Bawang putih adalah herba yang bukan sahaja menjadi penambah rasa dan aroma tetapi turut mempunyai nilai perubatan. Khasiat bawang putih telah lama dimanfaatkan dalam perubatan tradisional termasuklah perubatan tradisional Cina dan India.
Menurut sejarahnya, bawang putih dikatakan telah digunakan sejak 5,000 tahun dahulu lagi. Bapa perubatan barat iaitu Hippocrates telah menggunakan bawang putih untuk merawat pesakitnya.
Bawang putih atau nama saintifiknya Allium sativum telah digunakan untuk tujuan perubatan sejak tahun 1550 Sebelum Masihi untuk merawat pelbagai penyakit termasuklah kolera (taun), tifus (demam tifus), disenteri (berak berdarah) dan influenza (selesema).
Untuk membuktikan khasiat bawang putih dalam sudut kajian moden, artikel ini akan menyenaraikan beberapa khasiat bawang putih berdasarkan sokongan kajian-kajian sains yang telah dijalankan.

1. Tinggi dengan Antioksidan
Antioksidan adalah sebatian yang boleh menghalang atau meneutralkan radikal bebas. Radikal bebas boleh merosakkan sel-sel badan manusia.
Sekiranya radikal bebas ini tidak dibendung, ia boleh membawa kepada tekanan oksidatif yang banyak dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik seperti kanser, diabetes, penyakit jantung dan lain-lain lagi.
Bawang putih tinggi dengan antioksidan. Khasiat bawang putih ini dibuktikan dalam satu kajian metaanalisis terhadap 7 kajian yang melibatkan 317 peserta.
Kajian ini mendapati pengambilan bawang putih boleh meningkatkan kapasiti antioksidan dalam badan serta mengurangkan paras tekanan oksidatif. [1]
2. Boleh Melawan Keradangan
Keradangan adalah tindak balas semula jadi badan manusia apabila berlaku jangkitan, kecederaan atau terkena bahan toksik.
Walau bagaimanapun, keradangan yang berpanjang boleh memberikan kesan yang buruk terhadap badan. Pelbagai penyakit kronik seperti kanser atau penyakit kardiovaskular mempunyai perkaitan dengan keradangan.
Oleh itu, keradangan ini harus dicegah bagi mengelakkan ia bertambah buruk.
Bawang putih merupakan salah satu makanan yang boleh mencegah atau melawan keradangan. Kesan antiradang bawang putih ini daapt dilihat dalam beberapa kajian.
Kajian-kajian ini mendapati bawang putih, ekstrak bawang putih atau serbuk bawang putih boleh mengurangkan penanda-penanda keradangan. Ini menunjukkan bawang putih boleh melemahkan keradangan yang berlaku. [2, 3]
3. Boleh Merendahkan Paras Kolesterol
Khasiat bawang putih yang seterusnya ialah membantu merendahkan paras kolesterol terutamanya bagi mereka yang menghidap kolesterol tinggi (hiperlipidemia).
Satu kajian yang dijalankan terhadap 70 orang penghidap diabetes yang turut mengalami kolesterol tinggi mendapati pengambilan 300mg bawang putih (dalam bentuk tablet) sebanyak 2 kali sehari berjaya menurunkan paras jumlah kolesterol dan kolesterol LDL (kolesterol jahat) dengan ketara.
Selain itu, kumpulan pesakit yang dirawat dengan bawang putih ini juga turut mengalami kenaikan terhadap kolesterol HDL (kolesterol baik). [4]
4. Berpotensi Mencegah Kanser
Bawang putih juga berpotensi membantu mencegah kanser. Khasiat bawang putih dalam membantu mencegah kanser dilaporkan dalam beberapa kajian.
Satu kajian populasi di China mendapati pengambilan bawang putih mentah sebanyak 2 kali atau lebih dalam seminggu mengurangkan risiko kanser paru-paru. Sifat perlindungan ini bergantung kepada dos yang diambil dan bawang putih berpotensi mencegah atau merawat kanser paru-paru. [5]
Satu kajian semula yang melibatkan 21 kajian melaporkan bahawa pengambilan bawang putih boleh mengurangkan risiko kanser kolorektal (kanser usus). [6]
5. Boleh Merendahkan Tekanan Darah
Bawang putih juga berkhasiat kepada penghidap tekanan darah tinggi atau hipertensi.
