Perubahan warna air kencing boleh berlaku disebabkan oleh beberapa sebab dan perubahan ini boleh melibatkan warna, bau dan kekerapan anda membuang air kecil. Selalunya perubahan ini tidak berbahaya, tetapi ia juga boleh disebabkan oleh masalah kesihatan.
Warna air kencing yang normal adalah dari jernih hingga kuning pucat. Warna tersebut bergantung kepada pigmen yang dipanggil urokrom dan kepekatan air kencing.
Air kencing ini juga mempunyai bau yang bergantung kepada makanan yang anda makan.

Punca Perubahan Warna Air Kencing
Pigmen dan sebatian lain yang terkandung dalam sesetengah makanan dan ubat-ubatan boleh mengubah warna air kencing.
Makanan seperti ubi bit, buah beri dan kacang parang adalah antara makanan yang boleh memberi kesan kepada warna air kencing. Selain itu, ubat-ubatan juga boleh menyebabkan perubahan warna terhadap air kencing.
Air Kencing Berwarna Menjadi Merah atau Merah Jambu
Air kencing yang berubah warna menjadi merah atau merah jambu mungkin mendatangkan rasa cemas atau kekhuatiran. Walau bagaimanapun, warna tersebut tidak semestinya menandakan masalah yang serius.
Antara penyebab yang menyebabkan air kencing berwarna merah atau merah jambu adalah:
- Makanan: Makanan seperti ubi bit, buah naga, beri hitam dan rubarb boleh menyebabkan air kencing berwarna merah dan merah jambu (pink).
- Darah: Kehadiran darah dalam air kencing boleh menyebabkan perubahan warna tersebut. Ia boleh disebabkan oleh jangkitan saluran kencing (kencing kotor), pembesaran prostat, tumor, sista buah pinggang, batu karang dan berlari jarak jauh.
- Ubat-ubatan: Ubat antibiotik Rifampin, ubat phenazopyridine dan laksatif mengandungi senna boleh menyebabkan perubahan warna.
Air Kencing Berwarna Oren
Air kencing berwarna oren boleh disebabkan oleh:
- Ubat-ubatan: Ubat-ubatan seperti sulfasalazine, phenazopyridine, laksatif dan ubat kemoterapi tertentu boleh menyebabkan air kencing berubah kepada warna oren.
- Masalah kesihatan: Masalah kesihatan berkaitan dengan hati dan saluran hempedu boleh menyebabkan air kencing berwarna oren. Dehidrasi juga boleh menyebabkan air kencing menjadi warna oren akibat air kencing yang memekat.
Air Kencing Berwarna Biru atau Hijau
Air kencing yang berwarna biru atau hijau pula boleh disebabkan oleh:
- Ubat-ubatan: Ubat-ubatan yang boleh menyebabkan air kencing berwarna biru atau hijau adalah amitriptyline, indomethacin dan propofol.
- Pewarna: Sesetengah pewarna makanan yang cerah boleh menyebabkan air kencing berwarna hijau. Terdapat juga pewarna yang digunakan untuk menguji fungsi buah pinggang dan pundi kencing yang boleh menyebabkan air kencing berwarna biru.
- Masalah kesihatan: Jangkitan saluran kencing akibat bakteria pseudomonas boleh menyebabkan air kencing berwarna hijau. Penyakit ganjil seperti hiperkalsemia kekeluargaan benigna juga boleh menyebabkan kanak-kanak mempunyai air kencing berwarna biru.
Air Kencing Berwarna Coklat Tua atau Berwarna Seperti Teh
Air kencing berwarna coklat tua atau berwarna seperti air teh pula boleh disebabkan oleh:
- Makanan: Air kencing anda boleh berubah menjadi coklat tua sekiranya anda memakan kacang fava (kacang parang), rubarb atau aloe vera pada jumlah yang banyak.
- Ubat-ubatan: Ubat yang boleh menyebabkan air kencing menjadi coklat gelap adalah seperti ubat antimalaria (chloroquine dan primaquine), ubat antibiotik (metronidazole dan nitrofurantoin), laksatif yang mengandungi senna dan cascara dan ubat relaksan otot (methocarbamol).
- Masalah kesihatan: Jangkitan saluran kencing, penyakit buah pinggang dan kegagalan hati boleh menyebabkan air kencing menjadi coklat tua.
- Senaman ekstrem: Kerosakan buah pinggang dan kecederaan otot akibat senaman yang ekstrem boleh menyebabkan air kencing menjadi seperti air teh.
Air Kencing Berwarna Keruh
Air kencing berwarna keruh boleh disebabkan oleh:
- Jangkitan saluran kencing
- Penyakit batu karang
Air kencing keruh dan berbuih pula boleh menjadi simptom kepada penyakit seperti penyakit Crohn atau divertikulitis.
Bila Perlu Berjumpa Doktor?
Sila dapatkan rawatan lanjut sekiranya anda mendapati:
- Terdapat darah dalam air kencing: Darah dalam air kencing boleh menjadi petanda kepada jangkitan saluran kencing dan batu karang. Selalunya ia turut menyebabkan kesakitan. Jika ia tidak menyebabkan rasa sakit, ia mungkin tanda kepada kanser.
- Air kencing berwarna gelap dan oren: Sekiranya air kencing anda berwarna gelap dan oren serta diikuti najis yang pucat, kulit dan mata berwarna kuning – anda mungkin mengalami kegagalan hati.
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2020). Urine color. MayoClinic
- Cleveland Clinic medical professional. (2020). Urine Changes. Cleveland Clinic