Apa itu Anemia Kekurangan Vitamin?
Anemia kekurangan vitamin ialah keadaan di mana badan kekurangan sel-sel darah merah yang sihat yang berlaku apabila anda kekurangan vitamin B12 atau B9 (folat).
Keadaan ini boleh berlaku sekiranya anda tidak memakan makanan yang mengandungi vitamin B12 dan folat yang mencukupi atau badan anda mengalami masalah untuk menyerap vitamin tersebut.
Tanpa vitamin-vitamin ini, badan menghasilkan sel darah merah yang terlalu besar dan tidak berfungsi dengan baik. Ini mengurangkan keupayaan sel-sel darah tersebut untuk membawa oksigen.
Nama lain bagi anemia kekurangan vitamin ini adalah anemia makrosit atau anemia megaloblas.
Simptom-simptom
Anemia kekurangan vitamin biasanya terbentuk secara perlahan-lahan iaitu selama beberapa bulan atau tahun. Simptom-simptom atau gejala pada awalnya mungkin tidak jelas tetapi akan meningkat apabila kekurangan vitamin semakin teruk.
Antara simptom-simptom yang biasanya berlaku adalah:
- Kelesuan
- Sesak nafas
- Pening
- Kulit menjadi pucat dan kekuningan
- Berat badan merosot
- Denyutan jantung yang tidak sekata
- Otot menjadi lemah
- Kebas atau semut-semut di tangan dan kaki
- Pergerakan yang goyah
- Pelupa atau kekeliruan mental
- Perubahan personaliti
- Masalah penglihatan
- Masalah dengan deria bau dan rasa
Bagaimana Vitamin B12 atau Folat Menyebabkan Anemia?
Kedua-dua vitamin ini adalah penting dalam banyak proses dalam badan termasuklah menghasilkan sel-sel darah merah.
Tanpa vitamin B12 dan folat, badan anda tidak menghasilkan sel-sel darah merah yang normal dan sel-sel tersebut akan lebih cepat mati berbanding sel-sel yang normal.
Maka, sel-sel tersebut tidak dapat membawa oksigen keseluruh tisu-tisu badan anda. Kekurangan sel-sel darah merah yang normal ini dipanggil anemia.
Punca yang Menyebabkan Anemia Kekurangan Vitamin
Anemia kekurangan vitamin berlaku apabila badan anda rendah dengan paras vitamin B12 dan folat (B9). Punca yang menyebabkan anemia jenis ini termasuklah:
- Ubat-ubatan seperti ubat antisawan
- Pernah menjalani pembedahan perut atau usus
- Meminum alkohol secara berlebihan
- Mempunyai masalah usus seperti masalah cacing, penyakit seliak atau Crohn
- Mempunyai masalah kesihatan seperti penyakit diabetes jenis 1, penyakit pankreas atau vitiligo
- Pemakanan yang kurang dengan daging, ikan, produk tenusu, sayur-sayuran berdaun, telur, kekacang atau bijian.
- Menghidap anemia pernisius yang tidak menghasilkan faktor intrinsik (sejenis protein yang dihasilkan oleh perut)
Siapakah Berisiko Mendapat Anemia Jenis ini?
Mereka yang tidak mendapatkan vitamin B12 atau folat secara mencukupi melalui pemakanan berisiko untuk mendapat anemia jenis ini.
Selain itu, penghidap penyakit-penyakit berikut juga berisiko tinggi untuk mengalami anemia jenis ini:
- Penyakit seliak
- Penyakit Crohn
- Atresia saluran hempedu
- Fibrosis sista
- Anemia pernisius
Wanita mengandung, menyusukan anak atau pesakit yang menjalani dialisis untuk penyakit buah pinggang berisiko tinggi untuk mengalami kekurangan folat (vitamin B9).
Rawatan
Rawatan untuk anemia kekurangan vitamin bertujuan untuk meningkatkan paras vitamin yang anda kurang. Ahli profesional kesihatan akan menentukan dos suplemen dan jenis rawatan terbaik.
Terdapat banyak varieti suplemen vitamin B12 atau folat seperti:
- Tablet boleh larut
- Suntikan
- Semburan hidung
- Pil
Transfusi darah mungkin dilakukan sekiranya anda mengalami kekurangan vitamin yang teruk.
Tambahan daripada itu juga, perubahan terhadap pemakanan (diet) harian mungkin disarankan oleh ahli profesional kesihatan yang merawat anda. Anda perlu meningkatkan pengambilan makanan yang tinggi dengan kandungan vitamin B12 dan folat.
Langkah-langkah Pencegahan
Anemia kekurangan vitamin boleh dicegah melalui pemilihan pemakanan yang sihat yang melibatkan pelbagai jenis makanan terutamanya makanan yang tinggi dengan vitamin B12 dan folat.
Antara makanan yang tinggi dengan vitamin B12 adalah:
- Kepah
- Hati biri-biri
- Hati lembu
- Tiram
- Telur
- Ikan mackerel
Manakala, makanan yang tinggi dengan vitamin B9 pula adalah:
- Beras perang
- Beras basmati
- Betik
- Ciku
- Susu soya
- Daun kesum
Rujukan
- Cleveland Clinic medical professional. (2022). Vitamin Deficiency Anemia. Cleveland Clinic
- National Heart, Lung and Blood Institute. (2022). Vitamin B12-Deficiency Anemia.