Terdapat tanda-tanda yang menandakan anda atau anak anda menghidap penyakit seliak. Apa yang penting adalah anda peka dengan perubahan yang berlaku kepada diri sendiri atau anak anda.
Sila dapatkan diagnosis yang tepat daripada ahli profesional kesihatan.
Apa itu Penyakit Seliak?
Penyakit seliak ialah gangguan pencernaan yang disebabkan oleh tindak balas sistem imun yang tidak normal terhadap gluten. Gluten ialah protein yang boleh didapati dalam gandum, barli, rai dan oat.
Sekiranya anda menghidap penyakit ini dan termakan atau makan makanan yang mengandungi gluten, sistem imun badan akan bertindak balas dengan merosakkan usus kecil anda.

Kesan jangka panjang akibat tindakan sistem imun yang merosakkan lapisan usus kecil ini adalah malserapan (malabsorption). Malserapan adalah keadaan dimana usus kecil tidak dapat untuk menyerap sesetengah nutrien atau zat.
Malserapan boleh memberikan kesan yang serius terhadap kanak-kanak. Kanak-kanak yang mengalami malserapan akan terganggu dari segi pertumbuhan dan perkembangan.
Sekiranya malserapan ini berlaku secara berpanjangan (kronik), maka ia boleh menyebabkan kanak-kanak tersebut mengalami tumbesaran yang perlahan, tulang yang rapuh, sakit perut yang berpanjangan dan lain-lain lagi.
Oleh itu, penghidap penyakit seliak harus peka akan makanan yang mengandungi gluten seperti gandum, barli, rai, oat, produk vitamin dan suplemen, produk kulit rambut, ubat gigi dan balsam bibir.
Penyakit seliak ini tidak mempunyai penawar. Tetapi rawatan dan diet bebas gluten boleh membantu menghilangkan tanda-tanda atau simptom serta menggalakkan penyembuhan usus.
Tanda-tanda atau Gejala Penyakit Seliak
Setiap individu mungkin mengalami tanda-tanda atau gejala penyakit seliak yang berbeza-beza. Kanak-kanak dan orang dewasa juga boleh mengalami gejala-gejala yang berbeza-beza.
Tanda-tanda atau Gejala Penyakit Seliak bagi Kanak-kanak
Kanak-kanak lazimnya lebih cenderung untuk mengalami tanda-tanda atau gejala yang berkaitan dengan sistem penghadaman.
Antara tanda-tanda dan gejala yang boleh berlaku adalah:
- Sembelit yang berpanjangan
- Sakit di bahagian perut
- Kembung perut
- Cirit-birit yang berpanjangan (kronik)
- Loya dan muntah
- Tak tolerans laktosa
- Najis yang berbau busuk, bergris dan pucat
Sekiranya kanak-kanak ini mengalami malnutrisi akibat penyakit ini, beberapa tanda dan gejala yang boleh berlaku termasuklah:
- Hilang atau turun berat badan
- Pertumbuhan perlahan dan pendek
- Lambat baligh
- Kerosakan pada enamel gigi
- Mempunyai berat badan yang rendah berbanding usia
- Perubahan emosi atau tidak sabar
Tanda-tanda atau Gejala Penyakit Seliak bagi Orang Dewasa
Bagi orang dewasa pula, penyakit seliak boleh mengakibatkan tanda-tanda dan gejala seperti:
- Sakit perut
- Kembung perut
- Loya dan muntah-muntah
- Kelesuan
- Hilang berat badan
- Cirit-birit berpanjangan
- Sembelit berpanjangan
- Pedih ulu hati
Penghidap penyakit seliak dalam kalangan orang dewasa ini juga mungkin mengalami tanda atau gejala yang tidak berkaitan dengan sistem penghadaman.
