Khasiat daun Senna atau Sanna menjadi perbualan pada masa kini. Daun Senna atau turut dikenali sebagai daun gelenggang ini dipercayai boleh membantu melegakan sembelit kerana ciri-ciri laksatifnya.
Justeru itu, artikel ini membantu menerangkan kepada anda mengenai khasiat daun Senna, kesan sampingan yang wujud dan bagaimana cara pengambilan yang disyorkan.
Daun Senna atau turut dikenali daun gelenggang adalah daun dari tumbuhan jenis renek. Secara saintifiknya pokok Senna dikenali dengan nama Senna alata atau Cassia alata.
Terdapat banyak spesies pokok Senna yang tersebar secara meluas di negara-negara di Asia Tenggara, Amerika, Australia, Afrika, Nigeria, Afrika dan Kepulauan Pasifik.

Perubatan tradisional menggunakan daun Senna secara luaran untuk merawat kurap, kayap, gatal-gatal, edema (sembab), ekzema dan gigitan serangga. Manakala, air rebusan daun Senna diminum sebagai pelawas.
Melihat potensi ini, kajian-kajian moden telah dijalankan untuk mengetahui potensi dan khasiat daun Senna dari sudut sains.
Khasiat Daun Senna
Berikut adalah khasiat-khasiat daun Senna berdasarkan kajian-kajian moden:
1. Boleh Melegakan Sembelit
Air rebusan atau teh daun Senna telah lama digunakan untuk merangsang pergerakan usus besar bagi melegakan sembelit.
Kesan laksatif daun Senna disumbang oleh sebatian aktif dikenali sebagai Senna glikosida atau sennosides. Sennosides tidak boleh diserap di dalam saluran usus, tetapi sebatian ini boleh dicernakan oleh bakteria usus. [1]
Hasil cernaan sennosides ini merangsang pergerakan usus dan menghasilkan kesan julap atau laksatif.
Satu kajian klinikal yang dijalankan terhadap kanak-kanak yang menghadapi masalah sembelit mendapati pengambilan Senna boleh bertindak sebagai laksatif yang berkesan tanpa menjejaskan kekerapan pembuangan air besar. [2]
Terdapat juga kajian klinikal yang melaporkan bahawa laksatif pukal yang ditambah Senna meningkatkan kekerapan pembuangan air besar berbanding ubat laksatif. Kajian ini juga mendapati laksatif pukal yang ditambah Senna lebih efisien dalam merawat sembelit dalam kalangan pesakit warga emas. [3]
2. Berpotensi Membantu Mengawal Paras Gula Darah
Daun Senna juga didapati mempunyai potensi dalam membantu mengawal paras gula darah yang bermanfaat kepada pesakit kencing manis atau diabetes.
Khasiat daun Senna ini dilaporkan disumbang oleh keupayaannya untuk merencatkan enzim α-glukosidase iaitu enzim yang bertanggungjawab untuk mencernakan karbohidrat kepada gula ringkas (glukosa) di dalam usus.
Kesan perencatan α-glukosidase ini dilihat lebih baik daripada ubat yang digunakan secara klinikal. [4]
Kesan perencatan enzim ini akan menyebabkan lebih banyak karbohidrat yang dimakan akan disingkirkan (dikumuhkan) berbanding dicerna menjadi gula ringkas (glukosa). Keadaan ini boleh membantu menurunkan paras gula dalam darah.
3. Bagus untuk Pembersihan Usus
Daun Senna juga dilihat mempunyai manfaat untuk pembersihan usus terutamanya bagi menjalani prosedur kolonoskopi.
Khasiat daun senna ini ditunjukkan dalam satu kajian yang melibatkan 134 pesakit yang akan menjalani prosedur kolonoskopi. Pesakit diberikan 180 mg tablet Senna atau 95 ml cecair sodium phosphate (laksatif masin) sehari sebelum prosedur dijalankan.
