Makanan yang baik dan tidak baik atau pantang larang untuk hati adalah bagi mencegah atau merawat penyakit hati berlemak. Penyakit hati berlemak adalah penyakit paling lazim yang berlaku kepada hati.
Hati berlemak adalah keadaan di mana hati menyimpan lemak yang berlebihan dan boleh menyebabkan keradangan dan parut pada hati serta kegagalan hati jika tidak dirawat. Terdapat dua jenis penyakit hati berlemak iaitu hati berlemak bukan alkohol dan hati berlemak beralkohol.
Merujuk kepada masalah ini, artikel ini menyenaraikan makanan yang baik dan tidak baik untuk hati bagi membantu anda membuat pemilihan. Makanan atau minuman ini juga boleh membantu mencegah atau mengurangkan risiko kepada hati berlemak.
Makanan yang Baik untuk Hati
Makanan atau minuman yang disenaraikan ini adalah baik untuk kesihatan hati anda. Makanan serta minuman ini juga boleh membantu mengurangkan risiko berlakunya hati berlemak atau merawat penyakit hati berlemak.
1. Kopi
Secawan kopi pada awal pagi boleh melindungi anda daripada penyakit hati berlemak.
Satu analisis yang melibatkan 11 kajian mendapati pengambilan kopi secara kerap boleh mengurangkan risiko penyakit hati berlemak bukan alkohol. Ia juga turut mempunyai perkaitan dengan pengurangan risiko terbentuknya fibrosis hati iaitu pembentukan tisu berserat dan keradangan pada hati yang boleh membawa kepada sirosis. [1]
2. Teh Hijau
Bagi anda yang tidak boleh meminum kopi, teh hijau adalah alternatif untuk anda. Teh hijau juga merupakan minuman yang baik untuk hati.
Satu kajian kecil yang melibatkan penghidap penyakit hati berlemak bukan alkohol mendapati meminum teh hijau yang tinggi dengan antioksidan selama 12 minggu boleh menambah baik paras enzim hati dan mengurangkan tekanan oksidatif dan pengumpulan lemak di hati. [2]
Selain itu, terdapat juga kajian yang mendapati pengambilan teh hijau sebanyak 4 cawan sehari atau lebih berisiko rendah untuk menghidap kanser hati. [3]
3. Sayur-sayuran Berdaun Hijau
Sayur-sayuran berdaun hijau seperti bayam, bok choy, kailan atau brokoli boleh membantu mencegah atau merawat penyakit hati berlemak.
Terdapat kajian yang dijalankan terhadap sayur bayam mendapati pemakanan sayur bayam boleh mengurangkan risiko penyakit hati berlemak bukan alkohol. Kajian ini turut melaporkan bahawa bayam segar mempunyai kesan yang kuat jika dibandingkan dengan bayam yang telah dimasak. [4]
4. Kunyit
Kunyit mengandungi sebatian aktif yang dipanggil kurkumin. Kurkumin ini boleh mengurangkan peningkatan paras enzim hati dalam kalangan pesakit hati berlemak bukan alkohol. Hati berlemak adalah penyebab utama peningkatan paras enzim hati.
Satu analisis yang melibatkan 6 kajian mendapati pengambilan kunyit atau kurkumin boleh mengurangkan paras enzim hati seperti alanine aminotransferase (ALT) dan aspartate aminotransferase (AST) dalam kalangan pesakit hati berlemak bukan alkohol. [5]
5. Bawang Putih
Bawang putih termasuklah bawang putih bakar juga merupakan makanan yang baik untuk hati. Selain menjadi penambah rasa dalam makanan, bawang putih turut boleh merawat penyakit hati berlemak.
Kajian klinikal terkini yang melibatkan 110 pesakit hati berlemak bukan alkohol melaporkan bahawa pengambilan serbuk bawang putih sebanyak 800 mg sehari selama 15 hari boleh mengurangkan lemak di hati dan paras enzim hati. [6]
Terdapat juga kajian terhadap haiwan yang mendapati bawang putih bakar turut mempunyai kesan yang baik terhadap hati dengan membantu mengurangkan paras enzim hati yang meningkat akibat diet yang tinggi dengan lemak. [7]
6. Kekacang
Kekacang adalah makanan atau snek yang berkhasiat kerana tinggi dengan antioksidan dan boleh mengurangkan keradangan. Terdapat banyak jenis kekacang yang boleh didapati di pasaran. Contohnya seperti kacang badam, kacang walnut, kacang hazel, kacang pistasio dan lain-lain.
