Adakah perlu mencuci darah? Jawapan ringkasnya adalah tidak kerana organ seperti hati dan buah pinggang telah melakukan kerja yang hebat untuk mencuci darah anda. Walau bagaimanapun, anda boleh membantu hati dan buah pinggang anda dengan memakan makanan yang baik untuk mencuci darah.
Darah bertanggungjawab untuk membawa pelbagai bahan ke seluruh badan anda termasuklah oksigen, hormon, lemak, gula, sel-sel sistem imun dan lain-lain lagi.
Sebenarnya, tidak perlu untuk anda melabur dengan membeli produk-produk suplemen yang mahal untuk membantu anda mencuci darah dan bebas daripada toksin. Hati dan buah pinggang telah tersedia untuk mencuci darah anda dengan menyingkirkan sisa buangan atau toksin daripada badan anda.

Selain hati dan buah pinggang, terdapat beberapa organ lain yang turut berperanan untuk bertindak sebagai organ penyahtoksikan semula jadi badan. Contohnya seperti kulit, usus, limpa dan sistem limfa.
Secara umumnya, pemakanan yang sihat yang mengandungi sayur dan buah-buahan adalah cara yang baik untuk membantu mencuci darah anda.
Terdapat beberapa jenis makanan atau minuman yang boleh membantu atau memberi kesan yang baik terhadap hati dan buah pinggang untuk mencuci darah dan menapis keluar bahan-bahan buangan dan toksik daripada badan anda.
1. Air
Air adalah sumber yang penting untuk badan anda berfungsi dengan baik. Buah pinggang juga turut bergantung kepada air untuk membantu menyingkirkan bahan buangan daripada badan anda.
Air juga membantu mengekalkan salur-salur darah untuk terbuka supaya darah boleh bergerak dengan bebas. Dehidrasi yang teruk boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang.
Bagaimana untuk mengetahui anda meminum air yang mencukupi? Anda boleh melihat kepada warna air kencing anda. Sekiranya anda mendapatkan air yang mencukupi sepanjang hari tersebut, air kencing anda akan berwarna kuning cerah atau tidak berwarna (jernih).
2. Bawang putih
Bawang putih adalah salah satu makanan atau herba yang mempunyai nilai perubatan yang tinggi. Selain menjadi penambah rasa, bawang putih juga turut berkhasiat kepada buah pinggang.
Kajian mendapati kandungan sebatian aktif dalam bawang putih yang dikenali sebagai alisin mempunyai kesan kebaikan yang sama atau lebih baik daripada ubat losartan yang digunakan untuk merawat penyakit buah pinggang kronik. [1]
3. Limau Gedang
Limau gedang atau grapefruit juga merupakan makanan yang baik untuk membantu mencuci darah.
Kandungan antioksidan dalam buah ini boleh membantu mengawal keradangan di dalam badan. Kajian yang dijalankan terhadap haiwan mendapati jus limau gedang boleh meningkatkan aktiviti enzim yang membantu meningkatkan proses detoksifikasi oleh hati. [2]
4. Kopi
Berita baik untuk anda yang mengemari kopi. Meminum kopi didapati mempunyai kesan perlindungan terhadap hati.
Kajian mendapati meminum kopi boleh mengurangkan risiko sirosis bagi mereka yang menghidap penyakit hati kronik dan turut mengurangkan risiko kepada kanser hati. [3]
Sirosis adalah penyakit hati yang mengakibatkan peningkatan dalam tisu berserat dan pemusnahan sel-sel hati.
5. Halia
Halia adalah antara herba yang mempunyai banyak khasiat dan nilai perubatan.
Terdapat kajian yang melaporkan bahawa suplemen halia boleh digunakan sebagai terapi sokongan kepada terapi sedia ada untuk penghidap penyakit hati berlemak bukan alkohol bagi mengurangkan rintangan insulin, enzim hati dan keradangan. [4]
6. Teh Hijau
Meminum 4 cawan teh hijau sehari mungkin boleh membantu hati anda mencuci darah dengan berkesan.
