Sakit payudara boleh disebabkan oleh pelbagai punca. Biasanya, ia tidaklah berbahaya atau serius. Namun, jika sakit tidak hilang atau bertambah baik, pergi berjumpa dengan ahli profesional kesihatan (doktor) adalah pilihan terbaik.
Sakit payudara juga dikenali sebagai mastalgia dalam dunia perubatan. Kesakitan payudara ini boleh digambarkan sebagai rasa nyeri, berdenyut-denyut, tajam, menusuk, sakit seperti terbakar atau sesak pada tisu payudara.
Punca-punca yang Menyebabkan Sakit Payudara
Bagi wanita, sakit payudara lazimnya dikaitkan dengan haid (periods).
Meskipun begitu, ia juga boleh disebabkan oleh masalah kesihatan yang lain atau kesan sampingan ubat-ubatan tertentu.
Manakala, bagi lelaki pula, sakit buah dada (payudara) lazimnya disebabkan oleh keadaan yang dikenali sebagai ginekomastia.
Ginekomastia merujuk kepada keadaan yang menyebabkan peningkatan jumlah tisu kelenjar payudara yang disebabkan oleh ketidakseimbangan hormon estrogen dan testosteron.
Ginekomastia boleh menjejaskan sebelah atau kedua-dua belah payudara.
Gejala-gejala Sakit Payudara yang Berkaitan dengan Haid
Sakit payudara atau buah dada yang berkaitan dengan haid lazimnya menunjukkan gejala-gejala berikut:
- Sakit yang tumpul, berat dan sengal-sengal.
- Ia bermula kira-kira 2 minggu sebelum haid, semakin teruk dan menghilang selepas haid tamat.
- Menjejaskan kedua-dua buah dada dan kadang-kadang merebak sehingga ke bahagian ketiak.
Punca-punca Lain yang Boleh Menyebabkan Sakit Payudara
Punca-punca lain yang boleh menyebabkan sakit payudara adalah:
- Kehamilan.
- Kecederaan atau terseliuh pada leher, bahu atau belakang.
- Akibat ubat-ubatan seperti pil perancang atau sesetengah ubat antidepresan.
- Penyakit seperti mastitis atau abses payudara.
- Perubahan hormon semasa menopaus.
- Saiz payudara yang besar juga boleh menyebabkan sakit payudara yang turut diikuti dengan sakit di bahu dan leher.
Apa yang Boleh Dilakukan untuk Mengurangkan Kesakitan Ini
Beberapa perkara berikut boleh dilakukan oleh anda untuk mengurangkan kesakitan pada payudara anda:
- Mengambil ubat paracetamol (Panadol, Uphamol) atau ibuprofen.
- Menyapu ubat tahan sakit pada payudara.
- Memakai baju dalam (coli) yang sesuai semasa siang hari dan memakai baju dalam lembut untuk tidur. Anda juga boleh memlilih untuk tidak memakai coli semasa tidur.
- Terdapat bukti yang terhad yang menunjukkan minyak evening primrose boleh membantu mengurangkan sakit payudara.
Rujukan
- NHS. (2023). Breast pain.
- Mayo Clinic Staff. (2023). Breast pain – Symptoms and causes.




