Serat dilaporkan mempunyai banyak kebaikan kepada sistem penghadaman, namun adakah serat juga boleh merawat cirit-birit?
Serat atau serat diet adalah sejenis karbohidrat dalam makanan berasaskan tumbuhan yang tidak boleh dicernakan sepenuhnya oleh badan.
Ramai pakar makanan atau kesihatan menggalakkan pengambilan serat yang tinggi dalam pemakanan harian.
Serat memainkan peranan penting dalam kesihatan sistem penghadaman dan boleh melindungi sistem ini daripada masalah kesihatan seperti divertikulitis, kanser usus besar dan buasir. [1]
Walau bagaimanapun, ramai orang tidak pasti bagaimana serat boleh memberi kesan terhadap pergerakan usus dan sama ada ia boleh digunakan untuk membantu merawat cirit-birit.
Artikel ini melihat dengan lebih dekat mengenai jenis serat yang berbeza dan kesannya terhadap sistem penghadaman untuk menentukan sama ada serat boleh membantu merawat cirit-birit atau tidak.
Jenis-jenis Serat
Terdapat dua jenis serat yang utama iaitu serat larut dan serat tak larut.
Serat larut mengikat dengan air dalam saluran pencernaan, ia membentuk konsistensi yang tebal seperti gel apabila ia bergerak melalui badan anda.
Serat larut juga turut difermentasi oleh bakteria baik di dalam usus besar dan menghasilkan asid lemak rantaian pendek. [2]
Berbeza dengan serat larut, serat tak larut pula adalah sejenis serat yang tidak menyerap air dan melalui saluran pencernaan tanpa terurai atau kekal utuh.
Serat tak larut tidak mudah untuk difermentasi oleh bakteria baik di dalam usus besar.
Kebanyakan makanan tinggi serat biasanya mengandungi kedua-dua jenis serat ini.
Adakah Serat Boleh Merawat atau Mengurangkan Cirit-birit?
Kedua-dua serat larut dan serat tak larut mempunyai kesan yang berbeza-beza terhadap kesihatan sistem pencernaan dan cirit-birit.
Satu analisis yang melibatkan 16 kajian melaporkan bahawa suplemen serat yang mengandungi campuran antara serat larut dan tak larut boleh membantu mengurangkan cirit-birit yang berlaku kepada pesakit. [3]
Serat Larut
Serat larut telah dikaji dan dipromosikan secara meluas kerana keupayaannya memastikan pembuangan air besar yang teratur dan merawat masalah seperti sembelit dan cirit-birit.
Suplemen serat larut seperti psilium digunakan untuk melembutkan najis bagi mereka yang menghadapi sembelit dan digunakan untuk memejalkan najis cair dengan menyerap lebihan air bagi mereka yang menghidap cirit-birit. [4]
Terdapat juga kajian yang menunjukkan bahawa serat larut boleh mengurangkan simptom-simptom masalah penghadaman yang berkaitan dengan cirit-birit seperti sindrom usus rengsa. [5]
Serat Tak Larut
Serat tak larut pula boleh bertindak sebagai laksatif (julap) semula jadi kerana ia boleh menambah pukal kepada najis.
Serat tak larut kadangkala dijadikan makanan tambahan semula jadi untuk mengurangkan sembelit.
Walau bagaimanapun, kerana serat tak larut berfungsi sebagai julap dan meningkatkan pukal dalam najis, ia mungkin tidak sesuai untuk rawatan cirit-birit.
Makanan yang Tinggi Serat Larut
Menggabungkan lebih banyak makanan yang mengandungi jumlah serat larut yang lebih tinggi ke dalam diet anda ialah cara terbaik untuk menggalakkan pembuangan air besar yang teratur, mengurangkan cirit-birit dan meningkatkan kesihatan pencernaan anda.
Berikut adalah beberapa makanan yang tinggi dengan serat larut:
- Buah pisang
- Buah oren
- Buah pir
- Buah beri biru
- Sayur brokoli
- Lobak merah
- Terung
- Tomato
- Kacang ginjal
- Kacang kuda
- Oat
- Barli
- Quinoa
- Biji chia
- Flaxseed
- Psilium
Suplemen Serat
Selain makan lebih banyak makanan kaya serat, suplemen serat adalah cara mudah untuk meningkatkan pengambilan serat anda untuk menyokong kesihatan penghadaman.
Untuk membantu anda merawat cirit-birit, pilih suplemen serat yang mengandungi bahan-bahan berikut:
- Psilium
- Serat acacia
- Inulin
- Flaxseed
- Biji chia
Peringatan Apabila Menggunakan Serat untuk Merawat Cirit-birit
Walaupun mengambil lebih banyak serat larut boleh memberi manfaat kepada kesihatan penghadaman dan cirit-birit, adalah penting untuk meningkatkan pengambilan anda secara perlahan-lahan dari semasa ke semasa.
Sekiranya anda meningkatkan pengambilan serat larut terlalu cepat, ia boleh menyebabkan kesan sampingan seperti angin, kembung perut, sakit perut atau kekejangan.
Selain itu, pastikan anda meminum air yang mencukupi sepanjang hari kerana serat larut menyerap air di dalam usus anda.
Rumusan
Secara ringkasnya, serat terutamanya serat larut boleh membantu mengurangkan atau merawat cirit-birit.
Terdapat juga kajian yang melaporkan bahawa campuran antara serat larut dan serat tak larut boleh membantu mengurangkan cirit-birit.
Anda boleh mendapatkan serat melalui makanan semula jadi seperti buah-buahan, sayur-sayuran, kacang, bijian atau melalui suplemen (makanan tambahan).
Rujukan
- Akbar A, Shreenath AP. High Fiber Diet. [Updated 2023 May 1]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2023 Jan-. Available from: NCBI
- McRorie J. W., Jr (2015). Evidence-Based Approach to Fiber Supplements and Clinically Meaningful Health Benefits, Part 1: What to Look for and How to Recommend an Effective Fiber Therapy. Nutrition today.
- Kaewdech, A. et al. (2022). The effect of fiber supplementation on the prevention of diarrhea in hospitalized patients receiving enteral nutrition: A meta-analysis of randomized controlled trials with the GRADE assessment. Frontiers in nutrition.
- McRorie J. W., Jr (2015). Evidence-Based Approach to Fiber Supplements and Clinically Meaningful Health Benefits, Part 2: What to Look for and How to Recommend an Effective Fiber Therapy. Nutrition today.
- Werlang, M. E. et al. (2019). Irritable Bowel Syndrome and Dietary Interventions. Gastroenterology & hepatology.