Kajian mendapati meminum teh hijau sehingga 4 cawan sehari boleh membantu mengurangkan risiko kepada kanser hati. [5]
Kajian terhadap haiwan juga turut mendapati teh hijau boleh mengurangkan kesan buruk akibat daripada ketoksikan plumbum dan berkesan mencegah pengurangan kesuburan. [6]
7. Sayur-sayuran Cruciferous
Sayur-sayuran cruciferous seperti kubis, brokoli, kubis bunga dan kailan adalah kumpulan sayur yang mempunyai banyak nutrien dan antioksidan yang baik untuk kesihatan badan termasuklah kesihatan hati dan buah pinggang.
Makanan seperti ini adalah baik untuk membantu organ badan untuk mencuci darah dan mencegah daripada penyakit-penyakit kronik seperti kanser atau penyakit buah pinggang.
Khasiat sayur-sayuran cruciferous ini dibuktikan dalam kajian yang melaporkan bahawa sayur-sayuran jenis ini boleh mengurangkan risiko kepada kanser buah pinggang. [7]
8. Buah Kranberi
Buah kranberi adalah buah yang terkenal dengan kebaikannya terhadap saluran kencing.
Buah atau jus kranberi boleh melindungi saluran kencing daripada jangkitan bakteria yang seterusnya boleh melindungi buah pinggang daripada jangkitan bakteria.
9. Buah Beri Biru
Buah beri biru adalah buah yang kaya dengan pelbagai nutrien dan antioksidan. Buah ini boleh melindungi hati daripada kerosakan.
Kajian yang dijalankan terhadap haiwan mendapati buah beri biru boleh membantu mencegah dan mengurangkan kecederaan hati. [8]
10. Sayur Kangkung
Sayur kangkung adalah salah satu sayur yang mempunyai kebolehan untuk mencegah daripada keracunan toksik seperti plumbum atau arsenik.
Satu kajian melaporkan bahawa ekstrak kangkung boleh melindungi organ-organ dalaman daripada ketoksikan plumbum melalui perlindungan terhadap tekanan oksidatif dan penyingkiran plumbum. [9]
11. Buah Ciku
Buah ciku juga merupakan makanan yang baik untuk membantu mencuci darah melalui pelindungan terhadap hati.
Kajian mendapati buah ciku boleh membantu mengurangkan enzim-enzim yang menunjukkan kerosakan hati dan mengurangkan kerosakan struktur hati. [10]
12. Daun Kari
Daun kari yang selalu digunakan dalam masakan kari turut bermanfaat untuk membantu mencuci darah melalui perlindungan terhadap hati.
Kajian terhadap haiwan mendapati ekstrak daun kari boleh melindungi hati melalui pengurangan kerosakan sel-sel hati, pengurangan pemperoksidaan lipid (lemak) dan pengawalan terhadap enzim-enzim hati. [11]
13. Daun Selom
Daun selom yang sering dijadikan ulam juga boleh dikategorikan sebagai makanan yang baik untuk mencuci darah. Hal ini demikian kerana sifatnya yang boleh melindungi hati dan mencegah daripada kerosakan hati.
Satu kajian terhadap haiwan mendapati sebatian fenolik daripada pokok selom boleh melindungi hati daripada mengalami kerosakan melalui pengurangan tekanan pengoksidaan dan mencegah peningkatan enzim-enzim yang boleh merosakkan hati. [12]
14. Dandelion
Bunga dandelion yang selalunya dijadikan teh turut bermanfaat untuk membantu mencuci darah. Dandelion bersifat diuretik yang bermakna ia boleh membantu meningkatkan jumlah air melalui buah pinggang anda. Ciri-ciri ini boleh membantu menapis sisa buangan daripada darah anda.