Satu kajian yang melibatkan kira-kira 23,900 peserta mendapati pengambilan kekacang yang tinggi dikaitkan dengan penurunan risiko penyakit hati berlemak bukan alkohol. [8]
7. Ikan berlemak
Ikan berlemak adalah ikan yang tinggi dengan minyak ikan atau asid lemak Omega-3. Asid lemak Omega-3 boleh membantu mengurangkan keradangan dan mengurangkan risiko penyakit jantung.
Kajian turut mendapati asid lemak Omega-3 juga boleh membantu mengurangkan lemak hati dan trigliserida (lemak dalam darah) dan meningkatkan kolesterol baik dalam kalangan pesakit hati berlemak bukan alkohol. [9]
8. Minyak Zaitun
Minyak zaitun adalah pilihan minyak atau lemak yang sihat berbanding minyak yang lain.
Minyak zaitun turut mempunyai kesan positif kepada hati. Kesan ini dapat dilihat dalam satu kajian yang melaporkan pengambilan satu sudu teh (6.5 ml) minyak zaitun sehari selama 12 bulan boleh mengurangkan paras enzim hati dan trigliserida dalam kalangan pesakit hati berlemak bukan alkohol. [10]
9. Bijirin penuh
Bijirin penuh seperti oat, barli, rai atau beras perang adalah makanan yang baik untuk hati.
Pengambilan makanan yang tinggi dengan bijirin penuh boleh mencegah atau merawat penyakit hati berlemak bukan alkohol. [11]
10. Air kosong
Jika anda adalah golongan berisiko, beralihlah kepada air kosong berbanding minuman yang bergula.
Kajian populasi mendapati peningkatan pengambilan air kosong mempunyai perkaitan dengan penurunan risiko penyakit hati berlemak bukan alkohol terutamanya dalam kalangan lelaki. [12]
Makanan yang Tidak Baik untuk Hati
Makanan dan minuman yang disenaraikan dibawah ini pula perlu dielakkan oleh penghidap penyakit hati berlemak. Bagi anda yang masih sihat, mengurangkan pengambilan makanan atau minuman ini boleh membantu mengurangkan risiko berlaku hati berlemak.
1. Alkohol
Alkohol atau arak adalah penyumbang utama kepada penyakit hati berlemak serta penyakit hati yang lain.
Meminum alkohol dalam jumlah yang banyak, walaupun hanya beberapa hari, boleh menyebabkan pengumpulan lemak dalam hati.
Ia dikenali sebagai penyakit hati berlemak beralkohol.
2. Gula Tambahan
Makanan yang manis yang tinggi dengan gula tambahan juga boleh menyumbang kepada pengumpulan lemak di dalam hati. [13]
Gula-gula, minuman berkarbonat, jus buah, biskut, sos, ais krim, jem atau makanan segera adalah makanan dan minuman yang tinggi dengan gula tambahan.
Gula tambahan tidak terikat kepada gula putih semata-mata, ia turut melibatkan sirap jagung tinggi fraktosa (high fructose corn syrup).
3. Makanan bergoreng
Makanan bergoreng dan makanan segera adalah makanan yang tinggi dengan lemak dan kalori.
Makanan seperti ini dikelaskan sebagai diet padat tenaga yang menjurus kepada pengambilan kalori yang berlebihan.
Kajian menunjukkan pengambilan makanan seperti ini menyebabkan peningkatan berat badan dan peningkatan enzim hati yang menunjukkan peningkatan kepada risiko kepada penyakit hati berlemak. [14]
4. Daging merah
Daging merah terutamanya bahagian daging yang mempunyai lemak, tinggi dengan kandungan lemak tepu.
Daging proses juga turut mengandungi lemak tepu yang tinggi di sampingan kandungan garam tinggi dan bahan pengawet.
Anda haruslah mengehadkan pengambilan makanan seperti ini bagi mengurangkan risiko kepada penyakit hati berlemak.