Dalam satu metaanalsis yang melibatkan 8 kajian melaporkan bahawa 3 kajian menunjukkan pengambilan bawang putih boleh menurunkan tekanan darah sistolik. Manakala 4 kajian pula menunjukkan pengambilan bawang putih boleh menurunkan tekanan darah diastolik. [7]
Kajian lain yang dijalankan terhadap mereka yang menghidap hipertensi ringan dan prahipertensi mendapati pengambilan bawang putih menyebabkan penurunan ketara terhadap tekanan darah sistolik dan diastolik dalam kalangan pesakit hipertensi ringan. Kesan ini tidak dilihat dalam kalangan peserta yang mengalami prahipertensi. [8]
6. Membantu Menyahtoksikkan
Bawang putih juga berkhasiat dalam membantu menyahtoksikkan bahan toksik seperti plumbum dalam badan.
Khasiat bawang putih ini dapat dilihat dalam satu kajian yang dijalankan oleh Mashhad University of Medical Sciences, Iran.
Kajian selama 4 minggu terhadap 114 pekerja kilang pembuat bateri kereta yang terdedah kepada plumbum mendapati terdapat penurunan yang signifikan terhadap kepekatan plumbum dalam darah setelah pengambilan bawang putih.
Oleh itu, bawang putih disarankan sebagai rawatan kepada keracunan plumbum pada kadar rendah hingga sederhana. [9]
7. Boleh Mencegah Jangkitan Bakteria
Bawang putih telah digunakan sejak zaman dahulu lagi dalam merawat penyakit berjangkit. Dikatakan, ahli biologi Perancis, Louis Pasteur telah menerangkan mengenai kesan antibakteria bawang putih sejak 1858 lagi.
Menurut kajian yang dijalankan oleh Xionan Lu yang diterbitkan dalam Journal of Antimicrobial Chemotherapy. Sebatian bioaktif dalam bawang putih iaitu “diallyl sulphide” didapati mempunyai keberkesanan 100 kali lebih baik berbanding dua antibiotik yang popular dalam melawan bakteria Campylobacter jejuni iaitu bakteria yang menyebabkan penyakit usus. [10]
Selain itu, terdapat juga kajian yang mendapati serbuk bawang putih, minyak bawang putih dan sebatian diallyl sulfur turut mempunyai kesan antibakteria terhadap bakteria Helicobacter pylori iaitu bakteria yang boleh menyebabkan penyakit dalam usus. [11]
8. Boleh Merawat Penyakit Kulit
Khasiat bawang putih turut bermanfaat dalam perawatan terhadap penyakit kulit.
Satu kajian oleh pengkaji dari Shiraz University of Medical Science, Iran mendapati rawatan menggunakan ekstrak bawang putih (ekstak lipid) boleh digunakan untuk merawat ketuat. Rawatan menggunakan ekstrak bawang putih ini berjaya mengubati ketuat sepenuhnya tanpa berlaku perulangan selama 3 hingga 4 bulan. [12]
Terdapat juga kajian yang melaporkan bahawa minyak herba yang turut mengandungi ekstrak bawang putih boleh merawat ulser vena. Ulser vena adalah luka pada kaki akibat daripada masalah kitaran darah dalam saluran darah di kaki. [13]
9. Menguatkan Sistem Imun
Pengambilan suplemen daripada bawang putih juga didapati boleh meningkatkan fungsi sistem imun.
Satu kajian selama 12 minggu mendapati pengambilan suplemen bawang putih yang megandungi allicin setiap hari berjaya mengurangkan demam selesema sebanyak 63%. Selain itu, tempoh demam selesema ini juga turut berkurangan bagi kumpulan yang mengambil suplemen bawang putih tersebut. [14]
Kajian lain juga turut mendapati pengambilan ekstrak bawang putih bakar boleh mengurangkan tempoh, simptom dan keterukan demam selesema. Hasil kajian ini menunjukkan pengambilan ekstrak bawang putih bakar boleh meningkatkan sistem imun badan. [15]
10. Boleh Mengurangkan Sakit Sendi
Osteoartritis adalah salah satu penyakit degeneratif yang menjejaskan sendi tulang yang mengakibat sakit serta keradangan di bahagian sendi.
Bawang putih didapati boleh mengurangkan kesakitan pada sendi bagi mereka yang mengalami osteoartritis ini.
Satu kajian yang dijalankan terhadap wanita yang obes dan mempunyai berat berlebihan mendapati pengambilan suplemen bawang putih sebanyak 1000 mg sehari selama 12 minggu berjaya mengurangkan simptom-simptom sakit sendi lutut yang dialami oleh mereka. [16]
Kajian hampir sama turut mendapati pengambilan suplemen bawang putih sebanyak 500mg dua kali sehari selama 12 minggu turut mengurangkan kesakitan sendi lutut bagi wanita yang obes dan mempunyai berat badan berlebihan. [17]
Tips Untuk Mendapatkan Khasiat Bawang Putih Semaksimum Mungkin
Bawang putih mengandungi sebatian sulfur organik yang dikenali sebagai ‘allicin’. Allicin ini terbentuk selepas bawang putih dipotong atau dihancurkan. Allicin ini mempunyai banyak manfaat kesihatan dan mempunyai ciri-ciri antioksidan dan mengurangkan keradangan.