Contohnya seperti:
- Kemurungan dan keresahan
- Sakit tulang atau sendi
- Sakit kepala
- Masalah keseimbangan
- Ketidaksuburan bagi lelaki dan wanita
- Kebas atau sesemut di tangan dan kaki
- Sawan
- Haid datang lambat (wanita)
- Ruam gatal dan lepuh
- Keguguran yang berulang-ulang
- Ulser dalam mulut
- Mulut kering
Komplikasi
Sekiranya penyakit seliak ini tidak dirawat, ia boleh menyebabkan komplikasi lain seperti:
- Malnutrisi
- Kanser
- Masalah sistem saraf
- Tak tolerans laktosa
- Lemah tulang atau osteoporosis
- Ketidaksuburan atau keguguran
Punca Penyakit Seliak
Penyakit seliak dipercayai berpunca daripada genetik dan akibat makan makanan yang mengandungi gluten.
Selain itu, terdapat beberapa faktor lain yang boleh meningkatkan risiko seseorang itu membentuk penyakit ini. Contohnya seperti:
- pernah mengalami banyak jangkitan pada usia muda
- mengalami jangkitan pada saluran usus
- perubahan koloni bakteria dalam saluran usus yang membantu penghadaman
Faktor Risiko
Terdapat juga beberapa golongan yang turut berisiko untuk menghidap penyakit ini:
- Penghidap diabetes jenis 1
- Penghidap sindrom Down atau sindrom Turner
- Mempunyai ahli keluarga yang menghidap penyakit seliak atau dermatitis herpetiformis
- Penghidap penyakit tiroid
- Penghidap kolitis mikroskopik
- Penghidap penyakit Addison
- Penghidap artritis reumatoid
Rawatan
Walauapun penyakit seliak ini tidak mempunyai penawar. Tetapi beberapa kaedah rawatan boleh membantu mengurangkan tanda-tanda dan gejala penyakit ini.
1. Hindari makanan atau produk bergluten
Gluten adalah protein yang boleh dijumpai secara semula jadi dalam bijirin seperti gandum atau barli. Gluten juga turut terkandung dalam makanan atau produk makanan seperti:
- Barli
- Rai
- Oat
- Malt
- Bir
- Bijian
- Biskut
- Pasta atau mi
- Sos atau kuah
- Kek
- Penkek
- Roti canai
- Kuih-muih
- Sup
Selain itu, gluten juga mungkin terkandung dalam produk-produk seperti:
- Daging proses dan sosej
- Daging atau makanan laut tiruan
- Aiskrim
- Kentang goreng
- Kicap
- Kerepek kentang
- Gula-gula
- Kuah salad (salad dressing)
Gluten juga mungkin tersembunyi dalam makanan, ubat-ubatan dan produk bukan makanan seperti berikut:
- Pengawet atau penstabil makanan
- Ubat belian kaunter
- Suplemen
- Produk gincu
- Ubat gigi dan ubat kumur
- Gam
- Doh mainan
2. Suplemen vitamin dan mineral
Sekiranya penghidap penyakit ini mengalami kekurangan nutrisi atau darah, doktor mungkin akan menyarankan suplemen seperti:
- Zink
- Zat besi
- Tembaga
- Vitamin D
- Vitamin K
- Vitamin B12
- Folat
3. Ubat-ubatan untuk Keradangan Usus
Sekiranya usus pesakit mengalami kerosakan teruk atau penyakit ini sudah tidak terkawal atau berulang. Doktor mungkin akan memberikan ubat-ubatan steroid untuk mengawal keradangan.
Antara ubat-ubatan steroid mungkin diberikan adalah:
- Azathioprine
- Budesonide
Bila Perlu Berjumpa Doktor
Sila dapatkan rawatan daripada doktor (ahli profesional kesihatan) sekiranya anda mengalami cirit-birit atau masalah penghadaman yang melebihi 2 minggu.
Sila dapatkan rawatan atau nasihat daripada doktor sekiranya anak anda kelihatan pucat, tidak membesar, memiliki perut buncit dan najisnya berbau busuk dan besar.
Penyakit seliak boleh berpunca daripada keturunan. Dapatkan diagnosis daripada doktor sekiranya ada ahli keluarga yang menunjukkan tanda-tanda penyakit seliak.
Rujukan
- National Institute of Diabetes and Digestive and Kidney Disease. (2020). Treatment for Celiac Disease.
- Mayo Clinic Staff. (2020). Celiac disease. MayoClinic.
- National Institute of Diabetes and Digestive and Kidney Disease. (2020). Symptoms & Causes of Celiac Disease.