Buah naga adalah buah tropika yang berasal dari Selatan Amerika tetapi kini banyak ditanam di seluruh dunia termasuklah Malaysia. Dek kerana khasiat dan keenakkannya, buah naga ini semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat tempatan.
Buah naga turut dikenali dengan beberapa nama lain seperti pitaya, pitahaya atau buah mata naga. Secara saintifiknya buah ini dikenali sebagai Hylocereus spp.
Terdapat 3 jenis buah naga iaitu:
- buah yang berkulit merah dengan isi putih (Hylocereus undatus)
- buah yang berkulit merah dengan isi merah (Hylocereus polyrhizus)-buah naga merah
- buah yang berkulit kuning dengan isi putih (Hylocereus megalanthus)
Buah naga biasanya dimakan segar tetapi ada juga menjadikan buah ini sebagai jus atau dicampur bersama-sama aiskrim.
Sekiranya anda tertanya-tanya apakah khasiat yang terkandung dalam buah naga ini, anda berada ditempat yang betul. Dalam artikel ini, kami senaraikan beberapa khasiat buah naga yang boleh dimanfaatkan oleh mereka yang memakannya.
1. Mengandungi Zat-zat Penting
Selain enak dan berjus, buah naga juga turut mengandungi zat-zat atau nutrien-nutrien penting.
Bagi 100 gram buah naga dengan biji, terdapat nutrien-nutrien berikut: [1,10]
- Kalori/Tenaga: 60 kcal
- Protein: 1.2 gram
- Karbohidrat: 12.9 gram
- Serat: 2.9 gram
- Kalsium: 18 miligram
- Zat besi: 0.7 miligram
- Magnesium: 40 miligram
- Vitamin C: 2.5 miligram
- Vitamin B2: 0.1 miligram
- Vitamin B3: 0.4 miligram
- Vitamin A: 59 IU
- Vitamin E: 0.26 miligram
2. Kaya dengan Antioksidan
Antioksidan ialah sebatian yang boleh mencegah atau melindungi sel-sel badan daripada rosak akibat daripada radikal bebas.
Sekiranya tidak dibendung, radikal bebas ini akan menyebabkan tekanan oksidatif. Tekanan oksidatif ini dikaitkan dengan pelbagai penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes, kanser dan lain-lain.
Buah naga juga turut mengandungi sebatian-sebatian antioksidan yang bermanfaat kepada pemakannya.
Kajian menunjukkan bahawa isi buah naga mengandungi antioksidan seperti: [2, 3]
- likopena
- beta-karotena
- vitamin C
- vitamin E
- betasianin
- betalain
- flavonoid
Biji buah naga juga boleh dijadikan minyak pati. Minyak pati biji buah naga ini tinggi dengan kandungan asid lemak dan antioksidan.
Selain itu, kulit buah naga juga turut tinggi dengan kandungan antioksidan. Walaupun kulit ini tidak dimakan, kandungan antioksidan ini menunjukkan bahawa kulit buah naga boleh dimanfaatkan dalam bidang lain seperti farmaseutikal atau kosmetik.
3. Berpotensi untuk Mencegah Kanser
Kanser adalah penyakit kronik yang menyebabkan kematian kedua tertinggi di dunia dan di Malaysia pada tahun 2018 yang melibatkan 16 ribu kematian.
Terdapat kajian awal yang mendapati ekstrak buah naga berisi merah menunjukkan aktiviti-aktiviti antikanser terhadap sel-sel kanser payudara. [4]
Menariknya juga, kajian makmal yang lain turut mendapati sebatian betalain seperti mana yang terkandung dalam buah naga mempunyai ciri-ciri antikanser dengan merencatkan perkembangan sel-sel kanser paru-paru manusia dan membunuh sel-sel kanser melalui kematian terancang. [5]
Walau bagaimanapun, masih banyak kajian yang diperlukan untuk mengetahui keberkesanan sebatian-sebatian dalam buah naga ini terhadap sel-sel kanser dalam badan manusia.
4. Boleh Membantu Melawan Penyakit Kronik
Penyakit kronik boleh berpunca daripada radikal bebas yang merosakkan sel dan menyebabkan tekanan pengoksidaan dan keradangan.
Pemakanan makanan yang tinggi dengan kandungan antioksidan adalah salah satu cara semulajadi untuk melawan radikal bebas ini.
Buah naga adalah salah satu buah yang kaya dengan antioksidan. Antioksidan boleh membantu meneutralkan radikal bebas dan secara tidak langsung boleh mencegah keradangan dan kerosakan sel.
