Apa itu Tak Toleran Laktosa?
Tak toleran laktosa ialah gangguan penghadaman yang disebabkan ketidakupayaan untuk menghadam laktosa. Laktosa adalah karbohidrat atau gula utama di dalam produk tenusu. Tak toleran laktosa adalah perkara biasa dan menjejaskan kira-kira 65% populasi di dunia.
Mereka yang menghidap tak toleran laktosa tidak dapat mencernakan atau menghadamkan laktosa yang terdapat di dalam susu atau produk tenusu.
Badan manusia menggunakan enzim yang dipanggil “laktase” untuk memecahkan gula (laktosa) yang dimakan agar ia boleh diserap di dalam badan. Tetapi, penghidap tak toleran laktosa tidak mempunyai laktase yang mencukupi.
Walaupun dengan tahap laktase yang rendah, sesetengah orang boleh mencernakan produk susu dengan baik. Bagi orang yang tak toleran laktosa, paras laktase yang rendah memberikan mereka gejala selepas mereka makan atau minum produk tenusu.
Laktosa juga turut dijumpai dalam susu ibu dan hampir semua orang yang dilahirkan mempunyai keupayaan untuk mencernakan bahan ini. Namun, anda masih boleh mengalami tak toleran laktosa pada sebarang usia termasuklah ketika dewasa.
Tanda-tanda Tak Toleran Laktosa
Jika tidak diuruskan dengan baik, tak toleran laktosa boleh menyebabkan masalah penghadaman yang serius. Tanda-tanda dan gejala boleh berlaku secepat 30-60 minit selepas susu atau produk tenusu tersebut dimakan.
Antara tanda-tanda dan gejala tersebut adalah:
- Cirit-birit
- Kembung perut
- Sakit perut
- Kekenyangan
- Loya atau muntah
- Flatulens (kewujudan udara atau gas yang berlebihan di dalam perut atau usus)
Selain itu, terdapat tanda-tanda yang jarang berlaku yang boleh juga terjadi seperti sakit kepala, sakit otot, sakit sendi, ulser mulut, gejala kencing dan kehilangan tumpuan.
Laktosa yang tidak dapat dihadamkan dalam usus kecil menyebabkan kemasukan air bertalu-talu ke dalam saluran penghadaman. Keadaan ini menyebabkan berlakunya cirit-birit.
Apabila laktosa ini sampai di usus besar, laktosa tersebut akan difermentasi oleh bakteria di dalam usus menghasilkan asid lemak rantaian pendek (SCFA) dan gas. Ini menyebabkan tanda-tanda seperti kembung perut, gas atau sakit perut.
Punca atau Penyebab
Laktosa terbentuk hasil gabungan gula ringkas iaitu glukosa dan galaktosa.
Anda memerlukan enzim laktase untuk memecahkan laktosa kepada glukosa dan galaktosa, yang kemudian diserap oleh badan untuk tenaga.
Tanpa laktase yang mencukupi, laktosa bergerak melalui usus secara tidak dicerna dan menyebabkan gejala pencernaan. Terdapat pelbagai punca kekurangan laktase. Ia boleh dibahagikan kepada beberapa jenis seperti:
- Tak toleran laktosa primer: Bagi jenis ini, individu tersebut mengalami pengurangan penghasilan laktase sejajar dengan peningkatan usia. Tanda-tanda atau gejala dapat dilihat semasa usia remaja atau dewasa.
- Tak toleran laktosa sekunder: Bagi jenis ini pula, tak toleran berlaku apabila usus kecil mengurangkan pengeluaran laktase selepas penyakit, kecederaan atau pembedahan yang melibatkan usus kecil anda. Penyakit yang dikaitkan dengan tak toleran laktosa sekunder adalah seperti jangkitan usus, penyakit seliak, pertumbuhan berlebihan bakteria dan penyakit Crohn.
- Tak toleran laktosa kongenital: Tak toleran jenis ini jarang-jarang berlaku. Ia disebabkan bayi yang baru lahir mempunyai laktase yang kurang akibat keturunan yang dipanggil “autosomal recessive.”
- Tak toleran laktosa perkembangan: Tak tolerans jenis ini berlaku kepada bayi pramatang yang mempunyai paras laktase yang tidak mencukupi.
Rawatan
Sekiranya tak toleran laktosa yang berlaku akibat daripada masalah kesihatan atau penyakit, merawat penyakit tersebut boleh mengembalikan keupayaan kepada badan untuk mencernakan laktosa tersebut.
Bagi sebab-sebab yang lain, anda mungkin perlu mengelakkan makanan-makanan yang boleh menyebabkan tanda-tanda dan gejala tak toleran laktosa atau mengamalkan diet rendah laktosa.
Anda perlu mengelakkan makanan-makanan berikut:
- Keju lembut atau diproses
- Krim
- Susu
- Aiskrim
- Mentega susu
- Krim masam
- Wei
- Kentang putar
- Mentega
- Marjerin
- Puding dan kastard
- Penkek dan wafel
Di samping itu juga, anda boleh mencuba diet rendah laktosa seperti:
- Mengehadkan pengambilan susu atau produk tenusu
- Sertakan hidangan kecil produk tenusu dalam makanan biasa anda
- Makan dan minum ais krim dan susu yang dikurangkan laktosa
- Tambah enzim laktase cecair atau serbuk ke dalam susu untuk memecahkan laktosa
Rujukan
- Malik TF, Panuganti KK. Lactose Intolerance. [Updated 2022 May 2]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2022 Jan-. Available from: NCBI
- Mayo Clinic Staff. (2022). Lactose intolerance. MayoClinic
- Deng, Y. et al. (2015). Lactose Intolerance in Adults: Biological Mechanism and Dietary Management. Nutrients.