Kajian terhadap haiwan turut mendapati ekstrak daun dandelion boleh mencegah daripada kecederaan hati yang berlaku akibat diet yang rendah kolina dan metionina (asid amino). [13]
15. Kunyit
Kunyit adalah herba yang digunakan dalam banyak masakan yang mempunyai banyak khasiat kesihatan. Kunyit mempunyai ciri-ciri antioksidan, antiradang dan antikanser yang kuat.
Kunyit mengandungi sebatian aktif yang dikenali sebagai kurkumin. Kajian yang melibatkan pesakit penyakit hati berlemak bukan alkohol mendapati kurkumin boleh mengurangkan lemak hati dan mengurangkan keradangan yang berlaku. [14]
Keadaan ini boleh membantu hati untuk terus berfungsi menapis dan menyingkirkan toksin dan bahan buangan daripada darah anda.
Rumusan
Terdapat banyak makanan yang baik untuk mencuci darah anda. Makanan-makanan yang disenaraikan ini boleh membantu secara langsung atau tidak langsung terhadap proses detoksifikasi darah yang melibatkan organ hati dan buah pinggang anda.
Penjagaan kesihatan hati dan buah pinggang juga amat penting bagi memastikan organ yang bertanggungjawab mencuci darah anda terus berfungsi dengan baik.
Rujukan
- GarcÃa Trejo, E. et al. (2017). The Beneficial Effects of Allicin in Chronic Kidney Disease Are Comparable to Losartan. International journal of molecular sciences.
- Hahn-Obercyger, M. et al. (2005). Grapefruit and oroblanco enhance hepatic detoxification enzymes in rats: possible role in protection against chemical carcinogenesis. Journal of agricultural and food chemistry.
- Chen, S. et al. (2014). Coffee and non-alcoholic fatty liver disease: brewing evidence for hepatoprotection?. Journal of gastroenterology and hepatology.
- Rafie, R. et al. (2020). Effect of Ginger Powder Supplementation in Patients with Non-Alcoholic Fatty Liver Disease: A Randomized Clinical Trial. Clinical and experimental gastroenterology.
- Ni, C. X. et al. (2017). Green Tea Consumption and the Risk of Liver Cancer: A Meta-Analysis. Nutrition and cancer.
- Sha’bani, N. et al. (2015). Survey of the detoxification effect of green tea extract on the reproductive system in rats exposed to lead acetate. Advanced biomedical research.
- Liu, B. et al. (2013). Cruciferous vegetables consumption and risk of renal cell carcinoma: a meta-analysis. Nutrition and cancer.
- Wang, Y. P. et al. (2010). Effects of blueberry on hepatic fibrosis and transcription factor Nrf2 in rats. World journal of gastroenterology.
- Dewanjee, S. et al. (2015). Water Spinach, Ipomoea aquatic (Convolvulaceae), Ameliorates Lead Toxicity by Inhibiting Oxidative Stress and Apoptosis. PloS one.
- Alrashood, S. T. et al. (2020). Protective effect of lyophilized sapodilla (Manilkara zapota) fruit extract against CCl4-induced liver damage in rats. Saudi journal of biological sciences.
- Sathaye, S. et al. (2011). Hepatoprotective effects of aqueous leaf extract and crude isolates of Murraya koenigii against in vitro ethanol-induced hepatotoxicity model. Experimental and toxicologic pathology.
- Ai, G. et al. (2016). The protective effect of total phenolics from Oenanthe Javanica on acute liver failure induced by D-galactosamine. Journal of ethnopharmacology.
- Davaatseren, M. et al. (2013). Dandelion leaf extract protects against liver injury induced by methionine- and choline-deficient diet in mice. Journal of medicinal food.
- Rahmani, S. et al. (2016). Treatment of Non-alcoholic Fatty Liver Disease with Curcumin: A Randomized Placebo-controlled Trial. Phytotherapy research.