Anemia berlaku apabila badan anda tidak mempunyai sel-sel darah merah yang mencukupi atau sel-sel darah merah anda tidak berfungsi seperti mana yang sepatutnya. Terdapat beberapa tanda yang menunjukkan anda mempunyai anemia. Kali ini kami senaraikan 10 tanda yang menunjukkan bahawa anemia anda makin teruk.
Anemia adalah masalah kesihatan yang banyak berlaku, kira-kira 1/3 populasi dunia mengalami masalah ini.
Terdapat banyak jenis anemia, antara yang paling lazim berlaku adalah:

Sekiranya anda mengalami tanda-tanda anemia yang makin teruk ini, anda dinasihatkan untuk segera mendapatkan rawatan di hospital yang berhampiran dengan anda.
1. Kelesuan yang Ekstrem
Kelesuan adalah salah satu tanda anemia yang paling lazim berlaku. Apabila anemia anda semakin teruk, anda boleh mengalami kelesuan yang ekstrem.
Kelesuan yang ekstrem boleh menyebabkan anda penat sehingga tidak dapat membuat kerja-kerja harian anda.
Walau bagaimanapun, harus diingat juga, kelesuan boleh disebabkan oleh banyak perkara selain daripada anemia.
2. Denyutan Jantung Laju
Denyutan jantung laju atau turut dikenali sebagai takikardia.
Keadaan ini bermakna jantung anda bergenyut atau berdegup lebih laju daripada sepatutnya. Apabila jantung anda berdeyut terlalu laju, ia tidak mempunyai masa yang cukup antara deyutan untuk mengisi darah.
Oleh itu, jantung anda tidak dapat membekalkan badan anda dengan oksigen yang diperlukan.
3. Sukar Bernafas
Sukar bernafas atau dalam bahasa perubatannya dispnea adalah keadaan yang berlaku kerana anda tidak mempunyai sel-sel darah merah yang mencukupi untuk membawa oksigen ke seluruh badan.
Dispnea ini boleh diperhatikan melalui ciri-ciri seperti pengembangan hidung, penggunaan otot pernafasan tambahan, perubahan kedalaman pernafasan, dan pengembangan paru-paru.
4. Kemahuan untuk Makan Ais atau Benda Bukan Makanan
Kemahuan untuk memakan ais atau benda bukan makanan seperti debu, kertas atau kotoran adalah salah satu tanda anemia makin teruk bagi anemia kekurangan zat besi.
Keadaan ini turut dikenali sebagai pika.
5. Kuku Menjadi Rapuh
Kuku yang menjadi rapuh atau kuku yang menjadi melengkung seperti sudu adalah tanda anemia yang makin teruk. Ia biasanya berkaitan dengan anemia kekurangan zat besi.
6. Rasa Pening Semasa Anda Berdiri
Rasa pening semasa berdiri boleh menjadi salah satu petanda anda kekurangan sel-sel darah merah. Tanda atau gejala ini boleh berlaku apabila anemia yang dialami semakin teruk.
Keadaan ini berlaku kerana otak anda tidak menerima oksigen secukupnya.
7. Kulit Menjadi Pucat
Kulit menjadi pucat sama ada diseluruh badan atau hanya dibeberapa tempat seperti muka, gusi, bibir atau kelopak mata adalah tanda-tanda anemia makin teruk.
Kulit yang pucat ini menunjukkan bahawa kapilari kehilangan sel-sel darah merah atau berfungsi dengan tidak cekap. Ini menyebabkan kulit kehilangan warna merah jambu yang semula jadi.
8. Ulser Mulut dan Lidah
Ulser atau luka pada mulut dan lidah juga adalah antara tanda-tanda anemia.
Anemia kekurangan zat besi boleh menyebabkan kudis di mulut dengan rekahan di hujung mulut. Manakala, anemia sel sabit pula boleh menyebabkan anda mudah untuk dijangkiti kuman.
9. Pergerakan Kaki yang Tidak Terkawal
Pergerakan kaki yang tidak terkawal terutamanya semasa tidur adalah salah satu tanda anemia anda makin teruk. Tanda atau gejala ini turut dikenali sebagai sindrom kaki resah.
Sindrom kaki resah ini menyebabkan keinginan yang tidak terkawal untuk menggerakkan kaki, biasanya kerana rasa tidak selesa.
Ia biasanya berlaku pada waktu petang atau waktu malam apabila anda sedang duduk atau berbaring. Bergerak meredakan perasaan tidak menyenangkan buat sementara waktu.
10. Air Kencing Berdarah
Air kencing berdarah atau air kencing berwarna merah adalah tanda yang menunjukkan penyakit sel sabit atau anemia yang disebabkan kemusnahan sel darah merah yang secara tiba-tiba atau kronik.
Walau bagaimanapun, ia boleh juga disebabkan oleh masalah kesihatan yang lain.
Rumusan
Bergantung kepada jenis-jenis anemia yang dihadapi, tanda atau simptom anemia mungkin berbeza-beza antara individu.
Biasanya, jika anemia yang berlaku adalah ringan, anda biasanya tidak menyedari sebarang tanda atau mengalami sebarang simptom-simptom. Tetapi, apabila anemia itu makin teruk, tanda dan simptom yang berlaku juga akan bertambah teruk.
Sila dapatkan rawatan daripada ahli profesional kesihatan sekiranya anda mengalami tanda-tanda yang dinyatakan di atas bagi mendapatkan diagnosis yang tepat.