Apa itu Aritmia Ventrikel?
Aritmia ventrikel ialah ritma jantung yang tidak normal yang hanya menjejaskan ruang atau rongga bawah jantung (ventrikel). Ruang bawah inilah yang mendorong keupayaan jantung untuk mengepam darah ke seluruh badan.
Ritma tersebut mungkin terlalu laju atau tidak selaras untuk jantung berfungsi dengan baik. Keadaan ini boleh menghalang darah yang kaya oksigen daripada beredar ke otak dan ke seluruh badan serta boleh mengakibatkan serangan jantung.
Jantung manusia mempunyai dua ruang bawah yang dikenali sebagai ventrikel kanan dan ventrikel kiri. Ventrikel kiri mengepam darah melalui aorta dan keluar ke seluruh badan. Ventrikel kanan pula mengepam darah ke paru-paru, di mana darah menukar karbon dioksida untuk oksigen sebelum kembali ke jantung.
Koordinasi pengecutan dan pengenduran ruang jantung dikawal oleh sistem elektrik jantung. Jika terdapat gangguan atau masalah dengan aktiviti elektrik di ruang bawah, hasilnya boleh menjadi aritmia ventrikel.
Jenis-jenis Artimia Ventrikel
Terdapat 3 jenis aritmia ventrikel yang utama. Setiap satunya mempunyai gejala-gejala berbeza dan boleh menyebabkan komplikasi yang berbeza-beza sekiranya tidak dirawat.
- Takikardia ventrikel: Takikardia ventrikel adalah ritma jantung yang terlalu laju iaitu melebihi 100 denyutan per minit yang bermula dalam ventrikel.
- Fibrilasi ventrikel: Fibrilasi ventrikel menerangkan keadaan di mana ventrikel bergetar, bukannya mengecut dan mengendur dalam corak biasa yang stabil dan teguh.
- Torsades de pointes: Ia berlaku dalam kalangan penghidap sindrom QT panjang. Sela QT ialah masa yang diperlukan untuk isyarat elektrik untuk mengaktifkan ventrikel dan kemudian mengecas semula. Mengalami sindrom QT yang panjang bermakna masa pengecasan semula adalah luar biasa panjang, mengakibatkan denyutan jantung yang cepat dan tidak teratur.
Gejala-gejala atau Simptom Aritmia Ventrikel
Gejala-gejala aritmia ventrikel bergantung kepada jenis aritmia. Sesetengah tidak mempunyai gejala-gejala.
Takikardia ventrikel selalunya mempunyai gejala-gejala berikut:
- Sakit dada (angina)
- Pening atau pengsan
- Berdebar-debar
- Kesukaran bernafas atau sesak nafas
Fibrilasi ventrikel biasanya menyebabkan seseorang itu pengsan. Kadang-kadang, tiada tanda amaran sebelum ini berlaku. Jika gejala-gejala berlaku, ia cenderung untuk berlaku beberapa minit sebelum seseorang itu pengsan.
Gejala-gejala tersebut selalunya seperti:
- Sakit dada (angina)
- Loya
- Pening dan pengsan
- Berdebar-debar
- Kesukaran bernafas atau sukar bernafas
Punca yang Menyebabkan Artimia Ventrikel
Aritmia ventrikel berlaku kerana masalah dengan isyarat elektrik yang mengawal kadar dan iritma jantung, seperti:
- Isyarat elektrik yang tertunda atau terhalang
- Isyarat elektrik yang bergerak secara tidak menentu melalui jantung
- Isyarat elektrik yang bermula di luar atrium
Manakala, punca atau penyebab kepada takikardia ventrikel pula adalah:
- Kerosakan pada otot jantung selepas serangan jantung
- Pembedahan jantung
- Penyakit jantung seperti kegagalan jantung, kardiomiopati atau penyakit jantung kongenital
- Kekurangan oksigen
- Paras elektrolit yang rendah seperti natrium atau kalium
- Ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat aritmia
Fibrilasi ventrikel berkongsi beberapa punca yang sama seperti takikardia ventrikel, tetapi punca yang paling biasa ialah serangan jantung.
Selain itu, punca-punca lain yang boleh menyebabkan fibrilasi ventrikel adalah:
- Impak objek tumpul di dada
- Ubat-ubat tertentu
- Arteri koronari menyempit
- Renjatan elektrik
Rawatan
Rawatan terbaik untuk aritmia ventrikel bergantung pada beberapa faktor, terutamanya jenis aritmia, umur dan kesihatan keseluruhan anda.
Aritmia ventrikel mungkin memerlukan rawatan segera untuk gejala-gejala akut, tetapi ia juga mungkin memerlukan penjagaan jangka panjang untuk gejala-gejala kronik.
Antara rawatan yang paling biasa diberikan adalah:
1. Ubat Antiaritmia
Ubat-ubatan yang membantu mengekalkan jantung dalam ritma normal kadangkala digunakan secara bersendirian atau mungkin juga dipreskripsi sebagai terapi tambahan.
Antara ubat-ubatan untuk merawat aritmia ventrikel adalah:
- Ranolazine
- Beta-blockers
- Amiodarone
- Sotalol
- Lidocaine/mexiletine
Terdapat kajian yang mendapati ubat ranolazine mungkin berkesan dalam mengurangkan jumlah aritmia ventrikel dalam kalangan pesakit yang mempunyai pelbagai masalah jantung termasuklah sindrom QT panjang.
2. Ablasi
Teknik ini menggunakan haba atau sejuk yang kuat untuk merosakkan kawasan kecil jantung anda dengan sengaja bagi menghalang aritmia daripada berlaku. Ini paling kerap dilakukan menggunakan peranti berasaskan kateter yang dimasukkan ke dalam saluran darah utama.
3. Implantable cardioverter defibrillator (ICD)
ICD ialah peranti kecil yang diletakkan di dalam dada untuk mengesan ritma yang tidak normal dan menghantar kejutan elektrik ke jantung untuk memulihkan irama yang normal.
Ia adalah rawatan utama untuk penghidap aritmia ventrikel dan boleh digunakan untuk menghentikan episod aritmia ini dan memulihkan deyutan jantung kepada normal.
Rujukan
- Cleveland Clinic medical professional. (2021). Ventricular Arrhythmia. Cleveland Clinic
- Roland, J. (2021). What Is Ventricular Arrhythmia and How Is It Treated? Healthline