Apa itu Apnea Tidur?
Apnea tidur adalah gangguan tidur yang serius yang berlaku apabila pernafasan seseorang itu terganggu semasa tidur.
Mereka yang mengalami apnea tidur yang tidak dirawat berhenti bernafas secara berulang-ulang semasa tidur mereka, kadang-kadang sehingga beratus kali sepanjang malam.
Sekiranya tidak dirawat, apnea tidur boleh mendatangkan pelbagai masalah lain seperti tekanan darah tinggi, strok, kegagalan jantung, serangan jantung atau diabetes (penyakit kencing manis).

Jenis-jenis
Terdapat 3 jenis apnea tidur yang utama iaitu:
- Apnea tidur obstruktif: Jenis yang paling banyak berlaku apabila otot kerongkong mengendur.
- Apnea tidur pusat: Jenis ini berlaku apabila otak tidak menghantar isyarat yang betul kepada otot yang mengawal pernafasan.
- Sindrom apnea tidur kompleks: Jenis ini berlaku apabila seseorang mempunyai kedua-dua apnea tidur obstruktif dan apnea tidur pusat.
Apnea tidur lebih banyak berlaku kepada lelaki berbanding wanita. Ia juga boleh terjadi kepada semua lapisan umur termasuklah bayi dan kanak-kanak.
Namun, ia lebih kerap terjadi kepada golongan berusia 50 tahun ke atas dan mempunyai berat badan berlebihan.
Simptom-simptom Apnea Tidur
Simptom-simptom apnea tidur obstruktif dan apnea tidur pusat bertindih menyebabkan ia sukar untuk membezakan jenis apnea yang anda hadapi.
Antara simptom-simptom yang lazim berlaku adalah:
- Dengkur yang kuat
- Episod berhenti bernafas semasa tidur
- Bangun dengan mulut yang kering
- Tercungap-cungap mencari udara semasa tidur
- Sakit kepala semasa bangun pagi
- Sukar untuk tidur pada waktu malam (insomnia)
- Sukar untuk memberikan tumpuan semasa siang hari
- Mengantuk yang berlebihan pada siang hari atau kelesuan
- Berpeluh semasa tidur
Punca atau Penyebab
Apnea tidur obstruktif berlaku disebabkan oleh hadangan pada saluran udara, biasanya disebabkan oleh tisu lembut di bahagian belakang kerongkong yang mengendur semasa tidur.
Apnea tidur pusat pula berlaku disebabkan oleh kegagalan fungsi sistem saraf pusat terutamanya kepada pesakit strok atau penghidap penyakit otot saraf.
Ia juga boleh berlaku kepada pesakit kegagalan jantung atau penyakit buah pinggang dan paru-paru.
Pilihan Rawatan Bagi Apnea Tidur
Terdapat beberapa pilihan rawatan yang boleh dibahagikan kepada rawatan konservatif, terapi mekanikal dan pembedahan.
Rawatan konservatif: Rawatan ini sesuai untuk kes-kes apnea tidur yang ringan.
- Menurunkan berat badan bagi mereka yang mempunyai berat badan berlebihan.
- Elakkan mengambil pil tidur dan alkohol.
- Tidur dalam posisi mengiring berbanding telentang.
- Menggunakan semburan hidung atau strip pernafasan bagi mereka yang menghidap resdung atau masalah hidung.
Terapi mekanikal: Terapi tekanan salur udara positif (PAP) ialah rawatan awal yang menjadi pilihan untuk kebanyakan orang yang mengalami apnea tidur obstruktif.
Melalui terapi ini, pesakit dikehendaki memakai topeng di atas hidung atau/dan mulut mereka. Penghembus udara akan memaksa udara dengan lembut melalui hidung atau/dan mulut.
Tekanan udara ini bertujuan untuk mencegah tisu-tisu saluran udara daripada mengendur semasa tidur.
Terdapat beberapa gaya dan jenis peranti tekanan saluran udara positif bergantung kepada keperluan khusus pesakit. Gaya dan jenis tersebut termasuklah:
- Tekanan salur udara positif berterusan (CPAP)
- Bi-Level PAP
- Auto CPAP atau Auto Bi-Level PAP
- Adaptive Servo-Ventilation (ASV)
Pembedahan: Pembedahan adalah jalan terakhir sekiranya kaedah rawatan lain tidak berjaya. Beberapa pilihan pembedahan adalah:
- Pembuangan tisu: Semasa prosedur ini, doktor anda mengeluarkan tisu dari bahagian belakang mulut anda dan bahagian atas tekak anda. Tonsil dan adenoid anda juga biasanya dikeluarkan.
- Pengecutan tisu: Prosedur ini akan mengecilkan tisu di bahagian belakang mulut dan belakang tekak anda menggunakan ablasi frekuensi radio.
- Memposisi semula rahang: Dalam prosedur ini, rahang anda digerakkan ke hadapan dari baki tulang muka anda.
- Implan: Batang lembut, biasanya diperbuat daripada poliester atau plastik, ditanam melalui pembedahan ke dalam lelangit lembut selepas anda menerima suntikan pelali.
- Rangsangan saraf: Ini memerlukan pembedahan untuk memasukkan perangsang untuk saraf yang mengawal pergerakan lidah (saraf hipoglosal).
- Mewujudkan laluan udara baharu (trakeostomi): Anda mungkin memerlukan bentuk pembedahan ini jika rawatan lain gagal dan anda mengalami apnea tidur yang teruk dan mengancam nyawa. Dalam prosedur ini, pakar bedah akan membuat lubang di leher anda dan memasukkan tiub logam atau plastik di mana anda bernafas.
Komplikasi
Sekiranya tidak dirawat, apnea tidur boleh menyebabkan komplikasi-komplikasi berikut:
- Kelesuan pada siang hari
- Tekanan darah tinggi
- Masalah jantung
- Penyakit kencing manis (diabetes jenis 2)
- Sindrom metabolik
- Masalah hati
- Komplikasi dengan ubat-ubatan dan pembedahan
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2020). Sleep Apnea. MayoClinic
- Cleveland Clinic medical professional. (2020). Sleep Apnea. Cleveland Clinic