Oleh itu, beberapa tips ini boleh diamalkan semasa memasak untuk mendapatkan manfaat daripada allicin ini.
- Gunakan bawang putih yang segar dan bukannya yang di dalam botol atau yang telah dikeringkan (serbuk).
- Selepas memotong atau menghancurkan bawang putih, biarkan sekitar 10-15 minit. Ini untuk membolehkan allicin terbentuk sepenuhnya.
- Menghancurkan adalah kaedah terbaik untuk mendapatkan manfaat bawang putih berbanding mencincang atau menghiris. Ini kerana, semakin banyak sel-sel bawang putih ini dihancurkan semakin banyak enzim yang dilepaskan.
Rumusan
Bawang putih adalah herba yang sinonim digunakan dalam masakan oleh masyrakat di negara ini. Selain menjadi penambah rasa, bawang putih juga turut kaya dengan pelbagai khasiat.
Kajian-kajian sains telah mendapati bawang putih tinggi dengan kandungan antioksidan, bersifat antiradang, boleh merendahkan paras kolesterol, berpotensi mencegah kanser dan lain-lain lagi.
Selain dimakan segar, bawang putih juga banyak dijual dalam bentuk suplemen. Walau bagaimanapun, bawang putih boleh menyebabkan bau mulut ataupun sendawa yang tidak menyenangkan.
Rujukan
- Moosavian, S. P. et al. (2020). The effects of garlic supplementation on oxidative stress markers: A systematic review and meta-analysis of randomized controlled trials. Complementary therapies in medicine.
- Zare, E. et al. (2019). Evaluating the effect of garlic extract on serum inflammatory markers of peritoneal dialysis patients: a randomized double-blind clinical trial study. BMC nephrology.
- Darooghegi Mofrad, M. et al. (2019). Garlic Supplementation Reduces Circulating C-reactive Protein, Tumor Necrosis Factor, and Interleukin-6 in Adults: A Systematic Review and Meta-analysis of Randomized Controlled Trials. The Journal of nutrition.
- Ashraf, R. et al. (2005). Effects of garlic on dyslipidemia in patients with type 2 diabetes mellitus. Journal of Ayub Medical College, Abbottabad.
- Jin, Z. Y. et al. (2013). Raw garlic consumption as a protective factor for lung cancer, a population-based case-control study in a Chinese population. Cancer prevention research.
- Ngo, S. N. et al. (2007). Does garlic reduce risk of colorectal cancer? A systematic review. The Journal of nutrition.
- Silagy, C. A., & Neil, H. A. (1994). A meta-analysis of the effect of garlic on blood pressure. Journal of hypertension.
- Nakasone, Y. et al. (2013). Effect of a traditional Japanese garlic preparation on blood pressure in prehypertensive and mildly hypertensive adults. Experimental and therapeutic medicine.
- Kianoush, S. et al. (2012). Comparison of therapeutic effects of garlic and d-Penicillamine in patients with chronic occupational lead poisoning. Basic & clinical pharmacology & toxicology.
- Lu, X. et al. (2012). Antimicrobial effect of diallyl sulphide on Campylobacter jejuni biofilms. The Journal of antimicrobial chemotherapy.
- O’Gara, E. A. et al. (2000). Activities of garlic oil, garlic powder, and their diallyl constituents against Helicobacter pylori. Applied and environmental microbiology.
- Dehghani, F. et al. (2005). Healing effect of garlic extract on warts and corns. International journal of dermatology.
- Kundaković, T. et al. (2012). Treatment of venous ulcers with the herbal-based ointment Herbadermal®: a prospective non-randomized pilot study. Forschende Komplementarmedizin.
- Josling P. (2001). Preventing the common cold with a garlic supplement: a double-blind, placebo-controlled survey. Advances in therapy.
- Nantz, M. P. et al. (2012). Supplementation with aged garlic extract improves both NK and γδ-T cell function and reduces the severity of cold and flu symptoms: a randomized, double-blind, placebo-controlled nutrition intervention. Clinical nutrition.
- Salimzadeh, A. et al. (2018). The effect of 12-week garlic supplementation on symptom relief in overweight or obese women with knee osteoarthritis. International journal of clinical practice.
- Dehghani, S. et al. (2018). The effect of a garlic supplement on the pro-inflammatory adipocytokines, resistin and tumor necrosis factor-alpha, and on pain severity, in overweight or obese women with knee osteoarthritis. Phytomedicine.