Apakah Anemia Kekurangan Zat Besi?
Anemia kekurangan zat besi adalah sejenis anemia yang berlaku akibat badan anda tidak mempunyai zat besi yang mencukupi. Anemia jenis ini adalah jenis anemia yang paling banyak berlaku.
Zat besi adalah mineral yang diperlukan oleh badan untuk menghasilkan hemoglobin iaitu sejenis protein yang terdapat di dalam sel darah merah. Hemoglobin ini berfungsi untuk membawa oksigen ke seluruh bahagian badan.
Akibat kekurangan zat besi ini, anda akan berasa penat atau sesak nafas.

Tanda-tanda atau Gejala
Pada awalnya, anemia kekurangan zat besi ini boleh menjadi sangat ringan sehinggakan ramai yang tidak menyedarinya. Namun, lama-kelamaan apabila badan semakin kekurangan zat besi, anemia tersebut menjadi semakin teruk.
Tanda-tanda atau gejala anemia kekurangan zat besi yang boleh berlaku adalah seperti berikut:
- Kelesuan yang teruk
- Lemah
- Kulit pucat
- Sakit dada atau sesak nafas
- Denyutan jantung menjadi laju
- Sakit kepala
- Pening
- Sejuk di tangan dan kaki
- Keradangan atau luka di lidah
- Kuku menjadi rapuh
- Hilang selera makan terutamanya bagi kanak-kanak
- Mengidam makanan yang tidak berkhasiat seperti ais, kanji atau debu
Apakah Punca yang Menyebabkan Anemia Kekurangan Zat Besi?
Anemia kekurangan zat besi berlaku apabila badan tidak mempunyai zat besi yang mencukupi untuk menghasilkan hemoglobin.
Hemoglobin adalah sebahagian daripada sel-sel darah merah yang memberikannya warna merah dan membolehkan sel-sel darah merah membawa oksigen ke seluruh badan.
Sekiranya anda tidak mengambil zat besi yang mencukupi atau kehilangan terlalu banyak zat besi, badan anda tidak mampu untuk menghasilkan hemoglobin yang mencukupi.
Antara punca atau penyebab yang menyebabkan anemia jenis ini adalah:
- Kehilangan darah: Kehilangan darah melalui haid dan penyakit-penyakit lain adalah penyebab yang paling lazim menyebabkan anemia jenis ini.
- Kekurangan zat besi dalam pemakanan: Pemakanan harian yang kurang dengan zat besi lama-kelamaan boleh menyebabkan kekurangan zat besi di dalam badan. Antara makanan yang tinggi zat besi yang harus disertakan dalam diet harian anda seperti daging, telur atau sayur-sayuran berdaun hijau.
- Mengandung: Tanpa pengambilan zat besi tambahan, wanita mengandung sering mengalami kekurangan zat besi akibat peningkatan isipadu darah dan keperluan hemoglobin kepada janin.
- Tidak berupaya menyerap zat besi: Zat besi daripada makanan diserap ke dalam aliran darah anda di dalam usus kecil. Gangguan usus seperti penyakit seliak boleh menjejaskan keupayaan usus anda untuk menyerap nutrien daripada makanan yang dicerna seterusnya menyebabkan anemia jenis ini.
Siapakah Berisiko untuk Mengalami Anemia Ini?
Golongan-golongan berikut berisiko tinggi untuk mengalami anemia kekurangan zat besi disebabkan pelbagai faktor:
- Wanita: Wanita sering kehilangan darah melalui haid.
- Bayi atau kanak-kanak: Bayi yang dilahirkan pramatang atau berat lahir rendah yang tidak memperolehi zat besi yang mencukupi melalui susu ibu atau susu formula berisiko tinggi untuk menghidap anemia jenis ini. Kanak-kanak pula memerlukan zat besi yang lebih untuk pertumbuhan. Pemakanan yang tidak sihat boleh meningkatkan risiko menghidap anemia ini.
- Penderma darah yang kerap: Penderma darah yang kerap juga berisiko untuk mengalami anemia jenis ini.
- Vegetarian: Orang yang tidak memakan daging juga berisiko tinggi untuk mengalami anemia kekurangan zat besi.
Rawatan untuk Anemia Kekurangan Zat Besi
Rawatan atau cara untuk mengatasi kekurangan zat besi ini adalah melalui pengambilan makanan tambahan (suplemen) zat besi.
Suplemen Zat Besi
Ahli profesional kesihatan mungkin akan mempreskripsi suplemen zat besi pada dos yang sesuai bagi menggantikan kembali zat besi yang berkurangan.
Beberapa kaedah untuk meningkatkan penyerapan zat besi adalah:
- Memakan suplemen zat besi bersama vitamin C: Vitamin C boleh meningkatkan penyerapan zat besi. Doktor mungkin mencadangkan agar anda memakan tablet zat besi anda bersama-sama jus oren.
- Jangan mengambil zat besi bersama-sama dengan antasid: Antasid ialah ubat yang digunakan untuk melegakan pedih ulu hati yang boleh mengganggu penyerapan zat besi. Ambil zat besi 2 jam sebelum atau 4 jam selepas antasid.
- Makan semasa perut kosong: Jika boleh, makan suplemen zat besi semasa perut kosong. Namun, jika ia menyebabkan ketidakselesaan pada perut, makan bersama-sama dengan hidangan anda.
Merawat Punca Sebenar
Sekiranya pengambilan suplemen zat besi tidak meningkatkan paras zat besi dalam darah, maka anemia tersebut mungkin disebabkan oleh perkara lain.
Dapatkan nasihat doktor atau ahli profesional kesihatan untuk mendapatkan rawatan yang tepat.
Komplikasi
Sekiranya tidak dirawat, anemia kekurangan zat besi boleh menyebabkan komplikasi seperti:
- Masalah jantung
- Pertumbuhan terbantut
- Masalah ketika kehamilan
- Kelesuan
- Sakit kepala
- Sindrom kaki resah
Rujukan
- National Heart, Lung and Blood Institute. (2022). Iron-deficiency Anemia.
- Mayo Clinic Staff. (2022). Iron deficiency anemia. MayoClinic
- Cleveland Clinic medical professional. (2022). Iron-Deficiency Anemia. Cleveland Clinic