Kajian menunjukkan bahawa pemakanan yang tinggi dengan antioksidan boleh mencegah daripada penyakit kronik seperti kanser, penyakit jantung atau diabetes. [6]
5. Baik untuk Kesihatan Usus
Buah naga juga dilihat mempunyai manfaat kepada kesihatan usus kerana mengandungi prebiotik yang menjadi makanan kepada komuniti bakteria baik dalam usus manusia.
Prebiotik ialah serat tertentu yang tidak dapat dihadamkan oleh manusia tetapi menjadi makanan kepada komuniti bakteria baik dalam usus manusia. Secara tidak langsung dapat mengalakkan perkembangan bakteria baik dalam usus manusia.
Kajian menunjukkan karbohidrat dalam buah naga berisi merah dan putih terdiri daripada glukosa, fruktosa dan oligosakarida.
Oligosakarida ini mempunyai ciri-ciri prebiotik dengan mengalakkan pertumbuhan bakteria baik dalam usus seperti lactobacilli dan bifidobacteria. [7]
6. Membekalkan Zat Besi
Buah naga juga adalah antara beberapa buah yang mengandungi zat besi.
Zat besi ialah mineral penting yang membantu membawa oksigen ke seluruh badan. Zat besi juga membantu otot-otot badan menyimpan dan menggunakan oksigen.
Kekurangan zat besi ini dikaitkan dengan penyakit anemia. Malangnya, masalah kekurangan zat besi ini adalah antara masalah kekurangan zat yang paling lazim berlaku. Kira-kira 30% penduduk dunia mengalami kekurangan zat besi. [8]
Salah satu cara mengatasi masalah kekurangan zat besi ini ialah dengan makan makanan yang kaya dengan zat besi dan buah naga adalah salah satu daripadanya.
100 gram buah ini boleh membekalkan kira-kira 7% daripada pengambilan harian zat besi yang disarankan kepada orang dewasa di Malaysia.
Tambahan lagi, kandungan vitamin C dalam buah naga ini juga boleh membantu meningkatkan penyerapan zat besi dalam badan.
7. Boleh Membantu Menguatkan Sistem Imun
Kandungan vitamin dan mineral dalam buah naga juga boleh membantu menguatkan sistem imun badan (sistem pertahanan badan).
Vitamin C, vitamin A dan vitamin E dalam buah naga ini boleh membantu menguatkan sistem imun badan dan mencegah jangkitan.
Kajian melaporkan bahawa pengambilan vitamin C, vitamin E dan vitamin A meningkatkan pengaktifan sel-sel yang terlibat dalam imuniti terhadap tumor dalam kalangan warga tua. [9]
Rumusan
Buah naga adalah buah tropika yang enak serta mempunyai banyak khasiat yang menjadikannya berbaloi untuk dimakan.
Selain membekalkan zat-zat penting, buah naga juga turut tinggi dengan kandungan antioksidan. Tambahan daripada itu, buah naga juga berpotensi mencegah kanser, boleh membantu melawan kanser, membantu melawan penyakit kronik, baik untuk kesihatan usus, membekalkan zat besi dan menguatkan sistem imun.
Buah naga juga mudah untuk dimakan dan boleh dipelbagaikan dalam bermacam-macam menu.
Rujukan
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019. fdc.nal.usda.gov.
- Joshi, M & Prabhakar, B. (2020). Phytoconstituents and pharmaco-therapeutic benefits of pitaya: A wonder fruit. J Food Biochem.
- Nurliyana, R. et al. (2010). Antioxidant study of pulps and peels of dragon fruits: a comparative study. International Food Research Journal 17: 367-375.
- GuimarĂ£es, D., et al. (2017). Pitaya Extracts Induce Growth Inhibition and Proapoptotic Effects on Human Cell Lines of Breast Cancer via Downregulation of Estrogen Receptor Gene Expression. Oxidative medicine and cellular longevity.
- Yin, Z., et al. (2021). Potential chemotherapeutic effect of betalain against human non-small cell lung cancer through PI3K/Akt/mTOR signaling pathway. Environmental toxicology.
- Ghezzi, P. et al. (2017). The oxidative stress theory of disease: levels of evidence and epistemological aspects. British journal of pharmacology.
- Wichienchot, S. et al. (2010). Oligosaccharides of pitaya (dragon fruit) flesh and their prebiotic properties. Food Chemistry.
- Miller J. L. (2013). Iron deficiency anemia: a common and curable disease. Cold Spring Harbor perspectives in medicine.
- Bendich A. (1993). Physiological role of antioxidants in the immune system. Journal of dairy science.
- R. Charoensiri, R. et al. (2009). Beta-carotene, lycopene, and alpha-tocopherol contents of selected Thai fruits. Food Chemistry.