Anemia adalah sejenis penyakit yang diakibatkan oleh kekurangan sel darah merah atau hemoglobin dalam sel darah merah, ataupun perdarahan yang berlebihan. Hemoglobin bertanggungjawab membawa oksigen ke seluruh bahagian badan.
Biasanya, kebanyakan pesakit akan mengalami simptom-simptom berkaitan dengan anemia apabila hemoglobin mereka menurunkan di bawah 7.0 g/dL.
Julat hemoglobin yang normal adalah:
- 13.5 hingga 18.0 g/dL bagi lelaki
- 12.0 hingga 15.0 g/dL bagi wanita
- 11.0 hingga 16.0 g/dL bagi kanak-kanak
- Berbeza bagi wanita mengandung bergantung kepada trimester, namun biasanya melebihi 10.0 g/dL.

Terdapat banyak punca yang menyebabkan anemia, daripada perdarahan atau kekurangan sesuatu zat. Jenis anemia yang dihadapi akan menentukan rawatan yang diperlukan.
Anemia adalah antara penyakit yang paling berlaku dan menjejaskan kira-kira satu per tiga populasi dunia. Kelaziman penyakit ini meningkat selari dengan peningkatan usia dan lebih kerap berlaku kepada golongan wanita pada umur biak, wanita hamil dan warga emas.
Simptom-simptom
Sekiranya anemia yang dialami itu ringan, biasanya ia tidak menunjukkan sebarang simptom atau gejala.
Tetapi, jika anemia ini semakin teruk, simptom-simptom berikut mungkin akan berlaku:
- Kelesuan dan keletihan
- Rasa lemah
- Kulit menjadi pucat
- Sesak nafas
- Sakit dada
- Pika-keinginan untuk makan benda yang bukan makanan
- Kaki resah (restless legs)
- Jantung berdenyut kencang
- Jaundis (bagi sesetengah jenis anemia)
- Sejuk di tangan dan kaki
- Sakit kepala
Jenis dan Punca
Jenis-jenis anemia boleh dikategorikan berdasarkan punca asas yang menyebabkan keadaan ini. Punca atau penyebab anemia boleh dibahagikan kepada 3 iaitu penghasilan sel-sel darah merah yang kurang, kehilangan darah dan pemusnahan sel-sel darah merah.
Jenis anemia yang disebabkan oleh kekurangan penghasilan sel-sel darah merah termasuklah:
- Anemia kekurangan zat besi. Berlaku akibat penurunan keupayaan untuk menyerap zat besi atau pengurangan simpanan zat besi akibat perdarahan yang kronik.
- Anemia kekurangan vitamin. Disebabkan kekurangan pengambilan vitamin seperti folat dan B12.
- Anemia akibat penyakit kronik. Disebabkan penyakit kronik seperti kanser darah, HIV, penyakit buah pinggang, lupus dan reumatoid artritis.
- Anemia aplastik. Akibat kegagalan sumsum tulang.
Jenis anemia yang berkaitan dengan kehilangan darah adalah:
- Anemia akibat kehilangan darah akut. Berlaku akibat kecederaan, pembedahan atau perdarahan daripada ulser.
- Anemia akibat kehilangan darah kronik. Berlaku akibat perdarahan haid yang banyak atau pendarahan dalam usus.
Jenis anemia yang berkaitan dengan pemusnahan sel-sel darah pula adalah:
- Anemia keturunan. Anemia jenis ini menyebabkan struktur hemoglobin atau sel-sel darah merah berubah dan menjadikan mereka lebih rapuh dan mempunyai hayat yang pendek.
- Anemia akibat ubat. Disebabkan ubat-ubatan tertentu seperti antibiotik.
- Anemia akibat mekanikal. Kemusnahan sel-sel darah merah akibat daripada peralatan perubatan, tekanan darah tinggi atau aktiviti berat.
Rawatan
Rawatan untuk anemia bergantung kepada punca yang menyebabkan keadaan ini. Antara pilihan rawatan tersebut adalah:
- Suplemen vitamin B12, folat atau mineral zat besi bagi anemia akibat kekurangan vitamin atau mineral.
- Pemindahan sumsum tulang bagi anemia aplasia.
- Suntikan erythropoietin bagi anemia akibat kegagalan buah pinggang.
- Rawatan dengan cecair intravena (IV) dan bekalan darah bagi anemia akibat kehilangan darah akut.
- Pembedahan pembuangan limpa bagi anemia akibat pemusnahan sel-sel darah merah.
- Pemberhentian penggunaan ubat yang menyebabkan anemia.
- Penggantian alatan mekanikal yang menyebabkan kemusnahan sel-sel darah.
- Transfusi darah bagi pesakit yang mengalami anemia akibat keturunan bagi mengurangkan kejadian pembentukan hemoglobin yang tidak normal.
Bagi anemia yang disebabkan oleh penyakit-penyakit kronik, rawatan terhadap penyakit-penyakit ini boleh menambah baik masalah anemia ini.
Rumusan
Anemia adalah penyakit yang sangat lazim berlaku dan menjejaskan kira-kira satu per tiga populasi dunia. Dalam kebanyakan kes, penyakit ini bersifat ringan dan tidak menyebabkan sebarang simptom atau gejala.
Sekiranya anda mengalami simptom-simptom dan mengesyaki bahawa anda mengalami anemia ini. Dapatkan pemeriksaan lanjut daripada doktor untuk mengesahkannya serta rawatan yang sesuai.
Rujukan
- Chaparro, C. M., & Suchdev, P. S. (2019). Anemia epidemiology, pathophysiology, and etiology in low- and middle-income countries. Annals of the New York Academy of Sciences.
- Turner J, Parsi M, Badireddy M. Anemia. [Updated 2021 Aug 11]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2021 Jan-. Available from: https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK499994/
- Yates, A. (2020). An Overview of Anemia. verywellhealth.