5. Makanan masin (tinggi garam)
Pemakanan makanan yang tinggi dengan garam juga boleh meningkatkan risiko kepada penyakit hati berlemak bukan alkohol.
Hadkan pengambilan garam (natrium) kepda 2,300 miligram sehari.
6. Roti putih, nasi putih dan pasta
Makanan seperti roti putih, nasi putih dan pasta adalah antara contoh makanan yang terdiri daripada bijirin bertapis. Ini bermaksud makanan-makanan ini boleh meningkatkan paras gula darah dengan cepat kerana kekurangan serat.
Kajian menunjukkan pengambilan bijirin bertapis meningkatkan risiko menghidap penyakit hati berlemak bukan alkohol. [15]
Rumusan
Hati ialah organ penting yang mempunyai banyak peranan terhadap kesihatan manusia. Selain berperanan untuk menyingkirkan bahan toksik, hati turut berperanan untuk membantu memproses karbohdirat, protein dan lemak, menghasilkan asid hempedu untuk memecahkan lemak dan lain-lain lagi.
Pengumpulan lemak yang berlebihan di dalam tisu hati boleh menyebabkan keradangan dan parut pada hati. Seterusnya, ia boleh membawa kepada kerosakan hati.
Terdapat makanan tertentu yang baik dan tidak baik untuk hati. Untuk menjaga kesihatan hati dan mencegah daripada berlakunya penyakit hati berlemak, pilihlah makanan yang baik untuk hati dan jauhi makanan yang tidak baik dan boleh merosakkan hati.
Rujukan
- Hayat, U. et al. (2021). The effect of coffee consumption on the non-alcoholic fatty liver disease and liver fibrosis: A meta-analysis of 11 epidemiological studies. Annals of hepatology.
- Sakata, R. et al. (2013). Green tea with high-density catechins improves liver function and fat infiltration in non-alcoholic fatty liver disease (NAFLD) patients: a double-blind placebo-controlled study. International journal of molecular medicine.
- Ni, C. X. et al. (2017). Green Tea Consumption and the Risk of Liver Cancer: A Meta-Analysis. Nutrition and cancer.
- Mokhtari, E. et al. (2021). Spinach consumption and nonalcoholic fatty liver disease among adults: a case-control study. BMC gastroenterology.
- Goodarzi, R. et al. (2019). Does turmeric/curcumin supplementation improve serum alanine aminotransferase and aspartate aminotransferase levels in patients with nonalcoholic fatty liver disease? A systematic review and meta-analysis of randomized controlled trials. Phytotherapy research.
- Soleimani, D. et al. (2020). Therapeutic Effects of Garlic on Hepatic Steatosis in Nonalcoholic Fatty Liver Disease Patients: A Randomized Clinical Trial. Diabetes, metabolic syndrome and obesity : targets and therapy.
- Shin, J. H. et al. (2014). Hepatoprotective effect of aged black garlic extract in rodents. Toxicological research.
- Zhang, S. et al. (2019). Association between nut consumption and non-alcoholic fatty liver disease in adults. Liver international.
- Lu, W. et al. (2016). Effects of Omega-3 Fatty Acid in Nonalcoholic Fatty Liver Disease: A Meta-Analysis. Gastroenterology research and practice.
- Sofi, F. et al. (2010). Effects of a 1-year dietary intervention with n-3 polyunsaturated fatty acid-enriched olive oil on non-alcoholic fatty liver disease patients: a preliminary study. International journal of food sciences and nutrition.
- Ross, A. B. et al. (2013). Increasing whole grain intake as part of prevention and treatment of nonalcoholic Fatty liver disease. International journal of endocrinology.
- Wang, X. et al. (2021). Higher plain water intake is related to lower newly diagnosed nonalcoholic fatty liver disease risk: a population-based study. European journal of clinical nutrition.
- Jensen, T. et al. (2018). Fructose and sugar: A major mediator of non-alcoholic fatty liver disease. Journal of hepatology.
- Kechagias, S. et al.(2008). Fast-food-based hyper-alimentation can induce rapid and profound elevation of serum alanine aminotransferase in healthy subjects. Gut.
- Georgoulis, M. et al. (2014). The impact of cereal grain consumption on the development and severity of non-alcoholic fatty liver disease. European journal of nutrition.