- Terapi vagal maneuvers
- Terapi electrical cardioversion
- Terapi catheter ablation
- Perentak jantung kekal
- Defibrilator kardioverter boleh implan
- Pembedahan jantung
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2021). Heart arrhythmia. MayoClinic
- Cleveland Clinic medical professional. (2018). Arrhythmia. Cleveland Clinic