Khasiat teh hijau untuk kesihatan telah berjaya dibuktikan dengan kajian sains. Teh hijau juga lebih sinonim dengan mereka yang berdiet kerana dipercayai boleh membantu menurunkan berat badan.
Teh hijau (Camellia sinensis) berasal dari negara China dan India dan telah digunakan sejak beribu tahun dahulu. Teh hijau dihasilkan daripada daun teh yang matang dan tanpa fermentasi.
Teh hijau telah digunakan dalam perubatan tradisional China dan India sebagai ubat untuk mengawal pendarahan, menyembuhkan luka, membantu penghadaman, mengingkatkan kesihatan hati dan minda dan juga mengawal suhu badan.
Teh ini kaya dengan antioksidan dan nutrien yang sangat berguna untuk badan kita.
Berikut merupakan 7 khasiat teh hijau yang disokong oleh kajian sains:
1. Teh Hijau Meningkatkan Fokus, Ingatan dan Fungsi Otak
Satu kajian semula mengenai khasiat teh hijau kepada fungsi kognisi dan fungsi otak, mendapati bahan utama dalam teh hijau yang dikenali sebagai EGCG (epigallocatechin gallate) dan L-theanine dapat meningkatkan kedua-dua fungsi ini. [1]
Pengambilan teh hijau (minima 100ml) setiap hari juga mempunyai kebaikan jangka panjang seperti menenangkan minda dan mengurangkan risiko penyakit demensia.
2. Teh Hijau Boleh Merawat dan Mencegah Penyakit Berjangkit
Penyakit berjangkit adalah penyebab utama kepada kematian dan morbiditi di seluruh dunia. HIV/AIDS dan malaria adalah antara sepuluh teratas penyakit berjangkit di dunia.
Komponen utama yang paling berkaitan dengan perubatan dalam teh hijau ialah katekin. Katekin ialah salah satu daripada sebatian flavonoid dalam teh hijau.
Kajian mendapati katekin ini mempunyai ciri-ciri antibakteria seperti E.coli dan ciri-ciri antivirus seperti HCV, HIV, influenza dan rotavirus. [2]
Katekin ini juga dapat boleh mengurangkan bilangan dan pertumbuhan parasit. Antaranya ialah Plasmodium falciparum, Babesia spp., Trypanosoma brucei, Trypanosoma cruzi, dan Leishmania braziliensis. [3, 4]
Beberapa kajian juga mendapati teh hijau juga boleh mencegah demam dan influenza A atau B. [5, 6]
3. Teh Hijau Meningkatkan Pembakaran Lemak dan Kadar Metabolisma
Jika diperhatikan, kebanyakan suplemen pembakar lemak (fat burning supplement) mengandungi ekstrak teh hijau didalamnya.
Hal ini demikian kerana, berdasarkan kajian, teh hijau didapati boleh meningkatkan pembakaran lemak dan kadar metabolisma badan. [7]
Kajian lain mendapati pengambilan ekstrak teh hijau dapat meningkatkan pengoksidaan lemak sebanyak 17% yang menunjukkan teh hijau boleh membantu dalam meningkatkan pembakaran lemak. [8]
Kajian-kajian ini menjawab kepada perkaitan antara teh hijau dengan pengurangan berat badan.
4. Teh Hijau Mempunyai Ciri-Ciri Antikanser
Satu kajian semula terhadap ciri-ciri antikanser teh hijau terhadap penghidap kanser payudara mendapati teh hijau boleh mencegah dan merawat kanser payudara.
Teh ini dilihat dapat mencegah percambahan sel-sel kanser payudara dan menghalang karsinogenesis (proses pembentukan dan perkembangan kanser). [9]
Satu kajian yang dijalankan terhadap lelaki Jepun mendapati pengambilan teh hijau dapat mengurangkan risiko terhadap kanser prostat tahap 4. [10]
5. Teh Hijau Mengurangkan Risiko Penyakit Kardiovaskular
Teh hijau juga berkhasiat dalam membantu mengurangkan risiko terhadap penyakit kardiovaskular seperti penyakit jantung dan strok.
Khasiat teh hijau ini dirumuskan dalam satu kajian semula yang melibatkan 55 kajian. Kajian tersebut mendapati pengambilan teh hijau dapat menurunkan paras kolesterol LDL (kolesterol jahat), kolesterol total dan meningkatkan kolesterol HDL (kolesterol baik). [11]
Selain itu juga, pengambilan teh hijau turut menambaik baik profil gula darah dan tekanan darah.