Hasil kajian ini mendapati, kebersihan usus lebih tinggi dalam kumpulan yang diberikan cecair sodium phosphate berbanding tablet Senna. Walau bagaimanapun, tablet Senna ini boleh dianggap laksatif alternatif kerana rasanya yang lebih baik dan kurang menyebabkan kesan sampingan. [5]
Terdapat juga kajian yang melaporkan tablet Senna didapati berkesan untuk membersihkan usus besar dan diterima baik berbanding cecair polyethylene glycol iaitu ubat laksatif. [6]
4. Tinggi dengan Kandungan Antioksidan
Selain itu juga, daun Senna turut tinggi dengan kandungan antioksidan. Aktiviti antioksidan daun Senna dipercayai mempunyai kaitan dengan kandungan fenolik dan flavanoid seperti katekin, proantosianidin, rutin, kaempferol, quercimeritrin dan lain-lain.
Antioksidan adalah sebatian yang boleh melindungi sel-sel badan yang sihat daripada kerosakan akibat radikal bebas.
Sekiranya berlaku ketidakseimbangan antara antioksidan dan radikal bebas, ia boleh membawa kepada tekanan oksidatif. Tekanan oksidatif ini dikaitkan dengan banyak penyakit kronik seperti kanser, penyakit jantung, penyakit kencing manis, hipertensi dan lain-lain.
5. Boleh Mencegah Jangkitan Bakteria dan Kulat
Daun Senna didapati boleh mencegah jangkitan bakteria dan kulat (fungi).
Terdapat kajian-kajian yang mendapati ekstrak Senna boleh mencegah bakteria-bakteria seperti Escherichia coli, Proteus mirabilis, Pseudomonas aeruginosa, Salmonella typhimurium, Shigella flexneri, Staphylococcus aureus dan Streptococcus pyogenes. [7]
Bakteria-bakteria ini boleh menyebabkan keracunan makanan, syigelosis, jangkitan saluran kencing (kencing kotor), tonsilitis atau jangkitan dalam darah.
Di samping itu, terdapat juga kajian yang mendapati ekstrak Senna boleh mencegah jangkitan daripada fungi seperti Aspergillus flavus, Candida albicans, Cryptococcus neoformans, Microsporum canis, Microsporum gypseum dan Trichophyton mentagrophyte. [7]
Fungi-fungi ini menyebabkan jangkitan terhadap mulut, faraj wanita, jangkitan paru-paru dan otak, jangkitan kulit kepala, kulit badan dan kurap.
Kesan Sampingan, Risiko dan Langkah Berjaga-jaga
Daun Senna secara umumnya selamat untuk dimakan dan boleh diterima baik tetapi boleh menyebabkan kesan sampingan jika diambil pada dos yang tinggi dan pada jangka masa yang panjang.
Kebanyakan kesan sampingan yang berlaku adalah ringan. Contohnya seperti:
- Kekejangan perut
- Loya
- Cirit-birit
Terdapat kajian kes yang melaporkan seorang pesakit wanita mengalami kehilangan berat badan yang teruk, sembab, masalah pencernaan, peningkatan petunjuk kepada kerosakan hati dan otot serta peningkatan paras kolesterol dan lemak dalam darah akibat daripada pengambilan ekstak Senna yang terlalu lama. [8]
Pengambilan daun Senna atau ekstrak daun Senna pada satu jangka masa panjang boleh mendatangkan risiko yang serius. Sekiranya, anda mengalami tanda-tanda seperti sentakan otot, penting untuk anda berhenti mengambil herba ini.
Pengambilan herba laksatif seperti daun Senna pada jangka masa panjang boleh meningkatkan risiko kepada:
- Peningkatan penyingkiran mineral kalium (potassium)
- Sentakan otot
- Otot menjadi lemah
- Kegagalan jantung
Pengambilan daun Senna atau ekstrak Senna juga tidak disarankan kepada wanita mengandung dan menyusukan anak.
