Apa itu Gluten?
Gluten merupakan sejenis protein yang umumnya ditemukan pada bijirin seperti gandum, rai dan barli. Secara umumnya, gluten sering dikaitkan dengan gandum yang merupakan antara bahan asas dalam pembuatan makanan di seluruh dunia.
Gluten memberikan sifat kekenyalan dan elastik kepada gandum yang sangat penting dalam pembentukan doh yang sempurna.
Terima kasih kepada gluten yang berperanan dalam penghasilan roti, kek, pasta, biskut tawar dan pelbagai jenis kuih muih di samping mengembangkan industri pemakanan.

Gluten merupakan sebatian 2 jenis protein iaitu glutenin dan gliodin yang sifatnya seperti protein-protein lain yang terdiri daripada asid amino dan air.
Kenapa Gluten Berbahaya?
Walaupun bijirin yang mengandungi gluten mempunyai kebaikan-kebaikan dan manfaat bagi kebanyakan orang, namun ianya juga boleh mendatangkan bahaya kepada sesetengah orang.
Hal ini disebabkan oleh intoleransi atau kesukaran untuk mencerna protein gluten. Antara diagnosis yang timbul akibat intoleransi terhadap gluten ialah seperti penyakit seliak, alergi dan keradangan kulit seperti ekzema.
Intoleransi terhadap protein gluten boleh menyebabkan gejala-gejala seperti:
- Ketidakselesaan dan kembung perut
- Cirit-birit
- Mual
- Keradangan dan kegatalan kulit
- Radang sendi
- Sakit kepala
- Kebimbangan dan keresahan
Adalah penting bagi orang yang mempunyai intoleransi terhadap gluten untuk mengurangkan atau menghentikan pengambilan gluten untuk mencegah sebarang implikasi yang tidak diingini.
Namun begitu kebanyakan orang tidak menyedari bahawa mereka mempunyai intoleransi terhadap gluten.
Oleh itu, antara kaedah untuk menentukan kadar toleransi terhadap gluten adalah dengan berjumpa dengan pakar perubatan dan mengadakan ujian darah.
Namun tindak balas dan implikasi adalah berbeza bagi setiap individu dan adalah sukar untuk menentusahkan kadar intoleransi terhadap gluten.
Kaedah yang paling biasa digunakan adalah dengan mengurangkan jumlah pengambilan gluten dalam pemakanan dan memerhatikan pengurangan gejala akibat pengurang gluten.
Gejala-gejala ekzema dapat dikurangkan dengan menghentikan atau mengurangkan pengambilan gandum dalam pemakanan dan perkara ini telah dipraktikkan oleh sebahagian besar mereka yang mempunyai ekzema dan mengakui bahawa gejala yang dihidapi mereka telah berkurang atau berhenti sepenuhnya.
Habis tu, Kalau Tiada gandum Nak Makan Apa?
Gandum merupakan antara bahan asas yang digunakan dalam hampir setiap pembuatan makanan dan ia menjadi sukar untuk mengambil makanan tanpa gandum.
Namun, gandum juga bukanlah makanan ruji masyarakat di Malaysia yang masih utuh memerlukan nasi dalam setiap hidangan dalam kehidupan seharian dan keadaan ini memberikan kelebihan bagi mereka yang ingin menghentikan pengambilan gandum.
Kesedaran terhadap diet tanpa gandum semakin meluas dalam masyarakat di Malaysia dan tepung beras dijadikan sebagai salah satu alternatif terbaik kepada gandum dalam penghasilan makanan seperti roti, kek, donat, kuih muih dan lain-lain.
Di samping itu, terdapat juga pelbagai jenis tepung lain yang boleh dijadikan alternatif kepada tepung gandum seperti tepung jagung, tepung ubi, tepung badam, tepung kelapa dan lain-lain.
Rentetan itu, telah muncul pelbagai resepi-resepi makanan tanpa gandum dalam masyarakat dan pelbagai kumpulan bimbingan telah diwujudkan untuk merealisasikan pemakanan sihat tanpa gandum.
Bijak dalam Pemilihan Makanan Demi Kesihatan
Bagi sebahagian besar orang, mengelakkan daripada gluten adalah tidak perlu dan ia adalah amat sukar untuk dilakukan kerana hampir semua makanan di pasaran melibatkan penggunaan tepung gandum.
Namun, bagi sesetengah individu, mengelakkan atau menghentikan terus pengambilan gandum dapat memberikan impak perubahan yang besar dalam kehidupan mereka.
Walaupun sukar untuk dilakukan, individu-individu seperti ini percaya dengan keazaman dan disiplin yang tinggi perkara ini mampu untuk dilakukan.
Pelbagai alternatif boleh dilakukan bagi mengelakkan pengambilan tepung gandum dalam pemakanan. Antaranya ialah seperti menggantikan kuih muih dengan makanan ringan seperti buah-buahan dan kekacang.
Terdapat juga kuih muih yang tidak menggunakan tepung gandum seperti kuih berasaskan tepung pulut dan tepung beras.
Perlu diingatkan juga bahawa generasi terdahulu telah pun mempraktikkan makanan tanpa gandum dengan menghasilkan pelbagai jenis kuih berasaskan tepung beras disebabkan kesukaran mendapatkan tepung gandum pada waktu itu.
Walau apa pun hujahan berkenaan pengambilan makanan berasaskan tepung gandum mahupun tidak, pemilihan makanan yang berkhasiat dalam kehidupan adalah amat penting.
Pilihan makanan tanpa gandum haruslah dibuat dengan keazaman dan disiplin yang tinggi, ianya juga mampu mengelakkan daripada membeli atau mengambil makanan yang diproses ultra yang mampu mengundang kepada pelbagai masalah kesihatan.