Paras kolesterol yang tinggi boleh meningkatkan risiko kepada penyakit jantung manakala tekanan darah tinggi boleh meningkatkan risiko terhadap strok.
6. Teh Hijau Bagus untuk Kesihatan Tulang
Osteoporosis menjadi satu masalah kesihatan kepada lelaki dan wanita berumur.
Berdasarkan kajian, terdapat beberapa mekanisma teh hijau dalam melindungi kelesapan tulang. Antaranya ialah mengurangkan kelesapan tulang melalui: [12, 13]
- Tindakan antitekanan oksidatif.
- Mengurangkan kelesapan tulang dengan tindakan antiradang.
- Meningkatkan indeks pembentukan tulang.
- Mengurangkan indeks penyerapan tulang
7. Teh Hijau Boleh Membantu Mengawal Tekanan Darah
Satu kajian yang dijalankan terhadap 100 orang pesakit yang menghidap tekanan darah tinggi dan kencing manis mendapati, teh hijau dapat mengurangkan tekanan darah sistolik dan diastolik. [14]
Kajian selama 2 bulan terhadap 63 pesakit diabetes jenis 2 mendapati, pengambilan teh hijau sebanyak 4 cawan sehari dapat mengurangkan berat badan, BMI, ukur lilit pinggang dan tekanan darah sistolik. [15]
Rumusan
Teh hijau mempunyai khasiat yang banyak untuk kesihatan kita dan sesuai menjadi minuman harian kita. Kajian-kajian sains perubatan membuktikan kebaikannya kepada kita.
Harus diingat juga, pengambilan teh ini adalah terbaik tanpa tambahan gula pasir. Bagi mengurangkan kesan rasa kelat dalam air teh ini, penggunaan pengganti gula semula jadi boleh membantu.
Rujukan
- Mancini, E. et al. (2017). Green tea effects on cognition, mood and human brain function: A systematic review. Phytomedicine.
- Reygaert W. C. (2018). Green Tea Catechins: Their Use in Treating and Preventing Infectious Diseases. BioMed research international.
- Aboulaila, M. et al. (2010). Inhibitory effects of (-)-epigallocatechin-3-gallate from green tea on the growth of Babesia parasites. Parasitology.
- Vigueira, P. A. et al. (2012). Effects of the green tea catechin (-)-epigallocatechin gallate on Trypanosoma brucei. International journal for parasitology.
- Rowe, C. A. et al. (2007). Specific formulation of Camellia sinensis prevents cold and flu symptoms and enhances gamma,delta T cell function: a randomized, double-blind, placebo-controlled study. Journal of the American College of Nutrition.
- Park, M. et al. (2011). Green tea consumption is inversely associated with the incidence of influenza infection among schoolchildren in a tea plantation area of Japan. The Journal of nutrition.
- Diepvens, K. et al. (2007). Obesity and thermogenesis related to the consumption of caffeine, ephedrine, capsaicin, and green tea. American journal of physiology. Regulatory, integrative and comparative physiology.
- Venables, M. C. et al. (2008). Green tea extract ingestion, fat oxidation, and glucose tolerance in healthy humans. The American journal of clinical nutrition.
- Rafieian-Kopaei, M., & Movahedi, M. (2017). Breast cancer chemopreventive and chemotherapeutic effects of Camellia Sinensis (green tea): an updated review. Electronic physician.
- Kurahashi, N. et al. (2008). Green tea consumption and prostate cancer risk in Japanese men: a prospective study. American journal of epidemiology.
- Zamani, M. et al. (2023). The effects of green tea supplementation on cardiovascular risk factors: A systematic review and meta-analysis. Frontiers in nutrition.
- Shen, C. L. et al. (2009). Green tea and bone metabolism. Nutrition research.
- Shen, C. L. et al. (2011). Green tea and bone health: Evidence from laboratory studies. Pharmacological research.
- Mozaffari-Khosravi, H. et al. (2013). The effect of green tea and sour tea on blood pressure of patients with type 2 diabetes: a randomized clinical trial. Journal of dietary supplements.
- Mousavi, A. et al. (2013). The effects of green tea consumption on metabolic and anthropometric indices in patients with Type 2 diabetes. Journal of research in medical sciences.