Tambahan itu, daun Senna atau ekstrak Senna mungkin boleh mendatangkan kesan negatif jika diambil bersama-sama dengan ubat-ubat berikut:
- Pencair darah
- Diuretik
- Kortikosteroid
- Ubat ritma jantung
Tidak Sepatutnya Digunakan untuk Mengurangkan Berat Badan
Daun Senna atau ekstrak Senna tidak disarankan digunakan secara kerap dan dalam jangka masa yang panjang. Hal ini demikian kerana ia boleh mengubah fungsi normal tisu-tisu usus besar dan menyebabkan kebergantungkan kepada laksatif. [9]
Terdapat kajian terkini yang melaporkan bahawa wanita yang bergantung kepada laksatif untuk mengurangkan berat badan adalah 6 kali ganda lebih berkemungkinan untuk mengalami gangguan makan (eating disorder). [10]
Cara Pengambilan Daun Senna atau Dos yang Disarankan
Daun Senna biasanya dimakan dengan cara merebus daunnya atau dijadikan teh herba. Selain itu, terdapat juga produk-produk daun Senna atau sebatian aktifnya yang dijual dalam bentuk kapsul, tablet atau cecair.
Daun Senna atau produknya disarankan diambil sebelum tidur kerana kesannya akan bermula 6 hingga 12 jam kemudian.
Produk Senna tidak boleh digunakan untuk tempoh yang lebih lama daripada 1-2 minggu.
Bagi produk belian kaunter (beli di farmasi) yang mengandungi Senna atau bahan aktifnya sennosides, dos yang sesuai adalah mengikut ketetapan yang dinyatakan oleh pengilang atau pengeluar.
Pastikan anda membeli produk yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Rumusan
Daun Senna adalah daun tumbuhan herba yang lazimnya digunakan untuk melegakan sembelit.
Selain itu, daun Senna turut mempunyai khasiat-khasiat lain seperti mempunyai ciri-ciri antidiabetes, boleh membersihkan usus, kaya dengan antioksidan dan boleh mencegah jangkitan bakteria dan kulat.
Walaupun ramai yang mendakwa ia bagus untuk mengurangkan berat badan, namun anda tidak sepatutnya mengambilnya sebagai detox atau suplemen untuk mengurangkan berat badan. Ini bagi mengelakkan kebergantungan terhadap laksatif.
Selain itu, daun Senna juga tidak disarankan digunakan pada jangka masa yang panjang bagi mengelakkan kesan negatif.
Rujukan
- LiverTox: Clinical and Research Information on Drug-Induced Liver Injury [Internet]. Bethesda (MD): National Institute of Diabetes and Digestive and Kidney Diseases; 2012-. Senna. [Updated 2020 Apr 1].
- Santos-Jasso, K. A. et al. (2017). Effectiveness of senna vs polyethylene glycol as laxative therapy in children with constipation related to anorectal malformation. Journal of pediatric surgery.
- Kinnunen, O. et al. (1993). Safety and efficacy of a bulk laxative containing senna versus lactulose in the treatment of chronic constipation in geriatric patients. Pharmacology.
- Varghese, G. K. et al. (2013). Antidiabetic components of Cassia alata leaves: identification through α-glucosidase inhibition studies. Pharmaceutical biology.
- Kositchaiwat, S. et al. (2006). Comparative study of two bowel preparation regimens for colonoscopy: senna tablets vs sodium phosphate solution. World journal of gastroenterology.
- Radaelli, F. et al. (2005). Efficacy and Acceptability of High Dose Senna Compared with Standard Polyethylene Glycol Solution for Colon Cleansing Prior To Colonoscopy: Preliminary Results of a Randomized, Investigator-Blind Trial. Gastrointestinal Endoscopy.
- Alshehri, M. M. et al. (2022). A Review of Recent Studies on the Antioxidant and Anti-Infectious Properties of Senna Plants. Oxidative medicine and cellular longevity.
- Raposo, J., & Velho, P.H. (2010). Prolonged ingestion of senna: weight loss, cyclic edema, dyspepsia and hepatoneuromyopathy.
- Medline Plus. (2016). Senna.
- Levinson, J. A. et al. (2020). Diet Pill and Laxative Use for Weight Control and Subsequent Incident Eating Disorder in US Young Women: 2001-2016. American journal of public health.